16
'Sesak'
Selesai sudah majlis pernikahan kedua-dua mempelai itu. Majlis gilang-gemilang itu berakhir di rumah Farritz Aidil. Sebagai seorang yang baru bergelar isteri, Farisya Adlina harus mengikut suaminya. Saudara mara sudah beransur pulang ke rumah masing-masing. Jam sudah menunjukkan pukul 7 malam. Kerja-kerja mengemas semakin selesai. Segalanya berlaku terlalu pantas. Dengan hanya sekali lafaz, Farisya Adlina sudah sah menjadi isteri kepada Farritz Aidil.
Oleh kerana terlalu keletihan, Farisya Adlina mengambil keputusan untuk masuk ke bilik untuk berehat. Mulai hari ini tempat baginya bukan di sisi keluarganya lagi tetapi di sisi suaminya.
Dia masih ingat lagi sewaktu upacara membatalkan air sembahyang tadi, tubuhnya menggigil tatkala dahinya dikucup oleh suaminya. Wajah lelaki itu sedikitpun tidak mesra malah terlalu bengis. Hampir menitis air matanya apabila Farritz Aidil merentap tangannya ketika Farisya Adlina mahu mencium tangannya. Dia tidak pasti apakah lelaki itu akan menerima kehadirannya kelak.
Setibanya dia di hadapan sebuah bilik yang telah menjadi miliknya kini, dia terkaku seketika. Apakah semua ini hanya mimpi? Hatinya semakin bergelora. Jika dahulu dia bebas mendiami biliknya di rumah seorang diri. Tetapi kini dia terpaksa berkongsi ruang bilik dengan seseorang yang amat membencinya. Air matanya menitis tanpa disedari.
Lamunan Farisya Adlina termati tatkala terdengar suara Mimiey, anak saudara Farritz Aidil yang sedang berkejar-kejaran dengan Atiera dan Afifa. Demi mengelakkan daripada rakan-rakannya mengesyaki kesedihan yang dialaminya, Farisya Adlina lantas memusingkan tombol pintu bilik lalu masuk ke dalam bilik.
Pintu bilik dikunci rapat. Sekali lagi Farisya Adlina menangis semahunya. Seketika kemudian dia membuka matanya. Seluruh bilik itu kelihatan indah sekali. Dia melepaskan nafas berat.
'Baik aku mandi dulu. Karang tak lah malu sangat nak mandi kalau mamat tu dah masuk,' bisik hatinya sendiri.
Dia mempercepatkan langkah mencapai tuala yang tergantung di dalam almari kayu bercoklat gelap kepunyaan Farritz Aidil. Dia terpaksa menggunakan tuala suaminya itu kerana sebelum datang ke rumah ini tadi, belumpun sempat dia berkemas-kemas, Farritz Aidil sudah jauh meninggalkannya.
Bukan dia tidak tahu jalan ke rumah mentuanya itu tetapi sekadar menjaga nama baik keluarga di hadapan jiran tetangga dan saudara mara yang datang.
Langkahnya terhenti seketika di hadapan pintu bilik air. Farisya Adlina tertawa kecil apabila teringatkan satu insiden memalukan yang berlaku semasa kali pertama dia menjejakkan kakinya ke sini.
"Ibu, Isya nak solat. Tumpang bilik boleh tak?" tanya Farisya Adlina sopan.
Selesai sahaja membantu bibik mengemas meja makan, Farisya Adlina segera mengambil wuduk. Sebenarnya semasa tiba di rumah mewah ini tadi, dia bercadang mahu bersolat terlebih dahulu. Tetapi apabila dilihatnya makanan sudah terhidang, dia terpaksa makan dahulu sebelum bersolat.
Dia ingat lagi sunnah Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa sekiranya makanan sudah terhidang, kita disunatkan menikmatinya dahulu baru bersolat. Bukan kerana gelojoh melihat makanan. Tetapi dia mahu mengikut semua sunnah Nabi Muhammad SAW agar hidupnya sentisa diberkati.
"Isya kalau nak solat, Isya solat dalam bilik Ritz. Bilik solat tengah kemas. Bilik tetamu, Pak Man guna. Takkan Isya nak solat dalam bilik Pak Man? Pak Man ada dalam bilik tu," gurau Datin Munirah. Senyuman manis terukir di wajahnya. Dato' Zahid hanya menjadi pendengar yang setia.
"Mesti lah tak mahu. Hmm.. Tak apa-apa ke ibu? Nanti Ritz balik, marah pula dia tengok Isya dalam bilik dia," Farisya Adlina memeluk telekungnya yang dibawa dari rumah sebelum datang ke sini tadi.
"Tak apa-apa sayang. Ritz tu entah pukul berapa baru balik. Pergi lah solat. Cepat! Dah pukul berapa ni. Tak elok melambat-lambatkan solat," pesan Datin Munirah. Tangannya mengelus lembut lengan baju Farisya Adlina.
"Okey. Bilik Ritz yang mana satu?" tanya Farisya Adlina. Air wuduk yang masih membasahi pipinya menitis jatuh. Terkerdip mta bundar gadis itu apabila air tersebut menitis pula ke bulu matanya yang melentik.
"Isya naik tangga, belok kiri. Bilik tu bilik Ritz. Tapi bersepah sikit lah. Faham-faham lah orang lelaki ni. Ritz tak suka ada orang usik barang-barang dia. Ibu pun tak boleh," ujar Datin Munirah.
"Baik. Terima kasih ibu. Isya solat dulu ya. Assalamualaikum," Farisya Adlina menundukkan badannya walaupun dia tidak melintasi hadapan pasangan suami isteri itu.
Selesai bersolat, Farisya Adlina duduk antara dua sujud. Dia menadah tangannya berdoa. Rutin harian yang biasa dilakukannya setiap kali selesai bersolat. Mulutnya terkumat-kamit. Selesai berdoa, dia duduk termenung. Matanya memandang ke segenap ruang bilik itu.
Dia tersenyum puas. Sebelum bersolat tadi, dia telah mengemaskan bilik itu sebersih-bersihnya. Dia tidak kisah jika lelaki itu akan memarahinya sebentar lagi. Yang penting, bilik itu lebih kelihatan kemas daripada sebelumnya.
'Aduh! Nak terkucil lah pula,' desis hati Farisya Adlina. Dia mempercepatkan tangannya melipatkan sejadah yang digunanya tadi lalu menggantungkannya semula di ampaian kecil di sebelah bilik air. Kakinya melangkah pantas menuju ke pintu bilik air untuk melepaskan hajat.
'Tumpang pipis kejap ya, Ritz? Tak tahan sangat lah,' dia tersengih seperti kerang busuk sambil melangkah masuk ke dalam bilik air.
'Kenapa pintu bilik aku terbuka ni? Ni mesti kerja Mak Piah,' bisik hati Farritz Aidil apabila menyedari pintu biliknya terbuka luas.
Seingatnya sebelum keluar menjemput Farisya Adlina tadi, pintu bilik itu sudah ditutup rapat. Walaupun tidak berkunci, tidak mungkin pintu ini mampu terbuka sendiri tanpa bantuan seseorang. Dia semakin yakin ini semua kerja Mak Piah, orang gaji yang bertugas mengemas rumah banglo 2 tingkat ini. Hanya Mak Piah sahaja yang selalu masuk ke biliknya untuk mengutip baju-baju kotor untuk dicuci.
'Mungkin Mak Piah lupa tutup balik lepas keluar tadi kot,' dia menjuihkan bibirnya lalu menggeleng sekali.
Kakinya melangkah masuk setelah sekian lama terpaku di hadapan bilik yang hanya diterangi lampu bilik tidur sahaja itu. Dia menutup pintu biliknya lalu menguncinya dari dalam. Suiz lampu di belakang pintu dihidupkan. Matanya terpana melihat betapa teraturnya susunan barang di dalam bilik itu.
Entah mengapa tidak sedikitpun hatinya berasa marah melihat bilik yang sudah tersusun rapi itu, malah berasa tenang dengan kekemasan bilik itu serta aroma air freshner yang di spray keluar ketika dia melangkah masuk tadi. Biasanya sesiapa sahaja yang berani menyentuh barang-barang di dalam biliknya pasti akan dimarahi.
'Beraninya Mak Piah kemas bilik aku. Pelik betul lah. Ah! Lantak lah. Aku mandi lagi bagus. Segar sikit badan aku ni lepas mandi nanti,' Farritz Aidil berjalan menghampiri sebuah almari kayu berwarna coklat gelap. Pintu almari dibuka lalu dia mencapai sehelai tuala berwarna biru tua lalu dibalutkan ke pinggangnya. Satu-persatu pakaiannya ditanggalkan. Dia sudah bersedia menuju ke bilik air untuk mandi.
Baru sahaja dia ingin menolak pintu bilik air, pintu bilik air itu telah terbuka sendiri sebelum sempat dia menyentuh pintu tersebut. Dia tergamam melihat sesusuk tubuh kecil molek yang sedang mendongak memandang ke arahnya yang hanya bertuala.
Serentak itu, Farisya Adlina menekup matanya dengan tangannya putih mulusnya dek kerana terpandang tubuh Farritz Aidil yang tidak bertutup tetapi hanya bertuala separas lutut. Farritz Aidil turut tergamam. Buat seketika, 2 insan itu terkaku.
Tiba-tiba Farritz Aidil tergelak besar melihat telatah gadis kecil molek itu masih terkaku dengan tangan masih menekup matanya. Farisya Adlina terkejut mendengarnya. Tetapi tangannya masih tidak berani membuka matanya kerana malu untuk melihat tubuh Farritz Aidil yang masih terdedah.
"Kenapa ketawa ni? Pergi lah pakai baju. Tak malu ke?" bentak Farisya Adlina dalam keadaan mata yang masih tertutup. Tubuhnya rapat sekali dengan tubuh sasa lelaki itu. Rasa gemuruh di dada Farisya Adlina semakin kencang tatkala lelaki itu mendekatkan bibirnya ke telinga gadis itu lalu membisikkan sesuatu.
"Siapa yang tak malu sekarang ni? Tak tahan sangat lah tu. Sampai masuk tandas pun pakai telekung. Kelakar lah kau ni," kata Farritz Aidil dalam tawa yang masih bersisa. Dia berundur dari Farisya Adlina lalu menuju ke balkoni biliknya.
Farisya Adlina yang menyedari lelaki itu sudah semakin menjauh, membuka penglihatan matanya lalu mengatur langkah ke katil Farritz Aidil lalu mengambil beg telekung yang diletakkan di situ sebentar tadi. Telekung yang tadinya masih tersarung di kepalanya masih tidak dibuka kerana dia sudah tidak tahan untuk berlama-lama lagi di situ menanggung malu.
Farritz Aidil hanya memandang sambil memeluk tubuh. Senyuman manis masih tidak lekang dari bibirnya. Gadis itu hanya menunduk. Mungkin malu untuk melihat lelaki itu.
Entah mengapa timbul 1 perasaan aneh yang sedang menyelinap masuk ke seluruh tubuhnya. Tetapi, dengan akal warasnya, dia cepat-cepat menghalang perasaan itu pergi.
"Maaf sebab guna bilik kau tanpa minta izin. Aku nak solat tadi tapi tak ada tempat. Tak perasan kau dah balik. Apa-apa pun, thanks aku ucapkan. Lagi satu, maaf sebab usik barang dalam bilik ni. Aku dah tak tahan sangat dengan bilik yang dah macam tongkang pecah ni. Tongkang pecah pun tak teruk macam bilik kau ni tau. Rimas mata aku tengok bilik bersepah-sepah. Tu yang aku kemas. Nak marah, marah lah. Aku tak kisah. Okey? Assalamualaikum," ucap Farisya Adlina panjang sebelum sempat Farritz Aidil bersuara.
Farisya Adlina keluar dari bilik sambil dihantar senyuman manis Farritz Aidil. Setelah pintu bilik ditutup rapat, Farritz Aidil meneruskan niatnya yang tertunda tadi. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila mengenangkan kisah tadi.
'Eh, berangan pula aku ni,' Farisya Adlina tertawa kecil sambil meraup wajahnya. Entah bagaimana dia boleh berangan begitu lama sekali.
Nasib baik Farritz Aidil belum masuk ke bilik. Jika tidak pasti itu akan menjadi insiden paling memalukan buatnya. Termenung bersendirian sambil tersengih-sengih di hadapan bilik air. Dia lantas masuk ke bilik air untuk mandi.
"TAHNIAH Ritz. Akhirnya dapat juga kau memperisterikan seorang gadis yang cantik macam bidadari," ujar Syed Aizriel sambil mengusap lembut bahu Farritz Aidil. Pengantin lelaki itu sedang duduk termenung seorang diri di taman bunga di halaman rumahnya. Dia lebih suka menyendiri di kala ini.
"Banyak lah kau punya bidadari. Pada aku, dia tu tak ubah macam perempuan yang baru turun dari neraka!" bentak Farritz Aidil sekerasnya.
"Kenapa pula kau cakap macam tu? Perempuan kalau baru turun dari neraka tak cantik macam tu. Isya tu dah lah cantik, baik, sopan pula tu. Kenapa kau cakap dia macam tu?" tanya Qayyum Farkhan kehairanan.
"Dia tu umpama api dalam sekam. Nampak macam diam. Tapi rupa-rupanya ada agenda tersendiri nak musnahkan hidup orang lain," Farritz Aidil memalingkan wajahnya. Dia kelihatan kacak berpakaian baju melayu berwarna merah hati, sedondon dengan gaun labuh yang dipakai Farisya Adlina. Tanjak yang tadinya dipakai sudah ditanggalkan. Farritz Aidil kelihatan serabai apabila meraup rambutnya yang tercacak berkali-kali.
"Tak baik tau kau cakap macam tu. Isya tu dah cukup perfect untuk kau. Kalau kau tak nak, bagi aku saja lah. Aku masih ada lagi 3 tempat kosong," Qayyum Farkhan tersengih-sengih sendirian.
"Malas lah nak cakap dengan kau orang ni. Buat sakit hati je. Dah lah. Aku masuk dulu. Kau orang balik lah cepat-cepat ya. Menyakitkan hati betul. Okey lah. Chow!" Farritz Aidil berlalu dengan wajah serius. Qayyum Farkhan dan Syed Aizriel hanya memandang tanpa kata.
No comments:
Post a Comment