Wednesday, February 16, 2011

bab 31



31

'Tugu Cinta'

Farisya Adlina masih tekun melipat baju di dalam bilik.  Semua hasil lipatan bajunya disusun elok di dalam beg pakaiannya.  Esok dia akan kembali semula ke KL setelah hampir sebulan di sini. 
          Semenjak menerima berita kemalangan Farritz Aidil,  Farisya Adlina telah datang semula ke Pulau Langkawi ini untuk menjaga suaminya yang masih tidak menyedarkan diri ketika itu.  Hanya Farritz Aidil yang tidak menyedari kehadirannya.
          Farisya Adlina telah dimaklumkan oleh Doktor Helmi semalam bahawa Farritz Aidil sudah sedar dan dibenarkan pulang keesokan harinya.  Oleh kerana itu Farisya Adlina tidak berani datang menjenguk Farritz Aidil seperti biasa.  Takut juga kalau-kalau Farritz Aidil akan menghalaunya. 
          Tetapi kebetulan pula pagi-pagi lagi Dato' Zahid dan Datin Munirah telah datang ke Pulau Langkawi untuk menziarahi anak mereka yang baru sedar daripada koma itu.
          Setelah selesai memasukkan pakaian ke dalam beg,  Farisya Adlina membaringkan tubuhnya ke atas katil.  Selesa sungguh apabila dapat merehatkan diri di hotel bertaraf lima bintang ini. 
          Oleh kerana pagi esok dia akan beransur pulang ke KL,  mungkin seorang diri,  dia mahu menghilangkan segala tekanan yang membelenggu fikirannya kini.  Berkemungkinan besar,  selepas pulang ke KL nanti,  cabaran yang akan dihadapinya menjadi lebih berat.  Mengenangkan dirinya yang sudah dimadukan.
          Madu?  Dia masih ingat lagi Farritz Aidil pernah menyatakan bahawa apabila dia dan Intan Natasha sudah berkahwin,  maka jatuh lah talak satu ke atas dirinya.  Tetapi,  jika benar dia mengandung,  maka talak itu tidak sah.  Tetapi sempatkah mereka berkahwin sebelum kemalangan tersebut berlaku?  Ah,  kusut benar fikirannya di saat ini.
          Sedang dia asyik meneliti segenap ruang bilik hotel Padang Mat Sirat yang didiaminya ini,  fikirannya tiba-tiba menerawang memikirkan tentang Farritz Aidil.  Farisya Adlina mendakap erat bantal di sebelahnya. 
          Farritz Aidil.  Bahagianya hati ini jika dapat melihat senyuman suaminya itu setelah hampir sebulan melihat wajahnya yang murung sedang bertarung dengan kematian.  Walaupun lelaki itu banyak melukai hatinya,  namun dia tetap tidak membencinya sepertimana yang selalu dia nyatakan kepada rakan-rakannya. 
          Dia masih ingat lagi detik-detik cemas ketika dia dimaklumkan mengenai berita kemalangan suaminya itu.
          Farisya Adlina cepat-cepat mencuci tangannya setelah terdengar bunyi telefon bimbitnya yang berdering di ruang tamu.  Kelam kabut sungguh dia hari ini.  Belumpun selesai mencuci pakaian,  dia sudah mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun  di singki. 
          Sudah menjadi kebiasaannya untuk membantu Nina mengemas rumah.  Malangnya hari-hari minggu sebegini Nina tidak bekerja kerana diberi cuti.  Jadi terpaksa lah dia melakukan semua kerja-kerja rumah bersendirian.
          Farisya Adlina mengelap tangannya yang masih basah.  Terkejar-kejar dia mendapatkan telefon bimbitnya yang masih berdering.  Tidak sempat melihat nama pemanggil,  Farisya Adlina terus menjawab panggilan tersebut.  Mungkin rakan-rakannya yang mahu mengajaknya keluar bersiar-siar.  Hujung minggu seperti ini memang seronok jika dapat pergi membeli belah.
          Beberapa ketika selepas menerima panggilan itu,  Farisya Adlina jatuh terjelepok.  Matanya langsung tidak berkelip.  Tanpa berfikir panjang,  Farisya Adlina bangkit semula lalu berlari menuju ke biliknya.  Mujur lah ibu bapanya tiada di rumah.  Jika tidak pasti mereka sendiri tertanya-tanya mengapa Farisya Adlina berkelakuan kelam kabut begini.
          Setibanya di Pulau Langkawi,  Farisya Adlina terus memandu ke destinasi tujuannya iaitu di Hospital Sultanah Bahiyah,  Kedah. 
          Sejurus selepas dikejutkan dengan berita kemalangan Farritz Aidil,  Farisya Adlina terus bergegas menuju ke rumah mertuanya untuk mengkhabarkan hal ini.  Namun kedua-dua mertuanya tidak dapat turut serta melawat Farritz Aidil memandangkan kesihatan Dato' Zahid yang tidak menentu.
          Farisya Adlina melangkah masuk ke bilik di mana Farritz Aidil ditempatkan.  Dia termangu di muka pintu bilik melihat keadaan Farritz Aidil yang terlantar tidak sedarkan diri. 
          Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata jururawat yang menelefonnya tadi bahawa peluang untuk Farritz Aidil berjalan semula amat tipis.  Kerana hampir keseluruhan tulang kaki kanannya sudah retak dan patah.
          Farisya Adlina memberanikan dirinya mendekati Farritz Aidil.  Sayu benar hatinya melihat suaminya dalam keadaan begitu.  Wajahnya penuh dengan kesakitan.  Tubuhnya lemah longlai.  Pernafasannya perlahan sekali. 
          Dia menarik kerusi di sebelah katil lalu duduk menghadap Farritz Aidil.  Memandangkan Farritz Aidil dikatakan masih belum menyedarkan diri,  Farisya Adlina berani untuk duduk di sisi lelaki itu lebih lama.
          Semenjak itu,  Farisya Adlina lah yang menemani Farritz Aidil di hospital setiap hari.  Setiap pagi,  dia lah yang mengelapkan tubuh Farritz Aidil.  Dia juga yang menukarkan pakaian Farritz Aidil walaupun adakalanya dia terpaksa menutup matanya dek kerana malu untuk memandang tubuh Farritz Aidil.  Farisya Adlina tidak jemu-jemu mengalunkan bacaan yasin ke telinga Farritz Aidil.
          Beberapa hari kemudian,  dia dimaklumkan dengan kehadiran ibu bapa mertuanya.  Setelah itu dia diberi khabar gembira bahawa Farritz Aidil telah sedar dari koma.  Mujur lah sewaktu lelaki itu sedar,  dia tiada bersamanya.  Jika tidak,  pasti Farritz Aidil akan menghalaunya.
          Farisya Adlina terkejut apabila mendengar bunyi telefon bimbitnya berdering kuat.  Segala lamunannya termati di situ.  Jauh benar dia termenung tadi. 
          Dia segera menjawab panggilan telefon itu lalu turun dari katil.  Riak wajahnya berubah riang sebaik mendengar suara rakan-rakannya di hujung talian.  Buat seketika,  rindunya terhadap mereka lenyap bersama lamunan panjangnya sekian lama berkhayal tadi.


"ISYA balik dengan siapa,  bang?  Nak tunggu dia tak?"  Datin Munirah bersuara sambil tangannya masih ligat mengemas pakaian Farritz Aidil. 
          Hari ini,  seperti yang dijanjikan,  Farritz Aidil diberi kebenaran untuk keluar dari hospital memandangkan kesihatannya semakin pulih.
          "Isya?  Balik?  Dia pun ada datang juga ke,  bu?"  Farritz Aidil mengerutkan dahinya.  Semenjak ibu bapanya tiba tadi,  dia hanya duduk di kerusi roda dengan bantuan bapanya.
          "Ada..  Ritz tak tahu ke?"  ujar Dato' Zahid.
          "Buat apa perempuan tu datang?  Sibuk je.."  Farritz Aidil mencebikkan bibirnya.  Dia benar-benar benci mendengar nama itu. 
          Dia berasa sungguh tercabar apabila mengetahui Farisya Adlina ada datang melawatnya.  Pasti wanita itu mentertawakan dirinya apabila melihat dia terlantar sakit di situ.
          "Kenapa cakap macam tu?  Dah tentu lah perempuan tu yang jaga Ritz siang malam sejak Ritz masuk hospital,"  bentak Dato' Zahid.
          "Ala..  Baru sehari dah nak kecoh.."  Farritz Aidil mengendurkan suaranya apabila menyedari bahawa bapanya sangat marah kepadanya.  Sekali lagi dia mencebikkan bibirnya tanda meluat mendengar bapanya membela wanita yang dibencinya itu.
          "Sehari,  Ritz cakap?  Ritz tahu ke berapa lama Ritz terlantar kat sini?"  balas Dato' Zahid.
          "Ah,  baru dua tiga hari.  Yang lebihnya ibu dengan ayah yang jaga Ritz.  Dia nak sibuk-sibuk apa hal?"  Farritz Aidil membuang pandang ke luar tingkap. 
          Kata-katanya langsung tidak mengejutkan Datin Munirah kerana wanita itu memang tahu bahawa pasangan suami isteri yang baru beberapa bulan bernikah itu memang tidak pernah menyintai.  Jadi memang sewajarnya Farritz Aidil membenci Farisya Adlina.
          "Kalau Ritz nak tahu,  kami baru sampai sini semalam,  tahu tak?  Ritz koma kat sini sebulan tau.  Selama Ritz masuk hospital,  Isya yang jaga Ritz.  Tukar baju Ritz.  Bacakan yassin untuk Ritz.  Berjaga tiap-tiap malam sebelah Ritz sebab Ritz selalu meracau malam-malam.  Ritz jangan jadi orang tak kenang budi.  Siapa ajar Ritz macam ni,  ha?"  Dato' Zahid sudah hilang sabar dengan sikap anaknya.
          "Assalamualaikum.."  pintu bilik dikuak perlahan.  Kelihatan Farisya Adlina masuk ke dalam bilik dengan tangan yang mengandungi beberapa not 50.
          "Waalaikumsalam..  Isya buat apa kat sini?  Bukan ke Isya kata nak balik tadi?"  ujar Dato'  Zahid sambil tersenyum melihat Farisya Adlina yang mengucup lembut tangan Datin Munirah.
          "Isya lupa nak bayar bil hospital tadi.  Tu yang Isya tak jadi balik awal.."
          "Apa hal pula kau yang bayar bil hospital aku?  Kau jangan nak berlagak suci lah.  Aku meluat,  tahu tak?"  Farritz Aidil tiba-tiba meninggikan suaranya terhadap Farisya Adlina yang duduk di samping ibunya. 
          Farisya Adlina dan ibu bapanya turut terkejut mendengar tengkingan Farritz Aidil.  Namun melihatkan Dato' Zahid yang tiba-tiba memegang dadanya,  Farisya Adlina berpura-pura tersenyum.
          "Ayah,  ibu,  jom kita turun bawah.  Ibu dengan ayah balik dengan Isya je,  ya?  Ibu tak bawa kereta,  kan?"  Farisya Adlina mengurut lembut dada Dato'  Zahid.  Datin Munirah hanya menurut langkah Farisya Adlina dan Dato' Zahid keluar meninggalkan Farritz Aidil seorang diri.
          "Hei!  Habis aku macam mana?"  Farritz Aidil memekik sekuat-kuat hatinya apabila pintu bilik kembali tertutup.  Kelibat mereka sudah tidak kelihatan.  Hatinya benar-benar bengang ditinggalkan sendirian di bilik itu. 
          Farritz Aidil semakin berang apabila memikirkan cara untuk dia pulang ke KL dengan keadaan begitu.  Dia menghentak tangannya di atas meja di sisinya.  Semua barang di atas meja tersebut habis berteraburan. 
          Beberapa minit kemudian,  pintu bilik terkuak semula.  Farritz Aidil cepat-cepat menggerakkan kerusi rodanya mendekati pintu bilik.  Pasti Doktor Helmi yang datang untuk menjenguknya seperti biasa.
          "Tahu pun sakit hati?  Dah,  jom turun,"  Farisya Adlina tersenyum sinis sambil berjalan menuju ke belakang Farritz Aidil.  Farritz Aidil terkaku seketika apabila kerusi roda yang dinaikinya bergerak ke hadapan ditolak Farisya Adlina.
          "Hei!  Berhenti!  Aku boleh balik sendiri lah!"  Farritz Aidil berteriak marah.  Tidak semudah itu dia mahu mengalah kepada Farisya Adlina. 
          Kalau boleh,  mahu sahaja dia menyorok dari bertemu Farisya Adlina gara-gara malu ketika Farisya Adlina melihat betapa beriya-iyanya dia ingin mendekati pintu ketika dia membuka pintu bilik tadi.
          "Eh,  degil pula mamat ni.  Dengar sini,  ya.  Awak jangan nak buat perangai tau.  Kalau awak degil sangat,  saya boleh tinggalkan awak kat sini kalau saya nak tau.  Tapi memandangkan parents awak ada kat sini,  saya terpaksa bawa awak balik.  Kalau awak nak sangat tinggal sini,  okey.  Saya beritahu Doktor Helmi sekarang juga,"  Farisya Adlina meninggalkan Farritz Aidil terkaku di situ. 
          Baru sahaja Farisya Adlina mahu membuka pintu bilik,  kedengaran suara garau Farritz Aidil mengaduh kesakitan.  Cepat-cepat Farisya Adlina berpatah balik ke arah Farritz Aidil.
          "Bawa aku balik.  Kepala aku sakit sangat ni.."  Farisya Adlina tersenyum sendirian apabila perasan bahawa Farritz Aidil hanya berpura-pura sakit. 
          Tanpa berkata apa-apa,  Farisya Adlina menolak kerusi roda Farritz Aidil turun ke tingkat bawah untuk kembali ke kereta.  Dia sudah malas hendak melayan ego Farritz Aidil yang tidak akan pernah surut.

No comments:

Post a Comment