12
'Baik-baik Sayang'
"Isya, kau tunggu sini kejap. Aku nak pergi ladies. Tak tahan lah," ujar Atiera sambil berlalu pergi meninggalkan Farisya Adlina yang sedang berdiri tegak di tengah-tengah shopping complex. Tangannya penuh dengan beg kertas yang berisi pakaian rakan-rakannya yang lain. Farisya Adlina hampir hilang sabar menunggu Afifa dan Lia yang sudah hampir 15 minit di dalam tandas. Atiera juga begitu. Sakit benar hatinya apabila diperlakukan sebegitu.
"Ala kesiannya dia. Nak kita orang tolong tak?" tegur seorang perempuan dari arah belakang Farisya Adlina. Farisya Adlina tidak pasti siapa gerangan orang yang menegurnya itu. Tetapi berdasarkan cara gelaknya, Farisya Adlina sudah dapat mengagak siapa orang yang mentertawakannya itu.
Dia yang sedang sarat memegang barang-barang tersebut menoleh ke belakang. Tanpa disangka-sangka, barang-barang yang dipegangnya jatuh ke lantai. Semua pengunjung pusat beli belah itu hanya memandang tanpa rasa kasihan. Tawa kedua-dua gadis itu pula semakin kuat. Farisya Adlina terkulat-kulat memungut pakaian serta jam tangan yang sudah terkeluar daripada kotaknya itu.
'Sabar Isya.. Sabar..' Farisya Adlina menenangkan hatinya.
"Tak apa. Biar saya tolong," Farisya Adlina mengangkat wajahnya apabila tersedar ada tangan kasar yang sedang membantunya memungut barang-barang tersebut.
'Danisy!' jerit hati Farisya Adlina apabila terpandang wajah tampan lelaki berkaca mata hitam itu. Pergerakan tangannya terhenti seketika. Erin dan Intan Natasha terpana melihat kekacakan Asyraf Danisy. Mereka sudah bersiap-siap untuk mula menggoda Asyraf Danisy seperti biasa.
Asyraf Danisy dan Farisya Adlina bangun setelah selesai memungut barang yang bertaburan tadi.
"Hai.. Nama I Erin. Putri Erin Syazrine Tan Sri Adnan. Nice to meet you," seperti kebiasaannya, Erin dan Intan Natasha memulakan straterginya. Belumpun sempat Farisya Adlina mengucapkan terima kasih kepada Asyraf Danisy, kedua-dua gadis itu sudah menegurnya dahulu.
Tergamam mereka melihat gaya gedik Erin dan Intan Natasha. Huluran tangan Erin tidak bersambut sebaliknya Asyraf Danisy membuka cermin mata hitamnya lalu merenung tajam kedua-dua gadis berpakaian seksi itu.
"Assalamualaikum.. Maaf. Lelaki dan perempuan tak boleh bersentuhan. Haram. Nama saya Is," teguran Asyraf Danisy menyentakkan mereka berdua. Farisya Adlina yang sedang ketawa menekup mulutnya.
"Ya ke? Opss.. Sorry. By the way, what's your name?" tanya Erin masih belum mengalah. Intan Natasha sudah terkaku mendengar sindiran sinis Asyraf Danisy. Mahu sahaja dia terus berlalu sekarang ini juga.
"Ni kenapa pakai macam ni? Awak kan orang Islam. Tak malu ke orang lelaki tengok tubuh awak? Tak apa lah. Tadi saya ada beli baju kurung untuk adik perempuan saya. Awak ambil lah. Saya hadiahkan. Saya rasa awak mesti muat pakai. Badan adik saya sama besar dengan awak. Ada dua helai dalam tu. Ambil lah seorang satu. Tudung pun ada. Pakai tau," Asyraf Danisy menghulurkan sebuah beg kertas berisi pakaian yang baru dibelinya tadi kepada Erin. Erin hanya menyambutnya perlahan.
"Lagi satu, kenapa awak berdua tak tolong Farisya? Saya tengok dari tadi awak berdua ketawakan dia. Kenapa buli bakal tunang saya?" tanya Asyraf Danisy sopan. Farisya Adlina tergamam.
"Eh.. Ya ke? Err.. Kami pergi dulu ya. Okey bye. Jom Erin," Intan Natasha sudah tidak tertahan lagi disindir begitu. Dia lantas menarik Erin meninggalkan dua insan itu.
"Isya tak apa-apa?" tanya Asyraf Danisy prihatin. Mata gadis itu langsung tidak berkelip merenung wajahnya apabila mendengar perkataan bakal tunang dari mulut lelaki itu.
"Isya.." Asyraf Danisy melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka Farisya Adlina. Serentak itu, Farisya Adlina bagaikan baru terjaga dari mimpi. Dia tertunduk malu.
"Isya termenung apa ni?" Asyraf Danisy tersenyum manis.
"Saya..." suaranya tersekat apabila Lia tiba-tiba muncul dan berjalan menghampiri mereka. Gadis itu seperti sedang meneliti bajunya yang ada tanda-tanda terkena air.
"Isya, sorry lama sangat. Tiera tersiram air kat baju aku. Habis basah ba...." kata-katanya tergantung di situ tatkala pandangannya tertumpu kepada Asyraf Danisy yang masih berdiri di hadapan rakannya itu.
"Lia, kenalkan. Ni kawan aku, Danisy. Danisy, ni kawan saya, Lia," Farisya Adlina tersenyum manis. Beg-beg yang sepatutnya ada di tangannya kini sudah berpindah ke tangan Asyraf Danisy. Baru sekarang dia perasan mengenainya.
"Oh.. Assalamualaikum. Nice to meet you, Is," sapa Lia sambil tersenyum malu. Asyraf Danisy mengangguk perlahan. Atiera dan Afifa keluar dari tandas awam beberapa minit kemudian lalu turut serta memperkenalkan diri kepada Asyraf Danisy.
Hari itu, mereka berlima makan malam bersama-sama dibelanja Asyraf Danisy. Tiada siapa yang tahu betapa bahagianya lelaki itu dapat bersama dengan gadis pujaannya sepanjang hari. Biar lah kebahagiaan itu kekal selamanya. Dia bertekad, suatu hari nanti, pasti gadis itu akan menjadi miliknya..
Ya.. Suatu hari nanti...
"AWAK pasti ke dengan keputusan awak ni, Irah? Kalau mereka tak mahu macam mana?" tanya Dato' Zahid yang sedang duduk di atas katil. Matanya masih memandang tepat ke arah isterinya yang sedang menggubah barang hantaran.
Di sudut kanan bilik terdapat bakul-bakul bunga kecil yang diisi dengan cincin emas bertatahkan berlian, sebuah Al-Qur'an, telekung dan sejadah, serta tepak sirih yang diselaputi oleh kain renda berwarna putih susu.
"Kita kena cuba. Saya tahu Ritz memang betul-betul suka pada Isya. Kita je yang tak tahu," jawab Datin Munirah seraya tersenyum manis kepada suaminya.
Dia bersungguh-sungguh mahu mengahwinkan Farisya Adlina dengan Farritz Aidil. Semuanya demi keutuhan rumah tangganya. Jika tidak, dia yang akan menerima akibatnya. Pokoknya, perkahwinan itu mesti segera berlangsung.
"Awak jangan buat keputusan syok sendiri, Irah. Awak beli barang-barang ni sikitpun tak bincang dengan saya dulu. Sekurang-kurangnya bincang lah dengan Ritz dan Isya dulu. Kalau mereka menolak, kita yang malu tau," ujar Dato' Zahid mematikan senyuman di bibir Datin Munirah.
"Abang ni, kan kita sama-sama dah setuju nak satukan budak berdua tu. Kak Kiah dan Abang Mahmud pun dah setuju. Kenapa abang nak membangkang pula?" Datin Munirah kelihatannya sudah naik berang dengan sikap suaminya yang tidak pernah setuju dengan pendapatnya.
"Sebab Ritz tu anak saya! Ritz satu-satunya anak saya. Saya akan pastikan anak saya bahagia dengan pilihan dia," bangkang Dato' Zahid. Suaranya semakin meninggi.
"Ritz pun anak saya juga! Saya ibu dia. Saya yang membesarkannya sejak Umi meninggal. Saya pun ada hak nak tentukan kebahagiaan dia," balas Datin Munirah. Dato' Zahid terkejut mendengar suara isterinya itu lebih tinggi daripada suaranya. Hatinya sedikit kecewa apabila seorang isteri yang mithali boleh menderhaka kepadanya hanya kerana hal perkahwinan anak mereka.
"Suka hati awak lah Irah. Saya tak mahu bergaduh dengan awak. Saya tahu, saya ni bapa yang tak berguna. Saya dah cacat sehinggakan isteri yang saya anggap seorang wanita solehah boleh menderhaka kepada saya dan membelakangkan suaminya sendiri. Sudah lah Irah. Awak saja lah yang buat keputusan. Apa pun dosa Irah pada abang malam ni, abang dah maafkan. Assalamualaikum," Dato' Zahid begitu tersentuh dengan sikap Datin Munirah.
Selimut yang tadinya menutup kakinya ditarik ke atas lalu Dato' Zahid membaringkan tubuhnya perlahan-lahan. Dato' Zahid benar-benar berharap bahawa rasa curiga kepada Datin Munirah yang dirasakannya waktu ini hanya perasaannya sahaja.
"Itu lah awak. Dah tua-tua pun nak merajuk macam budak-budak. Tak apa. Nanti kalau budak-budak tu bahagia, awak jangan minta maaf dengan saya sebab marah-marah saya hari ni," Datin Munirah menghempas pintu bilik sekuat-kuat hatinya selepas berlalu keluar.
No comments:
Post a Comment