14
'Tenda Biru'
Kawasan perkarangan rumah banglo mewah itu kini sudah dipenuhi saudara mara serta jiran tetangga yang meraikan sebuah majlis penyatuan tidak rela antara dua insan.
Kemeriahannya tidak langsung dirasai kedua-dua pengantin terutamanya Farisya Adlina. Hatinya semakin gundah apabila terkenangkan majlis pernikahan yang bakal berlangsung kurang dari satu jam sahaja lagi.
Dari tingkat atas, Farisya Adlina sedang mundar mandir di ruang balkoni biliknya sambil berbual dengan seseorang di telefon bimbitnya. Gadis itu telah siap didandan oleh Atiera dan Afifa sendiri sebentar tadi.
Kebetulan, dua rakan baiknya itu berbakat dalam bidang solekan. Mereka mengambil kesempatan itu untuk mengasah bakat mereka yang lama terpendam. Lia tidak dapat turut serta kerana sedang berbulan madu bersama suaminya, Zaki Zaqhwan di Melbourne setelah bernikah bulan lalu.
"Isya, kau sabar lah, ya? Anggap semua ni dugaan untuk kau. Kau terima lah apa yang dah ditentukan ni. Aku harap kau sabar," suara lembut Lia hanya kedengaran sayu melalui corong telefon bimbit Farisya Adlina. Dia duduk di katil. Matanya sudah mula berkaca-kaca mengenangkan dirinya yang bakal menjadi isteri kepada seorang lelaki yang telah dianggap sebagai 'abang kembarnya'.
"Balik lah sekarang, Lia. Aku perlukan semua kawan-kawan aku sekarang ni. Lebih-lebih lagi kau yang lebih berpengalaman dalam berumah tangga ni," Farisya Adlina mula menangis teresak-esak. Lia sudah mati akal untuk memujuk rakannya yang menginginkan dirinya pulang untuk menghadiri majlis pernikahannya yang bakal berlangsung selepas solat zohor di Masjid Negara.
"Siapa tu?" tanya Zaki Zaqhwan kepada Lia.
"Isya," jawabnya perlahan tetapi masih kedengaran di telinga Farisya Adlina.
Farisya Adlina kelihatan ayu berbaju kurung moden berwarna putih susu bersulamkan benang berwarna kuning keemasan. Solekan di wajahnya sudah mencair akibat terlalu banyak menangis.
Selama ini dia mengimpikan sebuah perkahwinan yang berkonsepkan Wedding of The Year. Tetapi hari ini, semua itu lenyap dan hancur berkecai dek kerana terpaksa menurut permintaan ibu bapanya.
Farisya Adlina merenung ke segenap ruang bilik yang dihiasi dengan bunga-bungaan yang berwarna kebiru-biruan. Dindingnya pula dicatkan dengan cat berwarna biru laut. Hasil seni seorang pelukis ternama, dinding belakang katilnya terpapar gambar Farisya Adlina dan Farritz Aidil yang sedang tersenyum mesra. Semua itu permintaan Puan Sri Zakiah yang menginginkan suasana romantik untuk pasangan pengantin baru itu nanti.
Puan Sri Zakiah benar-benar berharap agar Farisya Adlina dan Farritz Aidil mampu menyintai antara satu sama lain kelak. Tetapi, alangkah indahnya jika semua yang terlakar di dinding itu adalah realiti bukan fantasi.
"Ala.. Ifa dengan Tiera kan ada. Minta lah dia orang temankan kau. Aku tak rasa aku boleh sampai sebelum kau nikah. Sekarang ni cuma ada flight pukul 2 je. Lagipun jam dah pukul 12. Mana sempat. Melbourne dengan Malaysia bukan dekat macam bilik kau dengan bilik aku," gurau Lia sambil tertawa kecil. Dia benar-benar berharap agar kesedihan rakannya itu akan berakhir secepat mungkin. Farisya Adlina turut tertawa apabila memikirkan jarak antara Malaysia dengan Melbourne yang cuba dibandingkan dengan jarak antara biliknya dan Lia di asrama mereka yang hanya bersebelahan.
"Maaf ya Isya. Aku betul-betul tak dapat balik sekarang. Tapi aku cuba balik esok, okey? Jangan sedih lagi tau? Tak comel lah bakal pengantin baru ni menangis. Kalau ada Tiera, mesti kau dah kena gelak punya," Lia mencuba lagi menghiburkan hati rakannya itu.
Air mata Farisya Adlina semakin laju mengalir. Telefon bimbitnya dibiarkan jatuh di katil yang dihiasi dengan bunga-bungaan serba hijau pada birainya. Dia merenung lagi gambar lelaki yang bakal menjadi suaminya sebentar lagi.
"Isya, dah siap ke belum? Kalau dah siap, jom kita gerak pergi masjid," bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu mematikan lamunan Farisya Adlina. Afifa memandang jam di tangannya yang sudah menunjukkan jam 1 tengah hari.
Farisya Adlina pantas mengelap air matanya perlahan-lahan agar tidak mencomotkan make-upnya. Dia kemudiannya bangun perlahan-lahan dari katil kerana takut kalau-kalau baju yang ditempah khas oleh Puan Sri Zakiah dan Datin Munirah untuknya itu koyak. Pintu bilik dikuak perlahan-lahan.
"Ya Allah, kenapa mata kau sembab ni, Isya? Kau menangis lagi ke?" tanya Afifa menggelabah sambil meraba-raba wajah Farisya Adlina yang masih basah kerana menangis sebentar tadi.
"Isya, jawab lah. Kenapa ni? Ritz marah kau lagi ke?"
"Tak," jawabnya ringkas. Farisya Adlina masih menundukkan wajahnya seperti tadi. Tiba-tiba gadis itu menangis teresak-esak. Farisya Adlina memeluk Afifa semahunya. Segala kesedihan yang membebani fikirannya diluahkan bersama air mata yang tumpah di bahu rakannya itu.
"Menangis lah Isya. Menangis sepuas-puas hati kau. Menangis ni salah satu terapi terbaik untuk menghilangkan rasa sakit hati. Kau sabar ya. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ni," Afifa mengusap lembut belakang Farisya Adlina.
"Aku bingung, Ifa. Aku tak mahu hidup berpura-pura macam ni. Semua ni bukan apa yang aku nak," adu Farisya Adlina dalam tangisan yang masih bersisa.
"Ya.. Aku tahu. Tapi mesti ada hikmahnya mama dan papa kau nak satukan kau dengan Ritz. Pilihan ibu bapa biasanya lebih tepat daripada pilihan kita sendiri. Mana tahu kau akan bahagia dengan dia," ulas Afifa lembut.
"Tapi dia tak cintakan aku! Macam mana kami nak bahagia kalau hanya aku saja yang cintakan dia tapi dia tak cintakan aku?" Farisya Adlina meleraikan pelukan kejap itu.
"Kadang-kadang ada cinta pun tak mampu buat manusia bahagia, Isya. Bukan semua perkara dalam hidup ni perlukan cinta semata-mata. Apa yang paling penting, kepercayaan, kesabaran, dan sikap memahami antara suami isteri," ujar Afifa bersungguh-sungguh.
"Tapi dia tak cintakan aku. Dia cuma cintakan Intan, Ifa. Bukan aku!" Farisya Adlina berjalan menuju ke balkoni biliknya kembali. Afifa mengikuti langkahnya.
"Kalau dia tak cintakan kau, kau goda lah dia supaya dia jatuh cinta pada kau. Gunakan aset yang ada pada diri kau tu untuk tambat hati dia. Lelaki ni mudah cair dengan godaan orang perempuan. Kau belai dia, kau pakai seksi-seksi, mesti dia cair habis punya tengok kau," Atiera yang baru tiba di muka pintu bilik yang terbuka luas, terdengar akan perbualan dua sahabat itu lalu masuk untuk turut serta dalam perbincangan tersebut.
"Celupar lah mulut kau ni, Tiera," Afifa yang sedang memujuk Farisya Adlina itu mengetap gigi memarahi ketelanjuran kata-kata Atiera. Dia memang begitu apabila berkata-kata. Mulutnya sentiasa laser.
"Kau ingat aku ni perempuan apa, Tiera? Aku ada maruah tau. Orang kalau dah tak nak, takkan aku nak sogok dia dengan tubuh aku?" balas Farisya Adlina. Dia melemparkan pandangannya ke arah luar yang indah selepas hujan.
"Apa kau nak risau? Lepas ni kau akan jadi isteri dia yang sah. Maruah kau pada dia," bersungguh-sungguh Atiera mempertahankan pendapatnya.
"Memang lah. Tapi dia bencikan aku! "
"Sudah lah tu. Just forget it okey? Sekarang ni kau tarik nafas dalam-dalam, cool yourself. Apapun yang bakal berlaku lepas ni, kau serahkan saja pada Allah. Apa yang perlu kau lakukan sekarang ni, tunaikan dulu permintaan parents kau.
Kau cuba dulu hidup dengan dia. Kalau serasi, teruskan. Kalau tak, why not kau minta je dia lepaskan kau? Dalam Islam pun ada cakap. Kalau dah tak ada jalan penyelesaian, bercerai adalah jalan terbaik. Kau kan pandai bab agama," Afifa mengemukakan pendapatnya sebagai penutup bicara. Jika dibiarkan perbincangan tersebut berlanjutan, alamatnya majlis pernikahan itu akan tertunda.
"Thanks," ujar Farisya Adlina perlahan.
"Kita orang sentiasa doakan kebahagiaan kau, Isya," tiga sahabat itu berpeluk-pelukan mesra. Dalam hati mereka sentiasa mengharapkan persahabatan mereka kekal selamanya.
'Isya, kau sabar lah, ya? Anggap semua ni dugaan untuk kau. Kau terima lah apa yang dah ditentukan ni. Aku harap kau sabar,' kata-kata semangat Lia masih terngiang-ngiang di telinganya.
'Thanks friends. Thanks for everything,' setitis air mata kesyukuran gugur lagi di pipi mulus itu.
No comments:
Post a Comment