20
'Manja Kekasihku'
Farisya Adlina mundar-mandir di beranda banglo mewah itu. Sesekali dia memeluk tubuhnya. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu. Penampilannya ringkas tetapi menarik seperti biasa hari ini. Dengan hanya mengenakan jeans biru dan dress kuning beserta selendang satin berwarna kuning kebiruan sudah cukup menampilkan kejelitaannya. Warna kulitnya yang cerah berseri kelihatan merah dan sedikit berpeluh di dahi.
Jam di tangan sudah hampir menunjukkan pukul 8 pagi. Farisya Adlina semakin gelisah. Sebentar lagi kuliah akan bermula. Keretanya pula tiba-tiba meragam. Sudah berapa lama dia tidak menghantar keretanya ke bengkel untuk diservis. Mungkin kerana itu, hari ini enjin keretanya tidak boleh dihidupkan.
Pada fikirannya, dia mahu menumpang Farritz Aidil untuk ke kuliah. Tetapi dia khuatir kalau-kalau lelaki itu tidak mahu menumpangkannya. Tetapi apa yang mampu dia lakukan sekarang. Dia terpaksa juga menebalkan muka meminta lelaki itu menumpangkannya.
Sudah hampir setengah jam menunggu sejak jam 7.30 pagi tadi, Farritz Aidil masih tidak muncul-muncul. Dia juga tidak pasti sama ada lelaki itu sudah bangun dari tidur atau belum. Kebiasaannya pada waktu-waktu sebegini, Farritz Aidil sudah bangun dan sedang memanaskan enjin kereta. Tetapi berbeza sungguh hari ini. Sudah jam sebegini pun, Farritz Aidil masih belum turun sarapan lagi.
Semenjak peristiwa ngeri malam pertamanya kelmarin, Farisya Adlina tidak berani tidur sebilik dengan Farritz Aidil. Dia tidur di bilik tetamu yang pernah digunakan ibu bapanya semasa kejadian itu menimpanya. Farritz Aidil tidak pula berkata apa-apa mengenai hal itu. Tambahan pula bilik Datin Munirah dan Dato' Zahid berada di tingkat bawah. Jadi, Farisya Adlina tidak takut untuk tidur berasingan dengan suaminya itu.
'Mana pula lah mamat ni? Tak turun-turun lagi. Aku dah lambat ni. Ni tak boleh jadi ni. Aku kena pergi panggil dia,' Farisya Adlina berjalan pantas menuju ke bilik suaminya. Dia mahu cepat-cepat sampai menemui Farritz Aidil.
Jika Farritz Aidil lambat, pasti dia puan akan terlewat untuk ke kuliah. Teguran Tuti di ruang makan langsung tidak dihiraukan. Apa yang difikirkannya kini, hanya Farritz Aidil. Termengah-mengah Farisya Adlina setibanya di hadapan pintu bilik Farritz Aidil. Dia memberanikan diri untuk mengetuk pintu bilik.
'Bismillahirrahmanirrahim..' tangannya di angkat perlahan. Baru sahaja dia mengetuk pintu itu, tiba-tiba...
"Aduh!! Sakit lah, woi! Kau ni apa hal?" terkaku Farisya Adlina melihat Farritz Aidil yang sedang menggosok dahinya akibat ketukan yang kuat oleh Farisya Adlina sebentar tadi. Farisya Adlina tidak perasan entah bila pintu bilik terbuka.
Sedang dia mengetuk pintu, tiba-tiba pintu dibuka, dahi Farritz Aidil pula yang diketuknya. Terketar-ketar tangan Farisya Adlina cuba meraba dahi Farritz Aidil yang semakin membenjol.
"Ritz.. Saya minta maaf. Saya betul-betul tak perasan awak buka pintu. Saya ingat nak ketuk pintu ni, nak panggil awak. Tiba-tiba awak keluar tak bagi isyarat. Tu yang terketuk dahi awak. Maaf.." Farisya Adlina semakin menggelabah melihat renungan tajam Farritz Aidil yang seakan-akan mahu membahamnya.
"Sakit kau tahu, tak? Dah tak handsome dah muka aku ni. Macam mana aku nak pergi kuliah dengan muka macam ikan flower horn macam ni?" Farritz Aidil berlalu menuju ke sofa berhadapan biliknya lalu melabuhkan punggungnya. Farisya Adlina bagaikan baru tersedar dari mimpi, terus turun ke tingkat bawah dengan pantas.
Beberapa minit kemudian, Farisya Adlina muncul semula dengan semangkuk air suam dan tuala kecil di tangannya. Tanpa segan silu, dia duduk di sebelah Farritz Aidil yang sedang menyandar di sofa. Farritz Aidil memalingkan kepala menghadap Farisya Adlina yang sedang memerah tuala yang direndam dengan air suam.
"Kenapa pandang saya macam tu? Dah, awak sandar. Saya tuamkan dahi awak, ya?" Farisya Adlina menolak bahu Farritz Aidil supaya menyandar semula. Farritz Aidil hanya menurut. Matanya masih tidak berganjak daripada memerhatikan kesungguhan isterinya itu merawatnya. Padahal benjolnya tidak lah seteruk mana. Cuma sebesar syiling 20 sen.
"Awak tahan sikit, ya. Saya tuam kuat sikit. Nanti cepat lah sikit benjol ni surut," Farisya Adlina meniup kain itu lalu menekapnya semula ke dahi Farritz Aidil memandangkan air suam yang dibawanya tadi sudah menyejuk. Sesekali Farisya Adlina mengusap rambut hitam Farritz Aidil yang menutup dahinya ke belakang.
"Alhamdulillah. Benjol kat dahi awak ni dah kurang. Cuma kena rajin-rajin tuam," ujar Farisya Adlina sambil tersenyum manis. Farritz Aidil masih terkaku sambil mata yang masih menatap wajah Farisya Adlina. Lidah Farritz Aidil kelu untuk berkata-kata apabila Farisya Adlina mendekatkan bibirnya ke dahi Farritz Aidil lalu membacakan ayat Kursi lantas meniup perlahan kawasan benjol itu.
"Ha, lepas ni baik lah ni. Saya minta maaf, ya?" Farisya Adlina sedikit lega melihat kesan benjol yang semakin pulih. Tetapi tiba-tiba sahaja dia tertunduk malu. Baru kini dia perasan bahawa Farritz Aidil memerhatikan perilakunya sejak tadi sehingga sekarang.
"Kenapa awak pandang saya macam tu? Saya minta maaf buat dahi awak macam ikan flower horn. Tapi kan dah okey sikit. Jangan lah marah saya lagi. Saya janji tak buat lagi."
"Aku boleh maafkan kau. Tapi ada 1 syarat," ujar Farritz Aidil sambil menyilangkan kakinya. Kepalanya didongakkan. Hilang segala kesakitan di dahinya melihatkan kesungguhan isterinya merawatnya tadi. Sedikit demi sedikit, hatinya berbunga riang.
"Syarat apa?"
"Kau kena drive untuk aku sampai kuliah. Kalau tak, tak ada maaf bagimu," balas Farritz Aidil bersahaja.
"Tapi, kereta saya.."
"Aku tak nak naik kereta kau. Aku nak kau bawa kereta aku. Boleh atau tak? Aku bagi kau 5 saat untuk fikir. 1.. 2.. 3.."
"Okey.. Okey.. Saya drive untuk awak," bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Farisya Adlina hanya mengiakan permintaan Farritz Aidil. Akhirnya mereka begerak menuju ke kuliah bersama-sama hari ini. Sepanjang perjalanan, mereka berdua hanya diam sambil mengingati semula peristiwa yang baru berlaku sebelumnya.
"KENAPA dengan dahi you ni, sayang? You accident ke? Oh my goodness.." Intan Natasha meraba-raba dahi Farritz Aidil yang kemerahan. Farritz Aidil hanya membatukan tubuhnya. Tergambar semula kisah lucu yang berlaku antara dia dan Farisya Adlina sebentar tadi.
Bibirnya menguntum senyuman. Matanya memerhatikan segenap kawasan perkarangan UKM yang sedikit sibuk dek para pelajarnya yang sedang berasak-asak untuk pulang. Sejak kuliah bersurai tadi, dia belum nampak kelibat Farisya Adlina.
"Sayang, you ni termenung apa? I tanya you ni. Jawab lah.. You tak kesiankan I ke risaukan you?" rengekan manja Intan Natasha menyentakkan lamunan Farritz Aidil. Serta merta Farritz Aidil berpaling ke arah buah hatinya itu lalu tersenyum manis.
"I tak apa-apa lah, sayang. Cuma terlanggar pintu kat rumah tadi," ujar Farritz Aidil cuba menenangkan Intan Natasha yang sedang merajuk dengan ketidakprihatinannya.
"Perempuan tu buat you, ya? Kurang ajar betul lah dia tu. Tak apa, nanti I ajar dia cukup-cukup," Intan Natasha mengetap giginya tanda geram.
"Tak lah sayang. Ni kenapa buah hati I nak marah tak tentu fasal ni?" Farritz Aidil mengusap lembut rambut Intan Natasha sebagai tanda meminta maaf. Dia tahu, dengan cara ini sahaja hati kekasihnya itu bakal terubat.
"Mesti lah I marah. Siapa yang tak marah kalau ada orang buat something pada boyfriend dia? You know how much I love you, my dear!" ujar Intan Natasha bersungguh-sungguh.
"Ya sayang. I've knew that. I pun sayangkan you. I'm sorry, okey? I buat you risau. I janji, lain kali I tak buat you risau lagi," rayu Farritz Aidil. Dielus lembut pipi Intan Natasha.
"Sayang, hari ni you hantar I balik ya?" Intan Natasha memeluk erat lengan Farritz Aidil sambil bersandar ke tubuh sasa lelaki itu.
"Hari ni tak boleh lah, sayang. I tak bawa kereta I. Tadi pun Isya yang hantar naik kereta I. Kalau I hantar you, dia macam mana?"
"Small matter lah, sayang. Suruh lah dia balik naik cab. You jangan nak lebih-lebihkan dia ya. I merajuk nanti."
"Bijak lah sayang abang ni. Okey. Tunggu sekejap I call dia ya?" Farritz Aidil bagai lembu dicucuk hidung. Dia hanya menurut sahaja rancangan jahat Intan Natasha walaupun dia tahu hal itu akan melukakan hati Farisya Adlina. Jarinya terus mendail nombor telefon Farisya Adlina. Intan Natasha hanya memerhati. Hatinya bersorak kemenangan.
"Sayang, problem settled! 5 minit lagi dia datang," ujar Farritz Aidil setelah selesai berbincang dengan Farisya Adlina dalam masa tidak sampai 5 minit.
"I've told you, right? Easy.." Intan Natasha melonjak kegirangan.
"MANA kereta kau, Isya? Tak nampak pun. Kau naik apa tadi?" tanya Ifa. Lia sudah balik terlebih dahulu bersama suaminya, Zaki Zaqhwan. Atiera yang berdiri di sebelah Afifa hanya diam. Mungkin keletihan setelah didenda mengutip sampah di dewan kuliah kerana tidur semasa waktu pembelajaran tadi.
"Aku tak bawa kereta aku hari ni," balas Farisya Adlina sambil tersenyum.
"Habis tu?" Afifa bertanya lagi.
"Aku.. Aku.."
"Aku apa?" suara Afifa tiba-tiba meninggi. Terkejut Farisya Adlina dibuatnya.
"Aku datang dengan Farritz tadi. Aku bawa kereta dia," jawab Farisya Adlina selamba. Dia berjalan menuju ke kereta Farritz Aidil yang berada pada selang 2 kereta sebelah kanan kereta Afifa meninggalkan Afifa yang sedang terpinga-pinga.
"What?" Afifa sedikit terkejut mendengar pengakuan selamba rakannya itu. Dia berasa hairan. Sejak bila Farisya Adlina berbaik-baik dengan Farritz Aidil sedangkan mereka tidak pernah setuju dengan perkahwinan antara mereka. Tetapi kalau benar mereka sudah berbaik-baik, dia turut tumpang gembira. Memang itu lah apa yang dia dan rakan-rakan yang lain harapkan selama ini.
KERETA Ferarri F430 Spider merah kepunyaan Farritz Aidil yang dipandu Farisya Adlina berhenti di pintu pagar UKM. Farisya Adlina merenung tajam ke arah Farritz Aidil dan Intan Natasha yang sedang berpaut-pautan pinggang sambil berjalan ke arahnya. Sakit benar hatinya melihat kemesraan antara mereka.
Farisya Adlina memalingkan wajahnya ke depan semula. Wajahnya masam mencuka. Seketika kemudian, pintu kereta tempat duduk pemandu dibuka. Farisya Adlina masih tidak berpaling mahupun memberi sebarang respon.
"Apa lagi kau tunggu? Keluar lah. Biar aku bawa," suara Farritz Aidil kedengaran lantang di telinganya. Tanpa jawapan, Farisya Adlina keluar dari kereta memberi ruang kepada suaminya memandu. Dia terkejut melihat dahi Farritz Aidil yang tertampal plaster luka. Dia hairan. Sedarnya tadi, dia hanya menuam dahi Farritz Aidil. Tiada pula dia menampalkan apa-apa di bekas benjolan itu.
Tiba-tiba matanya terpandangkan Intan Natasha yang masih memaut erat lengan suaminya. Timbul rasa meluat apabila dia dapat mengagak tampalan itu merupakan 'hasil kerja' gadis itu. Intan Natasha menjeling Farisya Adlina sambil tersenyum sinis.
"Apa lagi yang kau terpacak lama-lama kat sini? Kau tak tahu ke aku ni tengah panas. Cepat lah berambus!" terkedu Farisya Adlina dengan herdikan Farritz Aidil itu. Tanpa sebarang kata, Farisya Adlina berjalan menuju ke sebelah tempat duduk pemandu. Baru sahaja dia mahu masuk ke dalam kereta, Intan Natasha sudah berdiri di sebelahnya sambil berpeluk tubuh. Dengan bongkaknya dia berdehem kuat di telinga Farisya Adlina. Seakan-akan mengingatkan sesuatu kepadanya.
"Darling, takkan lah I kena duduk belakang? Tak ada class lah.." Intan Natasha merengek manja membuatkan Farisya Adlina naik berang.
"Kau ni kenapa? Dah lah tumpang orang, jangan lah nak lebih-lebih!" bentak Farisya Adlina. Dia sudah hilang sabar melihat kerenah gedik gadis itu.
"Isya! Behave yourself! Kalau kau nak tumpang, kau masuk belakang. Kalau tak nak, kau boleh berambus! Darling, masuk, sayang. Jangan layan orang gila macam tu," merah padam wajah Farritz Aidil mendengar suara Farisya Adlina yang memarahi kekasih hatinya itu.
Mengenangkan tidak mahu menderhaka kepada suami, Farisya Adlina masuk juga ke dalam kereta di tempat duduk belakang. Intan Natasha tergedik-gedik masuk ke dalam kereta sebelah Farritz Aidil. Sakitnya hati Farisya Adlina tidak terhingga. Bibirnya tidak putus-putus beristighfar memohon kesabaran daripada Allah.
Beberapa meter daripada UKM, Farritz Aidil menurunkan Farisya Adlina di sebuah pondok menunggu bas di tepi jalan. Dia menghulurkan wang RM50 sebagai tambang untuk menaiki teksi tetapi langsung tidak diambil.
Akhirnya dengan tangisan yang tidak henti-henti, Farisya Adlina pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki sambil melepaskan rasa sakit hatinya seorang diri. Sedangkan Farritz Aidil langsung tidak menghiraukan kesedihan Farisya Adlina di saat ini.
Farisya Adlina pulang 3 jam lewat daripada Farritz Aidil iaitu pada pukul 9 malam. Farritz Aidil langsung tidak menghiraukan Farisya Adlina yang kebasahan akibat kehujanan semasa pulang ke rumah. Malam itu, Farisya Adlina tidur dengan linangan air mata mengenangkan nasib dirinya.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete