Prolog
'Mengintai Langit'
20 Jun 1995
"Ritz! Isya! Jangan gaduh-gaduh, nak.. Main sama-sama lah," Farritz Aidil dan Farisya Adlina sama-sama berpaling ke rumahnya sambil tertawa riang. Puan Sri Zakiah hanya mampu tersenyum melihat gelagat si anak yang kelihatan gembira bermain bersama.
"Budak-budak, Irah. Macam tu lah mereka. Selagi tak berdarah, tak berjahit, selagi tu lah mereka takkan berhenti bermain."
Datin Munirah menuang teh panas ke dalam cawan. Puan Sri Zakiah menyambutnya bersama senyuman manis.
"Biasa lah tu, kak. Saya dah tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan anak bujang saya tu. Bukan boleh ditegur sangat. Nanti terus merajuk pergi rumah girlfriend dia tu. Puas saya nak pujuk dia."
Datin Munirah membuang pandang ke arah dua kanak-kanak itu. Masing-masing bagaikan sudah bertahun tidak bertemu. Farritz Aidil, kanak-kanak berusia 11 tahun, dan Farisya Adlina sedang duduk di atas batas sawah padi. Entah apa yang mereka bualkan, dia sendiri kurang pasti.
"Zahid macam mana Irah?"
Suara Puan Sri Zakiah kedengaran perlahan. Mungkin untuk menjaga kata-katanya agar tidak tersalah cakap sekaligus melukakan hati sahabat baiknya itu.
Sudah 6 tahun Puan Sri Zakiah tinggal di sini. Iaitu sewaktu Farritz Aidil masih berusia 8 bulan. Beberapa belas tahun kemudian, Umi Salbiah meninggal dunia iaitu semasa Farritz Aidil berusia 2 tahun. Kemudian Datin Munirah pula menjadi ibu tiri kepada Farritz Aidil.
Namun bahagia yang diharapkan hanya impian semata-mata. Rumah tangga yang dibina hambar. Langsung tiada sinar kebahagaan dalam rumah tangganya. Dato' Zahid langsung tidak menunjukkan rasa cinta terhadap Datin Munirah. Itu yang menyedihkan Datin Munirah.
"Biasa lah, kak. Tak ada apa masalah pun," jawab Datin Munirah sambil tersenyum.
"Kiranya kamu berdua dah boleh sesuaikan diri?"
"Boleh lah, kak. Cuma kadang-kadang tu ada juga berselisihan pendapat."
"Mesti lah. Tu kan memang adat perkahwinan."
Suasana sepi seketika.
"Dah 8 tahun kami bertiga hidup bersama. Saya cuba jadi isteri yang baik. Ibu yang baik bagi Farritz. Tapi sampai sekarang pun, Ritz masih tak boleh terima saya, kak. Dia langsung tak anggap saya ni ibu dia. Saya risau, kak. Kalau-kalau perangai panas baran Ritz tu berlarutan sampai dia dewasa nanti. Saya risau sangat-sangat."
"Jangan lah fikir bukan-bukan. InsyaAllah Ritz akan berubah. Irah kena lah banyak-banyakkan bersabar. Farritz tu anak yatim. Kena banyak bersabar dalam membesarkan dia. Besar pahalanya jaga anak yatim ni, Irah."
"Sehari sebelum arwah meninggal, dia ada amanahkan saya untuk jaga Ritz. Kak Umi macam tahu-tahu je dia nak kemalangan esoknya. Saya rindu sangat pada arwah, kak.."
"Akak pun rindu pada Kak Umi, Irah. Irah nak tahu, dulu Kak Umi lah yang cadangkan nama budak-budak ni. Dia yang teringin sangat nak samakan nama anak kami. Mula-mula kami ingatkan anak Kak Umi tu perempuan. Rupa-rupanya lelaki. Apa lagi? Kelam kabut kami cari nama lepas bersalin tu."
Mereka sama-sama tertawa gembira. Puan Sri Zakiah memang amat menyayangi sahabat baiknya, Umi Salbiah. Wanita itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya lebih 8 tahun lalu.
Oleh kerana ketika itu Farritz Aidil baru berusia 2 tahun, Dato' Zahid terpaksa mencari penggantinya secepat mungkin walaupun ramai orang yang bertanggapan negatif terhadap keputusannya.
Sebenarnya niatnya hanya satu. Dia tidak mahu anaknya ketandusan kasih sayang seorang ibu. Lagipun dia bekerja. Siapa pula yang akan menjaga anaknya ketika dia sibuk bekerja nanti?
Datin Munirah juga adalah salah seorang kawan baik Umi Salbiah. Oleh kerana kesuntukan masa, Dato' Zahid membuat keputusan untuk mengahwini Datin Munirah memandangkan dia yakin wanita itu boleh menjaga dan membesarkan anaknya dengan baik walaupun dia berasal dari keluarga yang miskin. Kebetulan Datin Munirah memang belum berpunya, jadi mereka terus melangsungkan pernikahan selang beberapa bulan selepas kematian Umi Salbiah.
Tetapi, sikap manja Farritz Aidil berubah sama sekali semenjak kehilangan Umi Salbiah. Dia menjadi seorang yang panas baran, cepat melenting, dan suka menyendiri. Hal ini merisaukan Dato' Zahid dan Datin Munirah sendiri. Setiap kali ditegur, kanak-kanak lelaki itu akan merajuk dan terus pergi ke rumah keluarga angkatnya yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
"Irah mengelamun?"
Datin Munirah tersentak dengan teguran Puan Sri Zakiah. Dia menyeka air matanya perlahan.
"Tak lah. Teringatkan arwah."
"Sudah lah. Jangan difikirkan sangat masalah tu. InsyaAllah. Kalau Irah sabar, redha, dan bertawakal, pasti Allah akan bantu Irah. Percaya lah.."
Puan Sri Zakiah menarik Datin Munirah ke dalam dakapannya. Wanita itu menangis di bahunya. Berat sungguh penderitaan yang ditanggungnya. Sudah lah si suami tidak pernah menyentuhnya, si anak pula berubah laku. Entah apa lagi yang perlu dilakukannya, dia buntu.
FARISYA Adlina yang sudah hilang sabar dengan sikap nakal Farritz Aidil bingkas bangun lalu merentap seluar kanak-kanak lelaki yang tua setahun dari umurnya itu. Semua rakan di sekolah sudah arif dengan perangai Farisya Adlina yang sememangnya kasar dan bersifat kelelakian.
Farritz Aidil yang menyedari seluarnya hampir terlucut lantas menepis tangan Farisya Adlina dengan kuat. Tangan Farisya Adlina yang putih gebu kemerahan akibat pukulan kuat Farritz Aidil tadi. Matanya sudah mulai berkaca-kaca. Tiba-tiba mata Farritz Aidil tertumpu kepada tompokan hitam yang melekat di hujung seliparnya. Tiba-tiba datang akal jahatnya untuk membalas serangan pantas gadis itu sebentar tadi.
"Lintah!!"
Farisya Adlina menjerit sekuat hati apabila Farritz Aidil membaling lintah lalu melekat di pipinya. Tangannya terkapai-kapai menepis lintah yang melekat di pipi mulusnya yang mula ditumbuhi jerawat itu.
Akibat ketakutan, Farisya Adlina lari lintang pukang. Farritz Aidil hanya ketawa terkekek-kekek melihat gelagat Farisya Adlina yang lari ketakutan. Tanpa disangka, kakinya itu tersadung akar pokok rambutan yang terkeluar lalu dia terjatuh ke dalam tanah sawah yang dipenuhi air lumpur. Farritz Aidil yang masih berada di atas batas mulai cemas apabila melihat kelibat Farisya Adlina sudah lesap secara tiba-tiba. Matanya melilau ke seluruh kawasan tempat FarisyaAdlina berlari ketakutan sebentar tadi mencari kelibatnya.
"Ritz!!"
Farritz Aidil tersentak. Dia cuba mengamati suara yang datangnya dari arah bawah sawah padi yang menghijau itu. Suara tersebut kedengaran berlainan sekali nadanya. Seolah-olah sedang menahan tangis.
Tiba-tiba mata Farritz Aidil terpandang akan sesusuk tubuh yang sedang menangis teresak-esak sambil memeluk lututnya yang terluka.
'Alamak. Luka? Macam mana ni? Ah, biarkan! Siapa suruh tarik seluar aku?' gomel hati Farritz Aidil. Ada senyuman puas terukir di bibirnya. Lintah yang tadinya melekat di pipi gadis itu sudah tiada lagi.
"Jaga Ritz, Isya bagitahu mama."
Dengan esak tangis yang makin kuat, gadis yang mempunyai lesung pipit di sebelah kiri pipi itu cuba mengugut Farritz Aidil. Farritz Aidil menjadi semakin tidak keruan. Dia memang takut akan ibu angkatnya, Puan Sri Zakiah yang pasti akan memarahinya kerana insiden ini.
"Jangan lah Isya. Ritz minta maaf ya? Tadi tu Ritz main-main je. Ritz janji tak buat lagi. Ritz minta maaf ya?"
Farritz Aidil cuba mencari helah, dia cuba juga memujuk Farisya Adlina walaupun dia tahu yang Farisya Adlina tidak mungkin akan mengalah. Secara berhati-hati Farritz Aidil turun mendapatkan Farisya Adlina yang sedang tertunduk itu.
"Isya tak peduli! Isya bagitahu mama."
Farisya Adlina cuba bangkit tetapi gagal.
Farritz Aidil menghampiri kanak-kanak perempuan itu. Memang selayaknya Farritz Aidil dimarahi begitu. Dia memang gemar menyakat semua rakannya terutamanya rakan perempuan di sekolahnya termasuk Farisya Adlina sendiri. Perlahan-lahan Farritz Aidil menarik tangan Farisya Adlina membantu dia bangun dari tempat yang dipenuhi lumpur itu.
"Lah.. Ritz minta maaf lah," Terserlah lesung pipit di pipi kanan budak lelaki itu.
"Tak mahu!"
Seperti yang dijangka, Farisya Adlina tetap berkeras hati. Dia merentap semula tangannya dari pegangan Farritz Aidil.
"Okey.. Okey.. Ritz encang Isya nak? Kita pergi kedai Pak Abu, makan ABC. Ritz belanja," Farritz Aidil tetap cuba memujuk dengan senyuman yang dibuat-buat berharap agar Farisya Adlina termakan akan pujuk rayunya.
"Ritz mana ada duit. Ritz tu sengkek. Macam mana nak belanja Isya? Beli gula-gula yang 10 sen tu pun hutang dengan Isya. Entah-entah kalau kita pergi makan ABC nanti, Isya juga yang kena bayar."
Wajah keruh kanak-kanak itu sudah mulai ceria apabila terkenangkan peristiwa di mana Farisya Adlina terpaksa membayar gula-gula yang dibeli oleh Farritz Aidil ketika mereka berjalan-jalan di kampung itu kelmarin.
Ketika itu Farisya Adlina amat geram dengan sahabat karibnya itu kerana dia sebenarnya sengaja tidak mahu membayar gula-gula yang dibelinya. Jadi, dia menjadikan Farisya Adlina sebagai mangsanya. Mujur lah gula-gula yang dibelinya itu berharga 10 sen. Dan dia hanya mengambil sebanyak 20 biji sahaja. Sesungguhnya dia sudah masak dengan perangai Farritz Aidil.
"Cepat lah. Nak ikut tak?"
Lamunan Farisya Adlina termati di situ.
Walaupun semakin meningkat remaja, tetapi suaranya masih belum pecah. Mukanya juga tiada tanda-tanda yang menunjukkan keremajaannya. Berbeza pula dengan Farisya Adlina yang kini sudah pandai menghias diri. Mungkin kerana perubahan hormonnya. Farisya Adlina juga tinggi 20 cm daripada Farritz Aidil. Walaupun begitu, Farritz Aidil tetap berani menyakat Farisya Adlina.
"Isya ni berangan apa? Cepat lah. Dah naik sakit belakang Ritz ni tunggu Isya."
Farritz Aidil mulai berang apabila Farisya Adlina seakan-akan berkhayal.
"Ya.. Ya.. Isya naik lah ni."
Rajuk Farisya Adlina sedikit terubat apabila melihat kesungguhan 'budak kenit' di hadapannya itu. Tiada siapa yang tahu bahawa jauh di sudut hati kanak-kanak kecil yang sedang meningkat remaja itu, dia ada menyimpan perasaan terhadap Farritz Aidil.
SESUNGGUHNYA zaman remaja merupakan satu zaman yang indah untuk dikenang. Perasaan rajuk, suka, duka, segalanya bercampur menjadi satu.
Kini segalanya berubah. Beberapa tahun kemudian, Farisya Adlina secara mengejut berpindah dari kampung bersama keluarganya. Perhubungan antara dua buah keluarga itu juga turut terpisah secara tiba-tiba. Sejak itu, Farritz Aidil kesunyian. Dia menjadi seorang yang pendiam dan nakal.
Hampir setiap bulan, ada sahaja laporan daripada guru disiplin sekolahnya yang mengatakan bahawa Farritz Aidil telah berkali-kali melanggar peraturan sekolah. Sikap Farritz Aidil semakin tidak dapat dikawal. Datin Munirah dan Dato' Zahid sudah buntu untuk menyelesaikan masalah ini.
Sedangkan Farisya Adlina kini menjadi gilaan ramai lelaki semenjak bersekolah di Sekolah Menengah Ampang. Wajahnya juga semakin menawan. Puan Sri Zakiah dan Tan Sri Mahmud kini sudah menjadi orang kenamaan dalam dunia korporat. Kehidupan mereka kini semakin mewah semenjak berpindah ke Kuala Lumpur.
Sesuai dengan umurnya yang sudah mencecah 17 tahun, Farisya Adlina sudah tahu menjaga kehormatan diri. Tidak sia-sia Puan Sri Zakiah dan Tan Sri Mahmud menghantar anak mereka itu belajar di sekolah agama selama ini. Farisya Adlina tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslimah. Rambutnya yang ikal mayang juga disimpan di sebalik tudung yang tidak pernah lekang daripada kepalanya. Lesung pipit kirinya juga semakin ke dalam membuatkan sesiapa yang melihat pasti tertarik hati.
sory..y ni terlajak kedepan plak..huhu..tp bace prolog dulu taw!!
ReplyDelete