Wednesday, February 16, 2011

bab 13



13

'Harga Diriku'

"Ibu,  Ritz ada something nak beritahu ibu ni,"  Farritz Aidil mendekatkan sekuntum bunga ros merah ke hidungnya.  Datin Munirah masih tidak mengendahkan panggilan anaknya itu sebaliknya terus membelek setiap kuntuman bunga yang terdapat di rak pameran.
Pada waktu-waktu hujung minggu begini,  kalau bukan Dato' Zahid,  Farritz Aidil yang akan menemani ibu kesayangannya itu mengunjungi Lily's Nursery untuk membeli bunga-bungaan baru yang akan diletakkan di taman bunga di rumahnya.  Memandangkan Dato' Zahid sedang menjalani rawatan selama 2 bulan di Pulau Pinang,  Farritz Aidil terpaksa menemani ibunya ke mana sahaja wanita itu pergi.  Tambahan pula hari ini dia tiada kuliah.
"Ibu,  Ritz cakap ni,  ibu dengar tak?"  Farritz Aidil dapat merasai seolah-olah ibunya tidak mengendahkannya langsung.
"Cakap je lah.  Ibu dengar ni,"  Datin Munirah mencapai sekuntum bunga Daisy berwarna kuning lalu didekatkan ke hidungnya.  Sedikitpun dia tidak menoleh ke arah anaknya itu.
          "Tak mahu lah kawan dengan ibu!"  Farritz Aidil meletak kembali bunga ros yang dipegangnya tadi.  Dia kemudiannya berlalu ke kereta Merc Benz E200K kepunyaan keluarganya.  Datin Munirah hanya memandang Farritz Aidil yang sedang merajuk dek kerana ketidakprihatinannya ketika lelaki berbaju merah itu bercakap.


"WHAT?!  Apa ni ayah,  ibu?  Kenapa ibu dan ayah buat Ritz macam ni?"  suara Farritz Aidil kian meninggi. 
          Dia begitu berang mendengar kata-kata ibunya yang mahu melangsungkan pernikahan antara dia dan Farisya Adlina dalam masa terdekat ini.  Seluruh ototnya terasa lemah dengan perkhabaran ini.  Wajahnya yang kelihatan tenang selama ini sudah berubah bengis.  Apa yang ada di dalam fikirannya sekarang adalah untuk bertemu Farisya Adlina dan menyelesaikan semua kekusutan ini.
          Dato' Zahid hanya tertunduk.  Di saat ini dia hanya mampu diam seribu bahasa.  Semua yang berlaku ini bukan rancangannya.  Biar lah Datin Munirah yang menjawab segala persoalan yang diajukan Farritz Aidil.
          "Isya!  Ni mesti rancangan Isya,  kan?  Tak apa.  Biar Ritz selesaikan dengan dia,"  Farritz Aidil mahu melangkah keluar dari bilik rawatan ayahnya tetapi sempat dihalang ibunya.  Tujuan mereka ke sini tadi sebenarnya mahu menjenguk Dato' Zahid yang sedang menjalani rawatan di hospital ini tetapi sekarang berbeza pula. 
          Setelah dia meluahkan hajatnya ingin memperisterikan Intan Natasha di hadapan ibu bapanya tadi,  ibunya melarang keras dengan memaksanya berkahwin dengan Farisya Adlina.  Apa yang sedang bermain di fikirannya kini ialah untuk memandu pulang ke Kuala Lumpur hari ini juga.  Biar lah apapun yang bakal berlaku.  Perkahwinan ini mesti dibatalkan segera.
          "Walau apapun yang berlaku,  perkahwinan ni tetap akan diteruskan.  Kami dah hantar pinangan ke rumah Isya.  Dan dia dah setuju.  Jangan nak malukan ibu dan ayah,"  marah Datin Munirah.  Tangannya masih kuat memegang lengan Farritz Aidil.
          "Tapi Ritz tak mahu,  ibu.  Ritz dah ada pilihan Ritz sendiri.  Kenapa ibu dan ayah nak aturkan hidup Ritz?  Kenapa tak biarkan Ritz tentukan hidup Ritz sendiri?  Ritz dah besar,  ibu,  ayah.  Tolong lah faham,"  setitis air mata jatuh ke pipinya.  Hatinya benar-benar terkilan dengan sikap ibu bapanya yang tiba-tiba sahaja mahu menentukan hidupnya.
          "Kalau sebulan yang lalu Ritz bawa pilihan Ritz jumpa kami,  mungkin semua ni takkan berlaku.  Sudah!  Jangan nak membantah!"  jerkah Datin Munirah.  Dia melepaskan pegangan tangannya sekuat-kuat hatinya. 
          Farritz Aidil bertambah hairan.  Ke mana perginya kelembutan seorang ibu mithali yang selalu ditunjukkan wanita ini?  Mengapa hari ini dia berubah begini sekali?  Farritz Aidil semakin tertekan.
          "Jadi ibu nak salahkan Ritz?  Ibu,  Ritz tak cintakan Isya.  Dan Ritz percaya Isya pun tak cintakan Ritz.  Tolong lah ibu.  Jangan hukum Ritz begini.  Ritz sayangkan Intan.  Ayah,  tolong Ritz,  ayah,"  Farritz Aidil tetap merayu.  Kaki Dato' Zahid digoncang perlahan.  Farritz Aidil sedang melutut di kaki ayahnya.  Betapa dalamnya cinta lelaki itu kepada kekasihnya itu.
          "Ayah tak ada kuasa,  Ritz.  Semua keputusan di tangan ibu.  Ritz anak yang baik,  kan?  Jangan melawan cakap ibu,  nak.  Kelak tak cium bau syurga.  Percaya lah pada ketentuan Allah,  nak,"  Dato' Zahid mengusap perlahan rambut anaknya itu.  Sebagai bapa,  dia turut merasakan betapa sakitnya hati anaknya itu di kala ini.
          "Tapi Ritz tak cintakan dia,  ayah.  Cinta Ritz hanya pada Intan.  Isya hanya kawan biasa Ritz je,"  Farritz Aidil menundukkan kepalanya.  Hatinya semakin membengkak dek luka yang semakin parah.  Datin Munirah tersenyum sinis sambil memeluk tubuhnya.
          "Cinta?  Apa ada pada cinta?  Ritz tahu ke apa maksud cinta?"  Datin Munirah tetap berkeras.
          "Kali ni je.  Tolong lah faham Ritz.  Ritz percaya ibu dan ayah mahukan Ritz bahagia,  kan?"  pujuk Farritz Aidil lagi.  Air mata yang semakin membasahi pipinya diseka perlahan.  Dia berharap pujukannya kali ini mampu melembutkan hati ibunya.
          "Keputusan ibu muktamad!  Bulan depan Ritz akan bernikah dengan Isya.  Jangan nak melawan cakap ibu,"  Datin Munirah meninggikan suaranya lalu keluar dari bilik itu.
          "Kenapa ayah tak beritahu Ritz awal-awal?  Ritz tak suka macam ni,  ayah,"  ujar Farritz Aidil lembut.
          "Ayah tak ada pilihan,  Ritz.  Macam yang ibu cakap,  ayah tak ada hak nak tentukan hidup Ritz.  Ayah ni seorang bapa yang tak berguna.  Isteri menderhaka pada ayah pun,  ayah tak mampu nak tegur.  Maafkan ayah,  Ritz.  Cuma satu yang ayah nak pesan.  Bila Ritz dah ada isteri nanti,  jangan biarkan isteri Ritz menderhaka pada Ritz.  Jaga dia.  Didik dia sebaik mungkin.  Jangan jadi macam ayah ni,"  sekali lagi Dato' Zahid menitiskan air matanya.  Farritz Aidil mendongak memandang wajah tua bapanya.
          "Jangan cakap macam tu,  ayah.  Ayah lah bapa yang paling sempurna yang Ritz pernah ada,"  Farritz Aidil memeluk tubuh bapanya.  Dia tidak mungkin mengalah.  Dia tetap bertekad untuk memperisterikan gadis kesayangannya,  Intan Natasha.


"KAU redha je lah,  Isya.  Kalau kau melawan sekalipun,  apa lagi yang mampu kau buat?  Mama dan papa dah terima pun pinangan tu,"  Lia mengusap lembut bahu kawannya yang sedang menangis teresak-esak itu.
          "Tapi ni semua tak adil bagi aku,  Lia.  Aku tak setuju dengan perkahwinan ni.  Kenapa mama dan papa terima pinangan tu tanpa minta pendapat aku dulu?  Aku tak nak Ritz bencikan aku nanti.  Ritz dah ada Intan,  Lia.  Dia sayangkan Intan sangat-sangat.  Kau tak faham!"  tangisan Farisya Adlina semakin kuat.
          "Kami semua faham,  Isya.  Tapi macam yang Lia cakap tadi,  apa lagi yang kau mampu buat?  Nak tak nak,  perkahwinan ni tetap akan berlangsung,"  pujuk Afifa yang baru muncul dari ruang dapur sambil membawa dua gelas air oren sejuk. 
          Rumah banglo mewah ini kelihatan sepi hari ini.  Puan Sri Zakiah dan Tan Sri Mahmud sudah keluar bersama ibu bapa Farritz Aidil sejak pagi tadi.  Mungkin mahu berbincang mengenai tarikh pernikahan anak-anak mereka.
          "Air untuk kau orang je?  Aku punya?"  tanya Lia bergurau.  Serentak itu,  Atiera pula muncul dengan 2 gelas air oren sejuk sama seperti yang dibawa Afifa.
          "Ada lah.  Kau tu yang tak reti nak sabar,"  Atiera menghulurkan gelas tersebut kepada Lia.
          "Tapi Ritz tak cintakan aku.  Ritz cintakan Intan.  Aku tak mahu dimadukan atau diceraikan pada hari perkahwinan aku nanti,"  ujar Farisya Adlina sayu.  Matanya kian bengkak dek kerana terlalu banyak menangis.  Sungguh tidak disangkanya,  panggilan telefon dari mamanya kelmarin membawa berita buruk buat dirinya.
          Telefon bimbit Farisya Adlina berdering.  Empat sekawan itu terdiam seketika.
          "Assalamualaikum,"  tergagap-gagap Farisya Adlina menyahut panggilan dari bakal suaminya itu.  Suara Farritz Aidil tidak selembut biasa.  Hari ini,  suara itu kedengaran kasar sekali di cuping telinganya.
          "Waalaikumsalam.  Dah,  aku tak mahu cerita panjang dengan kau dalam phone.  Sekarang juga aku nak jumpa kau di Taman Tasik Titiwangsa.  Aku nak kita selesaikan semua masalah antara kita.  Okey!  Jumpa lagi setengah jam.  Assalamualaikum,"  ujar Farritz Aidil tanpa membenarkan sepatah perkataan pun keluar dari bibir gadis itu.  Farisya Adlina terpempam. 
          Semua rakan yang lain tidak sabar-sabar mendengar gadis itu menceritakan tentang perbualannya dengan Farritz Aidil sebentar tadi.
          "Kau okey?"  tanya Lia.
          "Aku nak keluar sekejap.  Kau orang duduk sini sampai aku balik,"  Farisya Adlina pantas naik ke tangga menuju ke biliknya untuk menyalin pakaian yang sesuai untuk bertemu dengan lelaki itu.  Atiera,  Afifa,  dan Lia berpandangan sesama sendiri.

No comments:

Post a Comment