Wednesday, February 16, 2011

bab 22



22

'Merindu Tanpa Kata'

Farisya Adlina membuka mata perlahan-lahan.  Matanya dikecilkan apabila terkena sinaran cahaya matahari yang mulai memancar.  Tubuhnya terasa kebas.  Jemari runcingnya memicit-micit kepalanya yang berdenyut-denyut.  Dahinya kembali membahang seperti semalam.
          Semalam?  Apa yang berlaku terhadapnya semalam?  Farisya Adlina membuntangkan matanya.  Dadanya berombak kencang.  Bulu tengkuk Farisya Adlina meremang apabila merasakan ada seseorang yang sedang nyenyak tidur di sisinya.  Nafasnya dihembus perlahan di belakang tengkuk Farisya Adlina.
          Farisya Adlina tidak pasti siapakah yang berada di belakangnya sekarang.  Berdasarkan saiz tangan yang sedang melingkari pinggangnya itu,  memang orang itu adalah lelaki.  Mustahil pula perempuan.
          Tetapi siapa?  Mungkin ada perompak yang masuk ke rumahnya malam semalam.  Mustahil Farritz Aidil kerana lelaki itu memang jijik mahu memandangnya apatah lagi menyentuhnya. 
          Mahu sahaja Farisya Adlina berteriak memanggil Farritz Aidil.  Tetapi suaranya seperti tersekat di kerongkong.  Dia langsung tidak berani bergerak.  Sudah lah sedang demam,  ditambah pula dengan pergelutan yang berlaku antara mereka malam tadi.  Seluruh tenaga Farisya Adlina sudah habis. 
          'Ya Allah,  bantu lah aku..'  Farisya Adlina menangis sendiri.
          Entah dari mana Farisya Adlina mendapat kekuatan untuk bangun.  Ditariknya selimut tebal di sebelahnya agar menutupi tubuhnya yang langsung tidak berpakaian.  Dilihatnya ada tompokan darah pada selimut itu. 
          Farisya Adlina menangis semahunya.  Dia tidak berani melihat siapa lelaki yang telah meratah tubuhnya semalam. Yang pasti dia benci dengan lelaki itu.
          'Farritz!!'  jerit hati kecilnya.  Menggeletar tubuhnya melihat wajah lelaki itu.  Mengapa lelaki ini sanggup memperlakukannya sebegini?  Bukan dia tidak redha ditiduri suami sendiri.  Tetapi mengapa waktu ini?  Waktu dia sedang berperang dengan kesakitan. 
          Dia menangis lagi. Terkilan diperlakukan begitu.  Namun jauh di sudut hatinya, dia bersyukur kerana lelaki itu adalah suaminya sendiri,  orang yang berhak ke atas dirinya dan bukan orang lain seperti yang difikirkannya tadi.
          "Sayang.."  tersentak Farisya Adlina mendengar bait ayat yang keluar dari mulut Farritz Aidil.  Matanya masih tertutup rapat.  Mungkin mengigau.  Farisya Adlina menarik nafas lega.  Mungkin lelaki ini sudah boleh menerima dirinya. 
          Serta merta dia melupakan kesedihannya lalu mengukir senyuman buat lelaki itu.  Dia memberanikan diri untuk mengejutkan Farritz Aidil.  Namun belum sempat dia berbuat demikian,  Farritz Aidil bersuara lagi.
          "Intan..  I love you my dear,"  hancur luluh hati Farisya Adlina mendengar nama gadis itu meniti di bibirnya.  Fikirannya menerawang seketika.
          Mungkinkah semasa Farritz Aidil menyentuhnya semalam,  dia hanya membayangkan Farisya Adlina sebagai Intan Natasya. 
          'Ya Allah!  Mengapa ini yang harus aku lalui?'  Farisya Adlina menangis dalam hatinya.  Sangkaannya bahawa Farritz Aidil sudah mulai menyayangi dirinya meleset sama sekali.
          Esakannya semakin kuat,  sehingga mengejutkan Farritz Aidil yang sedang tidur.  Tubuh lelaki itu bergerak-gerak.  Farisya Adlina menekup mulutnya agar lelaki itu tidak menyedari bahawa dia sudah pun terjaga dahulu.  Dia masih belum bersedia menghadapi lelaki itu selepas apa yang berlaku antara mereka semalam.
          Perlahan-lahan Farritz Aidil membuka matanya.  Dia menggeliat lega.  Farritz Aidil mengangkat wajahnya memandang Farisya Adlina.  Dia baring menelentang di sisi Farisya Adlina.  Tangannya disilangkan di belakang kepala.  Farritz Aidil tersenyum sinis.  Dilihatnya Farisya Adlina sedang bersandar di kepala katil sambil menangis teresak-esak.
          "Nangis lah kau puas-puas.  Itu je yang kau tahu kan?"  herdik Farritz Aidil sinis.
          "Kenapa,  Farritz?  Kenapa awak buat saya macam ni?"  ujar Farisya Adlina dalam esak tangis yang masih bersisa.
          "Apa yang aku dah buat?  Salah ke?  Itu hak aku.  Kau tak boleh tolak permintaan aku!  Kau tak mahu jadi isteri derhaka kan?"  sindir Farritz Aidil.  Kaki kanannya disilangkan ke atas lutut kirinya yang diangkat separuh.
          "Memang awak punya hak.  Awak memang tak salah.  Tapi kenapa waktu-waktu macam tu?  Waktu saya tak sihat.  Awak ambil kesempatan bila tengok saya lemah.  Awak buat tanpa kerelaan dan keizinan saya!"
          "Ada aku peduli ke?  Kau sihat ke tak,  penting sangat ke bagi aku?"
          "Memang tak penting!  Saya tahu.  Tapi apa lah salahnya kalau awak minta persetujuan saya dulu?  Saya ni isteri awak tahu tak?  Saya tak mahu menderhaka.  Jangan buat saya macam tak ada perasaan!"  Farisya Adlina semakin hilang sabar.  Air matanya gugur lagi.
          "Oh,  jadi kau tak puas hati dengan aku lah ya?"  marah Farritz Aidil. 
          Dia bangkit lalu duduk di antara paha Farisya Adlina.  Wajahnya yang kelihatan bengis sangat rapat dengan wajah Farisya Adlina.  Tidak berkelip matanya merenung Farisya Adlina yang sedang ketakutan.
          "Yang kau tu,  keluar rumah lama-lama.  Malam baru balik.  Siap ada jantan hantar lagi.  Ada kau peduli perasaan aku?  Cakap nak ambil kunci kat rumah mama,  rupa-rupanya pergi jumpa jantan!  Ini semua sebagai balasan untuk kau!"  herdikan Farritz Aidil kuat sekali menusuk ke telinga Farisya Adlina.  Farisya Adlina menekup wajahnya apabila Farritz Aidil mencumbuinya dengan rakus.
          "Tolong lah jangan buat saya macam ni,  Ritz.  Saya tak sihat ni,"  rayuan Farisya Adlina langsung tidak dipedulikan.  Sekali lagi tragedi ngeri itu berulang.
          Farisya Adlina semakin lemah dan akhirnya seluruh pandangannya menjadi gelap.  Farritz Aidil langsung tidak menghiraukan tangisan dan rayuan Farisya Adlina.  Akhirnya Farisya Adlina terkulai layu seorang diri di bilik itu.


FARRITZ Aidil termenung sendirian di meja makan.  Jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi.  Namun kelibat Farisya Adlina masih belum kelihatan.  Dia tidak tahu dan tidak mahu ambil peduli tentang keadaan Farisya Adlina sekarang. 
          Keegoan membelenggu dirinya.  Sekarang hatinya puas kerana dapat melepaskan segala amarahnya pada wanita yang dianggap menderhakainya.
          Dia meneguk perlahan milo panas di hadapannya.  Walaupun air tersebut berasap-asap panas,  tetapi tidak sepanas hatinya di saat ini.  Giginya diketap kuat. 
          Peristiwa semalam masih bermain di fikirannya.  Dia masih tidak boleh melupakan bagaimana mesranya Farisya Adlina dengan Asyraf Danisy malam tadi.  Kalau diikutkan hati,  mahu sahaja dia menumbuk Asyraf Danisy kerana berani menganggu isterinya.
          Dia mengerling ke tangga menuju ke tingkat atas.  Farisya Adlina masih belum turun lagi.  Mungkin sedang lena tidur ataupun takut untuk bertemu dengannya. 
          'Ah,  biarkan dia!'  Farritz Aidil tersenyum sinis.  Baru puas hatinya kerana dapat memberi pengajaran kepada Farisya Adlina. 
          Siapa yang tidak rasa tercabar.  Semenjak menikahi Farisya Adlina,  dia masih belum dapat menyentuh isterinya.  Tetapi egonya tercabar apabila melihat kemesraan antara Farisya Adlina dengan lelaki lain.  Kerana itu lah dia nekad untuk mendapatkan haknya.
          Malam itu Farritz Aidil sedang menonton televisyen seorang diri di bilik utama.  Hatinya tiba-tiba berasa kurang enak.  Dia dapat merasakan seperti sesuatu yang buruk akan berlaku.  Tetapi dia tidak pasti apakah yang berlaku. 
          Tiba-tiba fikirannya teringatkan Farisya Adlina yang keluar sejak pukul 5 petang tadi.  Hatinya tergerak untuk mencari tahu tentang isterinya itu.  Risau juga dia kalau-kalau sehingga jam sebeginipun dia masih belum pulang.  Bukannya kerana dia merisaukan keadaan Farisya Adlina,  tetapi dia tidak mahu dipersalahkan ibu bapanya dan ibu bapa mertuanya kelak andai ada apa-apa yang buruk menimpa isterinya itu.
          Setelah mematikan suis televisyen,  Farritz Aidil berjalan menuruni tangga menuju ke ruang tamu.  Dia melangkah berhati-hati dalam kegelapan.  Bukan tidak mahu membuka lampu,  tetapi dia tidak mahu Farisya Adlina menyedari bahawa dia masih belum tidur dan sedang mencarinya.
          Farritz Aidil menjengah ke luar tingkap di ruang tamu apabila terdengar deruman enjin kereta yang berhenti di hadapan rumahnya.  Mungkin Farisya Adlina baru pulang.  Dia meneruskan pemerhatiannya. 
          Farritz Aidil mengerutkan dahinya.  Kereta yang berhenti di hadapan rumahnya itu bukan kereta Farisya Adlina.  Kelihatannya seperti kereta Asyraf Danisy.  Dia semakin hairan mengenai tujuan sahabatnya itu datang ke rumahnya malam-malam begini.  Dan yang paling memelikkan,  bagaimana Asyraf Danisy mengetahui lokasi rumah barunya ini?
          Baru sahaja Farritz Aidil hendak melangkah keluar untuk menemui Asyraf Danisy,  matanya tertumpu kepada sesusuk tubuh yang baru keluar dari perut kereta. 
          Farisya Adlina!  Ya,  dia adalah Farisya Adlina!  Hatinya menjadi panas tiba-tiba.  Kemarahan dan kebencian membelenggu hatinya.  Farisya Adlina telah mengkhianati kepercayaannya. 
          Petang tadi Farisya Adlina meminta izin daripadanya untuk keluar.  Katanya ingin pergi ke rumah mamanya,  rupa-rupanya pergi menemui lelaki lain.  Farritz Aidil semakin hilang sabar melihat kemesraan antara Farisya Adlina dengan Asyraf Dansy.
          Farritz Aidil duduk di sofa yang terletak di ruang tamu.  Dia mahu menanti Farisya Adlina masuk ke rumah sebelum memulakan langkahnya.  Malam ini dia mahu melepaskan segala kemarahannya kepada Farisya Adlina.  Biar wanita itu tahu bahawa dia bukan jenis lelaki yang boleh dipermainkan sesuka hatinya.
          Memandangkan lampu rumah tidak dihidupkan,  Farisya Adlina tidak menyedari bahawa Farritz Aidil sedang duduk menyandar di sofa sambil memerhatikan langkahnya.  Dia mengikuti langkah Farisya Adlina menuju ke bilik tetamu yang didiaminya. 
          Farisya Adlina terus merebahkan tubuhnya di atas katil.  Entah bagaimana Farisya Adlina boleh terlupa untuk menutup pintu biliknya.  Ini merupakan peluang keemasan untuk Farritz Aidil untuk melancarkan rancangannya.
          Dia hanya menunggu masa untuk memulakan langkahnya.  Dengan bantuan biasan cahaya lampu jalan yang hampir dengan rumahnya,  Farritz Aidil berjalan perlahan-lahan menghampiri katil tempat Farisya Adlina berbaring. 
          Beberapa ketika setelah Farisya Adlina terlelap,  dia naik ke katil tersebut.  Farisya Adlina yang masih lengkap berbaju kurung dan bertudung putih susu sudahpun terlena.  Hatinya sedikit tersentuh melihat wajah Farisya Adlina yang kelihatan tidak bermaya.
          Semenjak kebelakangan ini,  dia perasan akan perubahan diri Farisya Adlina.  Farisya Adlina kelihatan lesu dan letih. 
          Sudah seminggu juga  Farisya Adlina tidak menghadiri kuliah.  Semenjak berpindah ke rumah baru ini,  dia seakan-akan tidak ambil peduli dengan Farisya Adlina.  Mereka juga tidak banyak berbual.  Mereka hanya akan bertegur jika ingin bertanyakan sesuatu yang penting sahaja.
          Farritz Aidil menepis semua khayalannya.  Keegoannya memaksanya mengenepikan rasa simpati terhadap isterinya yang sedang sakit itu. 
          Farritz Aidil memulakan langkahnya dengan merangkul pinggang Farisya Adlina yang baring mengiring menghadap tingkap.  Dan mencium tengkuk Farisya Adlina sebelum melanjutkan langkahnya.  Dia dapat merasakan Farisya Adlina meronta-ronta meminta agar dilepaskan. 
          Timbul rasa bersalah di dalam hatinya apabila dia merasakan tubuh Farisya Adlina yang panas membahang.  Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu melepaskan Farisya Adlina ataupun meneruskan sahaja niatnya untuk melepaskan kemarahannya. 
          'Ah,  dia mesti diajar!'  desis hati Farritz Aidil. 
          Dia meneruskan langkahnya tanpa menghiraukan rayuan dan tangisan Farisya Adlina.  Akhirnya malam itu Farisya Adlina tumpas di tangannya.
          Lamunan Farritz Aidil termati tatkala menerima panggilan telefon daripada Intan Natasha yang mengajaknya keluar menonton wayang.  Farritz Aidil tersenyum sambil mencium telefon bimbitnya.  Mungkin membayangkan dia sedang mencium Intan Natasha.

No comments:

Post a Comment