6
'Kalau Berpacaran'
"Tiera, kau tunggu aku kat kereta dulu. Aku nak beli souvenier untuk Ika. Aku lupa nak beli tadi," ujar Afifa apabila teringat bahawa dia terlupa untuk membeli hadiah buat adik Qayyum Farkhan yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-18. Mereka semua dijemput menghadiri majlis hari jadi Ika hujung minggu nanti.
Entah mengapa semasa Atiera membeli hadiah tadi, dia langsung tidak terfikir untuk sama-sama membeli hadiah buat Ika. Apa yang difikirkannya sepanjang membeli belah di shopping complex itu, hanya untuk mencari barang perhiasan rumah. Itu lah tujuan mereka ke sini.
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang sudah berkunjung ke Berjaya Times Square ini, lebih baik dia membeli terus hadiah buat Ika, biarpun majlis itu pada hujung minggu nanti.
Afifa melangkah laju menaiki escalator yang sedang bergerak ke atas. Dia mahu cepat sampai ke kedai cenderahati yang dikunjungi dia dan Atiera sebentar tadi. Dia tidak mahu Atiera tertunggu-tunggu akan dirinya di tempat letak kereta di tingkat bawah.
Baru sahaja Afifa hendak melangkah meninggalkan tangga escalator, tubuhnya terkaku. Dia menarik-narik kaki kirinya yang masih berada di tangga escalator. Dia dapat merasakan kasut bertumit halus setinggi 4 inci tersekat di tangga paling hujung.
Afifa menoleh ke belakang. Ramai orang di belakangnya sedang berasak-asak meminta ruang untuk lalu, memandangkan tangga escalator yang masih bergerak. Afifa semakin cemas. Dia cuba menarik keluar kasut berjenama Gucci yang beru dibelinya bulan lepas, tetapi gagal.
Pengawal keselamatan yang duduk di tepi escalator memandang pelik ke arah Afifa yang sedang terkial-kial menarik keluar kakinya. Dia hanya tersenyum sumbing apabila melihat lelaki separuh abad itu memandang ke arahnya.
"Pak cik, tolong.." Afifa merayu pertolongan pengawal keselamatan itu. Wajahnya jelas menampakkan keresahan dan rasa malu yang teramat sangat.
"Tunggu sekejap," ujar lelaki tua berbaju seragam itu. Atas rasa belas kasihan, dia bangun dari kerusi tempat dia duduk lalu berjalan menuju ke arahnya. Mungkin mahu memberhentikan escalator tersebut. Hatinya tercuit melihat gelagat Afifa yang sedang panik sambil kaki yang masih tersekat di tangga escalator.
Dalam waktu yang sama, Afifa terpandang akan Syed Aizriel yang sedang memimpin seorang kanak-kanak perempuan di sebelahnya. Syed Aizriel yang sedang menuruni tangga escalator di sebelah terkaku memandang Afifa yang merenung tepat ke arahnya. Entah apa yang dibuat oleh gadis itu berdiri di hujung tangga escalator itu, dia sendiri tidak pasti.
Afifa memalingkan wajah dan tubuhnya. Dia berdoa agar Syed Aizriel tidak menyedari keadaanya sekarang. Kelibat Syed Aizriel semakin menghilang. Afifa menarik nafas lega.
Mungkin lelaki itu sudah meneruskan perjalanannya tanpa mempedulikan dirinya yang sedang menanggung rasa malu yang teramat sangat. Kakinya juga terasa sakit kerana terlalu lama berdiri.
"Ada apa-apa yang boleh saya bantu?"
Afifa menoleh ke belakang. Lemah segala sendinya melihat Syed Aizriel yang sudah tercongok di sebelahnya. Afifa berlagak selamba. Dia tersenyum tawar. Fikirannya menerawang mencari alasan supaya Syed Aizriel tidak menyedari bahawa dia sedang panik.
"Awak ada masalah ke? Awak Ifa kan? Kawan Isya," tegur Syed Aizriel ramah. Dia mengukir senyuman mesra.
"Tak lah. Awak siapa? Ifa tu siapa? Tak kenalpun. Awak salah orang ni," dalih Afifa. Tidak logik sungguh kata-katanya itu. Mustahil Syed Aizriel tidak mengecam orang yang dia suka selama ini. Syed Aizriel sendiri tidak pasti sejak bila hatinya terpaut pada gadis cantik di hadapannya itu.
"Tak mungkin saya salah orang. Kenapa awak berdiri dekat sini? Dari tadi lagi awak tercongok dekat sini. Ada apa-apa masalah ke?" balas Syed Aizriel.
"Pak Long, kasut kakak ni tersekat dekat dalam tu. Patut lah dia tak bergerak dari tadi," anak saudara Syed Aizriel menarik tangan Syed Aizriel lalu menuding jarinya ke arah kasut Afifa yang masih tersekat di tangga escalator.
Terbeliak mata Afifa mendengar kata-kata kanak-kanak perempuan itu. Wajahnya berubah merah serta merta apabila melihat Syed Aizriel yang sedang menekup mulutnya menahan tawa. Bukan mahu menolong, malah ditertawakan.
"Mana ada.. Kakak saja masukkan tumit kakak dalam ni. Kakak tengah tunggu kawan lah," Afifa masih tidak mahu mengalah. Malu sungguh dia pada lelaki itu.
Kalau lah tumitnya keluar dari escalator itu, dia akan mencubit pipi tembam kanak-kanak itu semahunya. Geram benar dia melihat kepetahan kanak-kanak itu berbicara sehinggakan Syed Aizriel menyedari tentang tumit kasutnya yang tersangkut di tangga escalator itu.
"Tak apa pak cik. Biar saya tolong?" pelawa Syed Aizriel ikhlas ingin membantu. Tawanya sudah reda. Pengawal itu tersenyum seraya mengangguk perlahan.
"Tolong apa? Tak payah lah.. Saya tak ada apa-apa masalah pun.." Afifa cuba melarang.
"Awak bongkok sikit, saya cuba tarik keluar kasut awak," Syed Aizriel menghampiri Afifa. Afifa kaget apabila Syed Aizriel memegang kaki Afifa. Dia kelihatan teragak-agak untuk menyentuh kaki gadis itu. Takut kalau-kalau tersalah sentuh, padah baginya.
"Apa lah Pak Long ni.. Pak Long suruh lah kakak buka kasut tu dulu. Lepas tu Pak Long tarik lah kasut kakak tu keluar. Takkan itupun Yul nak ajar?" bebel Nurul Syuhada, kanak-kanak berumur 6 tahun itu.
Benar juga kata-katanya itu. Entah mengapa Syed Aizriel langsung tidak memikirkan idea yang diberikan anak saudaranya itu sejak tadi. Mungkin kerana terlalu gementar bertemu dengan gadis pujaan hatinya itu.
"Betul lah. Kenapa lah Pak Long tak terfikir, kan Yul?" Syed Aizriel menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia segera menyuruh Afifa menanggalkan kasut yang dipakainya itu lalu dia menarik keluar kasut tersebut. Setelah misi selesai mereka bertiga berbual mesra sekadar mengucap terima kasih.
Sedang mereka berbual-bual, Atiera tiba-tiba muncul dengan wajah masamnya. Mungkin berang kerana hampir setengah jam dia menunggu Afifa, gadis itu rupa-rupanya sedang bergembira di tingkat atas.
Afifa sedikit cemas. Dia memang tidak suka membuat rakannya itu marah kerana dia tahu, Atiera jika sedang marah, bukan sahaja rupanya mengalahkan singa, malah lebih teruk daripada Hulk.
"Aku tunggu kau macam orang bodoh kat bawah, kau boleh bergurau senda pula dengan mamat ni kat sini? Kau buat aku marah lah, Ifa," Atiera menghamburkan kemarahannya. Afifa tergagap-gagap menjawab kata-kata Atiera. Dia memang yakin, kali ini pasti akan tercetus perang lagi antara mereka.
"Bukan macam tu. Aku ada masalah sikit tadi. Nasib baik Riel ada."
"Betul tu, kak. Kesian kakak ni. Tumit kasut dia tersangkut kat dalam tangga escalator ni. Tu yang Pak Long Yul tolong kakak ni," sokong Nurul Syuhada tanpa dipinta.
"Dah lah. Hal dah settle. Jom kita pergi makan ais krim. Saya belanja," Syed Aizriel tersenyum manis.
"Ais krim? Nak! Jom lah cepat, Pak Long.." Nurul Syuhada menarik tangan Syed Aizriel. Afifa dan Atiera berpandangan sesama sendiri.
"Jom lah. Sekejap je.." pujuk Syed Aizriel memandangkan Afifa dan Atiera masih belum bergerak.
Akhirnya Afifa menarik tangan Atiera mengikuti langkah Syed Aizriel. Atiera akur walaupun hatinya sedikit bengang dengan Afifa. Afifa berjalan seiringan dengan Syed Aizriel. Dia dan Syed Aizriel tersenyum mesra membuatkan Atiera sedikit meluat.
Mungkin cemburu kerana layanan Qayyum Farkhan terhadapnya tidak seromantik layanan Syed Aizriel terhadap Afifa. Afifa juga sangat mesra dan sabar melayan kerenah Nurul Syuhadah. Dia dan Syed Aizriel sama-sama terhibur menyuap kanak-kanak itu makan. Sementara Atiera hanya mampu berpura-pura tersenyum.
No comments:
Post a Comment