Wednesday, February 16, 2011

bab 26



26

'Bimbang Serumpun Kasih Terbuang'

Farisya Adlina menyeka perlahan air mata yang mulai gugur di pipinya.  Dia tidak mahu lelaki itu perasan akan perubahan riak wajahnya.  Suasana damai di luar chalet tidak mampu menenangkan hatinya yang sedang bergelora. 
          Dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi.  Fikirannya benar-benar buntu di kala ini.  Mungkin ini yang dinamakan takdir.  Takdir yang amat pedih untuk dia terima. 
          Langsung tiadakah walau sekelumitpun rasa belas kasihan bagi dirinya dalam hati lelaki yang bergelar suaminya itu?  Benci benarkah lelaki itu kepada dirinya?  Entah apalah dosa yang telah dia lakukan kepada lelaki itu.
          "Dah lah..  Tak payah lah kau nak menangis meratap lagi.  Keputusan aku muktamad.  Kalau kau nak aku hantar kau balik KL,  sekarang juga aku akan hantar.  Cuma aku nak ingatkan kau,  jangan halang perkahwinan kami nanti,"  ujar Farritz Aidil tegas sambil tersenyum sinis kepada Farisya Adlina yang sedang duduk di birai katil. 
          Dia nekad.  Hari ini,  keputusannya untuk mengahwini Intan Natasha harus dimaklumkan kepada Farisya Adlina.  Bukan kerana mahu meminta izin,  tetapi mahu wanita itu sedar akan kedudukannya di sisi Farritz Aidil selepas ini sama ada dia diceraikan atau dimadukan. 
          Kalau diikutkan hati,  mahu sahaja dia melafazkan cerai kepada wanita ini.  Namun dek kerana rimas akan desakan keluarga yang bakal menghalang keputusannya kelak,  dia terpaksa memendamkan niatnya itu.
          "Saya tak kisah walau apapun keputusan awak.  Saya tak ada hak halang awak.  Saya cuma seorang isteri yang tak berkuasa.  Awak je lah yang tentukan hala tuju hidup saya sama ada nak ceraikan saya atau tak,"  sahutnya perlahan. 
          Tubuhnya terasa lemah longlai.  Belum setahun usia perkahwinan mereka,  Farritz Aidil sudah mahu memadukannya.
          "Aku tak nak masuk campur dalam urusan hidup kau.  Lepas ni kau bukan siapa-siapa lagi dalam hidup aku.  Sebaik sahaja aku bernikah dengan Intan,  maka jatuh lah talak satu ke atas kau.  Aku tak akan simpan lagi perempuan macam kau ni. 
          Entah lah,  Isya.  Aku tak tahu sama ada perbuatan aku ni kejam pada kau atau kau yang lebih kejam pada aku.  Aku tak sangka kawan baik aku sendiri sanggup buat hidup aku terseksa macam ni.  Kau ingat aku suka ke buat kau macam ni.  Kau kawan aku.  Kalau boleh aku nak bersahabat dengan kau sampai bila-bila.  Tapi kenapa kau belot pada aku?"  kata-kata Farritz Aidil menerjah masuk ke telinga Farisya Adlina. 
          Air matanya gugur lagi.  Dia sudah tidak mampu menyembunyikan perasaannya.  Farisya Adlina menangis semahunya.  Setiap tohmahan yang dilemparkan Farritz Aidil bagaikan sembilu yang menghiris hatinya.
          "Aku cuma sayang kau sebagai seorang kawan,  seorang adik.  Tapi bukan sebagai seorang isteri.  Kalau kau nak tahu,  semenjak kita nikah sampai lah ke malam ni,  tak pernah sekalipun terdetik di hati aku ni nak anggap kau sebagai isteri aku. 
          Sejak aku dapat tahu tentang perkahwinan bodoh ni,  sejak itu lah aku dah anggap kau sebagai musuh ketat aku.  Dan sejak itu juga,  aku benci bila tengok muka kau,  dengar nama kau,  untuk ingat kau pun aku terlalu benci.  Kau faham tak?!"  bentak Farritz Aidil. 
          Dia berdiri betul-betul di hadapan Farisya Adlina.  Tangan kasarnya merentap keras tangan Farisya Adlina yang sedang menekup wajahnya.  Terasa kehangatan air jernih yang membasahi telapak tangan wanita itu.  Farisya Adlina tersentak namun dia langsung tidak mengangkat mukanya.
          "Habis tu apa lagi yang awak nak?  Saya tak kongkong awak.  Saya tak paksa awak buat apa-apa yang awak tak suka.  Saya sikitpun tak halang awak nak kahwin dengan kekasih hati awak.  Apa lagi yang kurang?"  Farisya Adlina memberanikan diri mempertahankan dirinya. 
          Hatinya sudah tawar dengan lelaki ini.  Kalau sebelum ini mungkin dia pernah menyintai Farritz Aidil,  tetapi kini dia sudah tiada apa-apa perasaan lagi terhadapnya.
          "Kau yang menyebabkan aku tak dapat kahwin dengan Intan.  Kau perosak hubungan kami!"
          "Tapi sekarang awak dah nak berkahwin dengan dia pun kan?  Apa lagi yang awak nak risau?  Saya tak halang awak.  Pergi lah kahwin dengan dia.  Dan lepas tu jangan berdendam dengan saya mahupun keluarga saya lagi!" 
          Farisya Adlina bangkit lalu merentap tangan lembutnya yang kemerahan akibat cengkaman kuat Farritz Aidil.  Dia mempercepatkan langkahnya menuju ke pintu bilik lalu memulas tombol pintu meninggalkan Farritz Aidil yang masih terkaku di situ.  Mungkin ada benarnya kata-kata wanita itu.
          "Dan satu lagi,  awak tak payah lah susah payah nak hantar saya balik KL.  Banyak teksi kat sini.  Saya boleh balik sendiri.  Dan saya nak awak tahu.  Saya takkan ganggu majlis pernikahan awak nanti.  Saya akan pergi jauh dari sini.  Tahniah atas perkahwinan awak.  Saya doakan awak berdua bahagia selamanya.  Selamat pengantin baru.  Saya harap kita akan kekal bersahabat.  Assalamualaikum.." 
          Sebaik sahaja Farisya Adlina mengucapkan salam,  dia terus berlalu keluar dari chalet dengan hanya berbekalkan beg tangannya.  Dia tidak sanggup masuk ke bilik semula untuk mengambil beg pakaiannya.  Hatinya benar-benar terluka dengan perbuatan lelaki itu. 
          Dia menggagahkan diri untuk berjalan ke kaunter bayaran sebelum pergi mendapatkan teksi untuk pulang ke KL.  Dia nekad.  Mulai hari ini,  dia tidak akan menangis lagi kerana lelaki tidak bertanggungjawab itu.


FARISYA Adlina menekup mulutnya.  Terpisat-pisat matanya memandang jam dinding yang menunjukkan jam 5.45 pagi.  Di luar sudah masih gelap.  Farisya Adlina menggagahkan dirinya bangun dari katil untuk bersiap-siap kerana beberapa minit lagi azan subuh akan berkumandang.
          Setelah selesai mencuci muka di singki bilik air,  perlahan-lahan dia menuruni anak tangga menuju ke ruang dapur.  Dari jauh kedengaran bunyi ketukan batu lesung di dapur seakan-akan ada seseorang yang sedang sibuk memasak.  Farisya Adlina dapat meneka siapakah gerangan orang yang sedang memasak itu.
          "Fuhh..  Harumnya..  Rajinnya minah ni memasak pagi-pagi buta,"  tegur Farisya Adlina apabila terpandang Afifa yang sedang sibuk menumis sesuatu di dalam kuali.  Farisya Adlina menarik kerusi yang terletak di meja makan lalu duduk di situ sambil matanya memerhatikan kelincahan sahabatnya itu memasak.
          "Tengok kaki lah beb.  Aku kan memang rajin.  Kalau nak suruh minah yang lagi seorang tu,  memang terbalik lah dapur ni dia kerjakan,"  Afifa tertawa lucu apabila terkenangkan Atiera yang memang tidak arif dalam bidang masakan ini.
          "Kau ni tak agak-agak lah.  Kalau dia dengar macam mana?"
          "Aku gurau je lah.  Kau ni macam tak faham je,"  balas Afifa.  Dia mengangkat ikan goreng yang siap dimasak ke dalam pinggan.  Dia mencapai semangkuk ikan bilis lalu dibawa ke meja tempat Farisya Adlina duduk.
          "Isya,  sampai bila kau nak macam ni.  Takkan selama-lamanya kau nak larikan diri daripada keluarga kau?  Satu hari nanti  mereka semua akan tahu juga,"  Afifa meneruskan bicaranya. 
          Wajah Farisya Adlina kelihatan muram apabila disoal begitu.  Afifa benar-benar bersimpati akan nasib rakannya itu.  Malam semalam Farisya Adlina datang ke rumahnya dengan wajah yang murung. 
          Setelah beberapa lama dipaksa untuk menjelaskan perkara sebenar,  baru lah Farisya Adlina menceritakan semua masalah yang berlaku kepadanya.
          "Aku tahu,  Ifa.  Aku minta maaf menyusahkan kau.  Aku janji bila hari dah siang nanti aku akan cari tempat tinggal lain," jawab Farisya Adlina.  Dia seperti sudah salah faham akan pertanyaan Afifa yang seakan-akan tidak menyenangi kehadirannya di sini.     
          "Aku tak maksudkan macam tu pun,  Isya.  Aku tak kisahpun kalau kau nak tumpang tinggal sini.  Kau nak duduk lama-lama kat sini pun aku tak kisah.  Aku lagi suka.  Tapi aku tak nak lah kau terus macam ni.  Kalau betul tekaan aku,  kau perlukan suami kau,"  balasnya.
          "Kau jangan nak mengarut lah.  Asal muntah-muntah je,  mengandung.  Habis tu ada juga orang yang mengandung tapi tak ada pun muntah-muntah?"  bidasnya. 
          Dia sengaja menafikan tekaan Afifa yang mengatakan bahawa dia sebenarnya sedang hamil.  Padahal dia sendiri dapat merasakan kelainan pada dirinya sejak kebelakangan ini. 
          Semasa di Pulau Langkawi,  dia pernah muntah-muntah dan pernah sekali pengsan.  Perkara ini hanya dimaklumkan kepada Afifa,  Atiera,  dan Lia.  Farritz Aidil sedikitpun tidak perasan akan perubahan dirinya walaupun sudah hampir sebulan tinggal bersama di Pulau Langkawi.
          "Kau dah pergi jumpa doktor?"  jerkah Afifa.  Dia sendiri perasan akan perubahan tingkah laku rakannya itu. 
          Selama dia mengenali Farisya Adlina,  wanita itu tidak pernah membantah kata-katanya.  Dia juga tidak pernah sesekali memarahi rakan-rakannya. 
          Tetapi semenjak kebelakangan ini,  Farisya Adlina berubah sikap.  Semasa berbual di telefon,  jika ada perkara yang menyentuh perasaannya,  pasti dia akan terus mematikan telefon.  Kononnya sebagai tanda merajuk.
          "Memang lah belum.  Tapi aku pasti semua tekaan kau memang tak betul.  Tak mungkin aku mengandung lah!"
          "Kalau betul macam mana?"  ujar Atiera yang tiba-tiba muncul berserta tuala mandi yang terlekap di bahu kanannya.  Nampaknya seperti baru sahaja selesai mandi. 
          Kedua-dua sahabat itu berpaling ke arah Atiera yang mengambil tempat di sisi Afifa.  Tangannya pantas menyambar beberapa ekor ikan bilis yang telah dikopek Afifa lalu memakannya tanpa rasa bersalah.
          "Kalau betulpun,  biar lah.  Lelaki tu tak boleh tahu.  Biar aku seorang je yang jaga budak ni.  Aku dah tak nak bergantung pada dia.  Dia tu tak bertanggungjawab!"  jawab Farisya Adlina nekad.  Benci benar dia mahu menyebut nama suaminya itu.
          "Astaghfirullahal'azim..  Kau ni dah gila ke,  Isya?  Lelaki yang kau kata tak bertanggungjawab tu suami kau,  tahu tak?  Kau nak jadi isteri derhaka ke?"  Afifa terkejut dengan pernyataan Farisya Adlina.  Mana mungkin wanita selembut Farisya Adlina boleh berubah sekasar ini.
          "Aku dah nekad Ifa,  Tiera.  Hati aku ni dah tertutup untuk lelaki tu.  Aku takkan terima dia lagi dalam hati aku.  Macam mana dia buat aku macam tak ada perasaan,  tak ada maruah.  Aku tak akan maafkan dia walaupun dia melutut pada aku.  Keputusan aku muktamad!"  ujar Farisya Adlina keras. 
          Hatinya benar-benar bernekad untuk membenci lelaki itu.  Sudah tiada lagi kelembutan seorang wanita pada dirinya yang disanjung-sanjung semua orang sebelum ini.
          "Dah azan.  Aku naik dulu.  Kau fikir lah masak-masak ya,  Isya.  Untuk pengetahuan kau,  keampunan seorang suami paling penting bagi seorang isteri masa nak bersalin.  Aku harap kau maafkan lah suami kau.  Jangan sesekali kau membenci dia. 
          Boleh jadi juga suatu hari nanti,  bila hati masing-masing dah keras,  Farritz tak akan maafkan kau sebab keras hati kau ni.  Dan masa tu,  kau tanggung lah dosa kau selama kau bergelar isteri dia.  Assalamualaikum,"  ujar Afifa. 
          Dia mencuci tangannya di singki lalu berlalu ke bilik tidurnya untuk bersolat.  Atiera mengambil keputusan untuk membatukan diri sambil Farisya Adlina pula hanya tertunduk diam.

No comments:

Post a Comment