Wednesday, February 16, 2011

bab 30



30

'Bicara Manis Menghiris Kalbu'

"Ritz,  makan lah sikit,  nak..  Ritz tu baru sedar dari koma.  Kena makan banyak-banyak.  Baru lah cepat sembuh.."  ujar Datin Munirah.  Dia sudah jemu melayani kerenah Farritz Aidil yang dari tadinya asyik menolak pelawaan untuk makan. 
          Datin Munirah bertambah hairan melihat Farritz Aidil yang kerap kali muntah.  Entah mengapa agaknya.  Tetapi doktor yang merawatnya mengatakan bahawa dia hanya mengalami simptom biasa selepas koma.
          "Ibu..  Ritz tak nak makan lah.  Cuba jangan paksa-paksa Ritz.  Ritz tak suka.."  jawabnya.  Farritz Aidil kelihatan tidak selesa dengan kaki kanannya yang berbalutkan simen. 
          Hasil rawatan mengatakan bahawa tulang kaki Farritz Aidil patah 3 iaitu patah dua di tulang paha dan patah satu di tulang kaki akibat tersepit dan dihentak kayu. 
          Farritz Aidil telah menjalani pembedahan sebulan lalu untuk mengeluarkan kaca yang masuk ke dalam lukanya.  Dan semenjak pembedahan itu,  dia koma selama sebulan.
          "Cuba jangan degil.  Ritz tu masih lemah.  Dah lah asyik muntah je.."  pujuk Dato' Zahid yang sedang membaca surat khabar di sebelah katil Farritz Aidil.  Suasana di Hospital Sultanah Bahiyah ini sangat menenangkan terutama bagi para pesakit yang menginginkan ketenangan semasa sakit.
          "Ayah,  bila Ritz boleh keluar?  Bosan lah duduk sini lama-lama.."  balas Farritz Aidil tanpa menghiraukan kata-kata bapanya.  Yang dia mahu hanya keluar dari hospital ini secepat mungkin.
          "Belum tahu lagi.  Keadaan Ritz belum cukup meyakinkan.  Selagi Ritz masih muntah-muntah,  selagi tu doktor takkan izinkan Ritz keluar wad,"  balas Dato' Zahid bersahaja.
          "Ayah,  Ritz bosan tahu tak,  duduk sini lama-lama.  Tak pun ayah buat permohonan pindah ke KL lah.  Okey sikit.  Kat sini Ritz tak ada kawan,  lah.."
          "Ritz jangan nak mengada-ngada ya?  Ibu dan ayah masih belum nak soal tentang Isya lagi ni.  Jangan nak minta yang bukan-bukan.  Jangan sampai ibu dapat tahu hal yang tak elok,  jaga Ritz.  Memang ibu ajar cukup-cukup,"  Datin Munirah mengetap giginya tanda geram. 
          Semenjak tiba di sini semalam,  mereka belum berkesempatan berbincang mengenai bulan madu Farritz Aidil bersama Farisya Adlina yang bertukar tragedi.  Datin Munirah dan Dato' Zahid masing-masing belum jelas mengenai hal yang sebenar. 
          Ke mana Farisya Adlina semasa kejadian?  Mengapa bulan madu yang dikatakan di Paris bertukar ke Pulau Langkawi tanpa pengetahuan mereka?  Dan di mana Farisya Adlina sekarang?  Mereka berdua masih buntu.  Berkali-kali mereka cuba menghubungi menantu kesayangan mereka itu tetapi gagal.
          "Look..  Why ibu nak treat Ritz macam kanak-kanak 2 tahun ni?  Hei,  I'm  22,  okay?"  Farritz Aidil tertawa sinis.  Dia terasa begitu janggal dilayan semanja itu. 
          Selama ini walau apapun yang dilakukannya tidak dianggap serius.  Tetapi semenjak berkahwin,  layanan terhadapnya berubah sama sekali.
          Kahwin?  Apa yang telah terjadi kepada majlis perkahwinannya dengan Intan Natasha yang sepatutnya berlangsung minggu lalu?  Ah,  benci benar dia mendengarkan nama itu bermain di fikirannya! 
          Tetapi,  ke mana hilangnya gadis itu selepas kejadian?  Siapa pula yang membantunya semasa api sedang marak membakar kereta Ferarri F430 Spider kesayangannya itu?  Mungkinkah Intan Natasha yang menyelamatkannya? 
          'Hish!  Kenapa lah aku asyik ingat pasal dia ni?  Dia dah ada tunang!'  dalih hatinya.
          "Assalamualaikum.."  seorang doktor lelaki berumur lingkungan 30-an membuka pintu bilik lalu meminta izin masuk sebelum bersalaman dengan Dato' Zahid dan Farritz Aidil.  Doktor Helmi kelihatan mesra dengan ibu bapa Farritz Aidil.
          "Pak cik,  mak cik,  saya Helmi.  Saya doktor yang merawat Farritz.  Tentang kesihatan Farritz,  saya dapati dia semakin pulih.  Tak lama lagi dia boleh keluar wad.  Cuma saya tak pasti kenapa Farritz selalu muntah-muntah.  Awak ada alahan dengan apa-apa ubat ke?"  tanya Doktor Helmi dengan ramahnya.
          "Tak ada kot..  Selama ni saya makan ubat tak ada masalah pun.."  balas Farritz Aidil tanpa sebarang riak wajah yang menyenangkan.
          "Ya ke?  Oh..  Kalau macam tu,  mungkin awak cuma mengalami simptom biasa selepas koma.  Semua tu tak menjadi masalah."
          "Lama lagi ke saya kat sini,  bang?  Saya bosan,  lah."
          "Ritz.."  tegur Datin Munirah serius.
          "Lagi satu dua hari awak dah boleh keluar.  Awak masih study ke?"
          "Yup.  Bulan depan nak exam last year.  Bagi saya keluar awal,  please..  Saya nak study.  Dah lama tak datang kuliah ni."  Farritz Aidil cuba menjadikan peperiksaan akhirnya sebagai alasan untuk keluar lebih awal.  Dato' Zahid dan Datin Munirah hanya mampu menggelengkan kepala.
          "Baik lah.  Saya akan check balik laporan kesihatan awak.  Kalau okey,  esok awak dah boleh keluar,  okey?"  ujar Doktor Helmi. 
          Dia sendiri sudah masak dengan perangai pesakit seperti Farritz Aidil.  Bukan baru sekali ini dia menemui pesakit yang degil sebegini malahan semenjak kali pertama berkhidmat di hospital ini lagi dia sudah biasa berhadapan dengan mereka.
          "Terima kasih ya,  doktor.  Anak kami ni memang keras kepala sikit.  Dia nak semua orang ikut cakap dia je.  Biasa lah.  Remaja zaman sekarang ni."  Dato' Zahid cuba bergurau dengan Doktor Helmi agar dia tidak terasa dengan sikap Farritz Aidil.
          "Sama-sama,  pak cik.  Anak pak cik ni beruntung sangat.  Polis yang menyiasat kes ada datang sini.  Mereka kata,  nasib baik ada orang yang lalu di tempat kejadian. 
          Kalau tak,  tak tahu lah nak cakap macam mana keadaan dia sekarang.  Dah lah kaki tersepit di bawah stereng kereta.  Cermin kereta pula pecah menghentam muka dan kepalanya.  Kakinya pula seperti dipukul dengan objek keras dipercayai kayu yang besar.  Masa api mula marak,  ada sepasang suami isteri lalu di tempat kejadian. 
          Masa tu Farritz tak sedarkan diri.  Mereka terus bantu Farritz keluar dan terus hubungi ambulans,"  terang Doktor Helmi panjang lebar.  Tangannya dimasukkan ke dalam kocek baju seragamnya.
          "Saya tak faham lah,  doktor.  Apa punca kejadian ni berlaku?"  Dato' Zahid tidak mengerti.
          "Polis mengagak bahawa punca kejadian disebabkan kes samun ataupun rompak.  Walau macam mana pun,  punca sebenar kejadian masih disiasat,"  jawabnya tenang.

No comments:

Post a Comment