Wednesday, February 16, 2011

bab 25



25

'Curang'

Farisya Adlina memeluk tubuhnya erat.  Menikmati anugerah ciptaan tuhan ini merupakan suatu kenikmatan baginya.  Setiap kali ombak menghempas pantai,  kakinya yang tidak berkasut terasa seperti ditenggelami pasir halus pantai kerana dihanyut air laut.
          Memang menjadi minatnya berdiri menghadap laut yang terbentang luas ini.  Dengan ini,  segala masalah yang membelenggu fikirannya dapat dilenyapkan buat seketika.
          Sejak tiba di Langkawi Lagoon Resort ini pagi tadi,  dia belum lagi pulang ke bilik.  Kalau boleh dia tidak mahu pulang langsung ke bilik kerana masih sakit hati dengan insiden yang berlaku sebelumnya. 
          Hatinya masih belum boleh melupakan wajah Intan Natasha yang sentiasa mengikutinya sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Langkawi.  Gadis itu bagaikan sudah tahu akan perancangan bulan madu mereka ini.
          Bukan hanya datang bersama dia dan Farritz Aidil,  malah Intan Natasha telah menempah bilik bersebelahan dengan bilik mereka.  Intan Natasha memang tidak pernah serik menghancurkan rumah tangganya.  Jika bukan kerana dia,  pasti Farritz Aidil akan menerima dirinya sebagai isteri,  sekaligus menyayangi dirinya sepenuh hati.
          Farisya Adlina meraup wajahnya berkali-kali.  Entah bagaimana dia boleh berfikiran begitu.  Hatinya begitu sebal dengan tindakan Farritz Aidil yang menipu ibu bapa mereka dengan mengatakan bahawa mereka pergi berbulan madu di Paris.  Padahal mereka hanya berbulan madu di Pulau Langkawi. 
          Sudah lah sedih diperlakukan begitu,  ditambah pula dengan sikap Intan Natasha yang menjadi pengacau hubungan mereka yang seakan-akan sudah retak menanti belah.


"SAYANG,  you datang sini ada urusan apa?"  ujar Farritz Aidil sambil matanya merenung manja wajah kekasihnya itu.  Intan Natasha yang duduk di sebelah Farritz Aidil melentokkan kepalanya di bahu Farritz Aidil.  Kasih sungguh gadis itu kepada kekasihnya yang juga suami kepada Farisya Adlina.  Mereka berdua langsung tidak menghiraukan pandangan orang awam yang lalu lalang di situ.
          "Saja..  I memang dah tahu you nak ke sini.  Tu yang I follow you.  Tak berani lah I nak biarkan you pergi berdua je dengan perempuan tu.  Nanti you menggatal dengan dia,"  balas Intan Natasha.  Dia memperbetulkan kedudukannya di bangku batu itu.  Terasa lenguh pula tubuhnya duduk di bangku itu lama-lama. 
          Sudah hampir 2 jam pasangan kekasih itu bersiar-siar di seluruh Pulau Langkawi.  Mungkin dek kerana kepenatan,  mereka berdua duduk menikmati angin bayu di tepi pantai berhadapan dengan chalet tempat mereka menginap.
          "Mana you tahu?  You intip I,  ya?"
          "Mesti lah..  Everything about you,  its in my hand,  my dear.."  ujar Intan Natasha lembut sambil jemari runcingnya mengelus lembut pipi Farritz Aidil.  Lelaki itu hanya tersenyum manis.
          "Sayang,  you tengok tak muka bini you masa you suruh dia keluar dari kereta tadi?  Masam mencuka.  Nak tergelak I tengok muka dia,"  Intan Natasha tergelak sendiri.  Hatinya benar-benar puas dapat mengenakan Farisya Adlina.  Dia yakin Farisya Adlina pasti bengang dengan insiden itu. 
          Mana tidaknya,  sedang dia tidur lena di sisi Farritz Aidil yang sedang memandu ke Pulau Langkawi ini,  dia dikejutkan dengan panggilan Farritz Aidil yang mengarahkannya supaya berpindah ke tempat duduk belakang kerana Intan Natasha berkeras mahu duduk di sebelahnya. 
          Hampir sahaja Farisya Adlina dilempang tangan kasar Farritz Aidil kerana membantah.  Mahu tidak mahu dia terpaksa juga menurut kata suaminya.
          "Tahu tak apa.  Kelakar,  kan?  Tapi nasib dia baik betul tadi.  Kalau dia melawan tadi,  memang dah makan pelempang I dah.  Tak sedar diuntung betul dia tu,"  jawab Farritz Aidil.  Dia tersenyum puas.  Hatinya benar-benar puas mengenakan Farisya Adlina.  Baru dia tahu akibat berkahwin dengan lelaki sepertinya.
          "Sayang..  I've something to tell you,"  ujar Farritz Aidil serius.  Dadanya berombak kencang.
          "What?  Kenapa you serius semacam ni?"
          "I dah fikir masak-masak.  I betul-betul cintakan you.  I rasa dah tiba masanya I buat keputusan ni,"  sambungnya tanpa menghiraukan pertanyaan Intan Natasha.
          "Keputusan apa?  I tak faham lah.."
          "Keputusan untuk memiliki you..  I dah buat keputusan untuk memperisterikan you,  Intan,"  jawabnya sambil merenung mata Intan Natasha.  Pandangan itu seperti sedang mengharapkan jawapan. 
          Intan Natasha terpempam.  Tidak mungkin Farritz Aidil senekad ini.  Dia mula menggelabah.  Bagaimana caranya dia mahu menjelaskan perkara sebenar kepada Farritz Aidil.  Lelaki itu kelihatannya benar-benar mencintainya. 
          Tetapi dia tidak boleh menerima lamaran itu.  Bukan kerana tidak menyintai lelaki di hadapannya itu tetapi dia mempunyai sebab-sebab tertentu untuk menidakkannya.
          "So..  Will you marry me?"  ucap Farritz Aidil berani.  Dia benar-benar nekad kali ini.  Dia mahu memperisterikan gadis idamannya ini secepat mungkin.  Dia tidak mahu jika dia terlewat menyunting gadis ini,  dia sendiri yang akan berputih mata.
          "Marry?  But..  Err..  I.."  tergagap-gagap Intan Natasha menyahut lamaran Farritz Aidil.  Dia buntu sama ada mahu menerima dan memberi harapan kepada lelaki ini atau terus menolaknya dan akan ditinggalkan selepas itu.
          "You jangan risau.  Lepas kita nikah nanti,  I akan ceraikan perempuan tu.  I tak akan menduakan you.  I betul-betul cintakan you.."  terpana Intan Natasha mendengar pengakuan kekasihnya itu. 
          Ternyata,  lelaki ini memang benar-benar menyintainya sehinggakan sanggup meninggalkan wanita semulia Farisya Adlina demi dirinya.

No comments:

Post a Comment