Wednesday, February 16, 2011

bab 19



19

'Dua Jiwa Satu Hati'

"Maaf Is.  Saya tak boleh terima semua ni,"  Farisya Adlina serba salah mahu mengambil cincin belah rotan yang diberikan oleh Asyraf Danisy.  Pertemuan antara dua insan ini telah diatur rapi oleh Adibah.  Ini semua permintaan Asyraf Danisy sendiri.  Patut sahaja tiada orang langsung di restoran ini. 
          Asyraf Danisy telah menempah restoran ini untuk makan malam berdua bersama Farisya Adlina tanpa ada gangguan.  Seperti yang dirancang,  Adibah meminta diri untuk ke tandas sebagai tanda menghormati privacy yang diinginkan abangnya itu.
          "Tapi kenapa,  Isya?  Saya ikhlas dengan awak,"  Asyraf Danisy cuba merayu hati wanita itu.  Walaupun cintanya ditolak Farisya Adlina,  dia tetap tidak berputus asa untuk merebut hatinya.
          "Saya tahu,  Is.  Tapi saya tak boleh terima semua ni,"  Farisya Adlina semakin gelisah.  Malam itu Farisya Adlina tampak jelita berbaju kurung moden berwarna ungu pekat.  Pada mulanya Farisya Adlina menyangka hanya Adibah yang akan makan malam dengannya.  Tetapi rupa-rupanya Asyraf Danisy turut ada di restoran yang serba mewah itu.
          "Kenapa Isya?  Awak dah ada boyfriend ke?"  Asyraf Danisy masih belum mengalah.
          "Tak.  Tak Is.  Cuma..  Saya belum bersedia lagi,"  Farisya Adlina tertunduk. 
          Dia serba salah untuk menyatakan status dirinya yang sudah bersuami.  Dia benar-benar terharu dengan keikhlasan lelaki itu terhadap dirinya.  Andai sahaja Farritz Aidil menyayangi dirinya sepertimana Asyraf Danisy menyayanginya. 
          Dan kalau lah Asyraf Danisy melamarnya sebelum perkahwinan ini berlaku, pastinya dia akan memilih untuk bersama lelaki ini daripada terseksa dengan perkahwinan tidak rela antara dia dan Farritz Aidil.  Setitis air mata jatuh di pipinya.
          "Saya tahu saya tak sempurna untuk memiliki awak.  Tapi sekurang-kurangnya saya ikhlas.  Saya betul-betul cintakan awak,"  Farisya Adlina masih kaku.  Tambahan lagi apabila mendengar luahan hati lelaki itu.
          "Izinkan saya memiliki awak sebagai pelengkap hidup saya,  Isya.  Saya janji akan bahagiakan awak sampai bila-bila.  Mungkin saya tak mampu beri awak kehidupan yang sempurna.  Tapi saya akan beri awak seluruh kasih sayang saya.  Saya janji Isya,"  buat seketika suasana menjadi sepi.
          "Kak Isya,  terima lah Abang Is.  Diba yakin,  abang memang betul-betul sayangkan kakak.  Diba kenal siapa abang Diba.  Tolong lah,  kak.  Jangan hampakan harapan Abang Is,"  Farisya Adlina dan Asyraf Danisy terkejut mendengar suara Adibah yang baru muncul tanpa memberi salam.
          "Akak bukan tak nak,  Diba.  Tapi akak betul-betul tak boleh terima semua ni.  Is,  kita masih boleh berkawan kan?"  Farisya Adlina mengesat air mata yang mulai mengering di pipinya itu.
          "Saya akan tunggu awak,  Isya.  Sampai bila-bila pun,  saya tetap ikhlas mencintai awak,"  Asyraf Danisy bangun dari tempat duduknya lalu pergi meninggalkan Farisya Adlina yang masih tertunduk di tempat duduknya. 
          Hancur hati lelaki itu apabila cinta yang dipupuk lama ditolak begitu sahaja.  Entah bagaimana dia mahu melupakan wanita itu.  Mungkin ini semua salahnya yang terlewat menyatakan cintanya kepada Farisya Adlina.  Andai sahaja dia pantas sedikit..  Pasti semua ini tidak akan berlaku. 
          'Ya tuhan!  Bantu lah hambamu ini..'


"RITZ,  Ritz dah pergi tengok rumah yang ayah beli tu?  Majid kata dia tak pernah nampak Ritz pergi sana jenguk rumah tu,"  ujar Dato' Zahid yang sedang meneliti jambangan bunga yang baru dibeli Datin Munirah sebentar tadi. 
          Farritz Aidil yang sedang leka mencuci keretanya di halaman rumah masih tidak menjawab.  Cuma sesekali dia membongkokkan badannya untuk merendam tuala kecil di tangannya ke dalam baldi berisi air sabun.  Dia lebih selesa mencuci keretanya sendiri.  Dia memang tidak suka andainya ada seseorang lain yang menyentuh barang kepunyaannya lebih-lebih lagi kereta kesayangannya ini.
          "Ritz malas lah,  ayah.  Bukan Ritz perlu pun rumah tu.  Rumah Ritz kan dekat sini.  Kenapa perlu Ritz ambil tahu tentang rumah tu?"  Farritz Aidil dengan wajah masam mencuka.
          "Ritz,  awak tu dah beristeri.  Tak lama lagi nak berkeluarga.  Takkan selamanya nak tinggal dengan kami,"  balas Dato' Zahid.
          "Habis tu ayah nak halau Ritz keluar dari rumah ni lah ya?  Ayah,  perkahwinan ni bukan keinginan Ritz,  okey?  Ritz tak akan pindah dari rumah ni.  Tinggal dengan ayah dan ibu sama je kan dengan tinggal sendiri di rumah lain?  Ritz rasa tak ada bezanya,"  Farritz Aidil berpaling ke arah bapanya yang sedang duduk di buaian besi di hadapan kolam ikan koi.
          "Bukan ayah nak halau.  Ritz tu lelaki.  Sekarang Ritz dah bergelar suami pada seseorang.  Tanggungjawab Ritz untuk menjaga dan membahagiakan isteri Ritz.  Ritz ingat Isya akan suka ke kalau selama-lamanya tinggal dengan kami?"
          "Siapa suruh dia pandai-pandai pasang jerat nak kahwin dengan Ritz dulu?  Sekarang,  rasakan lah,"  bidas Farritz Aidil sambil tersenyum sinis.
          "Astaghfirullahal 'azim Ritz..  Apa kau merepek ni?  Isya tak salah.  Dia tak ada kaitan pun dalam hal ni.  Ibu Ritz yang rancang semua ni,  Ritz.  Jangan tuduh isteri Ritz yang bukan-bukan.  Walaupun Ritz suami dia,  Ritz tak boleh memburuk-burukkan isteri Ritz.   Berdosa tahu tak?"
          "Assalamualaikum ayah,  Ritz.  Selamat pagi.."  suara lembut Farisya Adlina menyentakkan perbalahan antara dua beranak itu. 
          Mulanya,  mata Farritz Aidil tertumpu kepada wajah isterinya yang sedang menatang dulang berisi 2 gelas air teh susu panas,  tetapi apabila mata mereka bertemu pandang,  cepat-cepat lelaki itu memalingkan wajahnya.
          "Waalaikumsalam Isya.  Selamat pagi.  Buat apa lah susah-susah bawakan minuman untuk kami.  Ayah dah minum dah tadi,"  Dato' Zahid hanya tersenyum memerhatikan menantunya yang sudahpun duduk di meja kecil berhampiran buaian.  Seyuman manisnya masih tidak lekang di bibirnya.
          "Awak,  jemput minum,"  Farisya Adlina tersenyum paksa.  Terkaku Farritz Aidil dibuatnya.
          "Isya,  ayah masuk dalam sekejap.  Nak ambil ubat,"  Dato' Zahid sengaja mencari alasan agar dapat meninggalkan pasangan pengantin baru itu berdua-duaan.
          "Eh,  tak payah lah.  Biar Isya ambilkan ya?  Ayah duduk lah sini,  minum,"  Farisya Adlina bingkas bangun menghalang langkah mertuanya yang sudah mahu melangkah meninggalkan mereka.  Farritz Aidil yang sudah duduk di kerusi berhadapan Farisya Adlina hanya memerhati.
          "Tak apa.  Isya bukan tahu pun ubat mana yang ayah selalu makan.  Nanti ubat senggugut ibu pula yang Isya bawa,"  Dato' Zahid tertawa kecil kemudian berlalu masuk. 
          Farisya Adlina terkaku.  Kini hanya tinggal mereka berdua di situ.  Masing-masing hanya diam membisu.  Farritz Aidil menyambut huluran cawan dari Farisya Adlina.  Menggigil tangannya tatkala hulurannya bersambut.  Dia tidak berani mengangkat wajah memandang Farritz Aidil yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek separas lutut. 
          Sebenarnya semasa melangkah keluar tadi,  dia sudah menggelabah melihat lelaki itu.  Tidak dapat dinafikan kekacakan lelaki berumur 22 tahun itu.
          "Kau ni Isya,  agak-agak lah.  Apa maksud sindiran kau ni?"  Farritz Aidil mengetap giginya geram.  Mana tidaknya.  Dari tadi,  Farisya Adlina hanya menunduk sehinggakan tidak perasan bahawa cawan yang dihulurkan kepada lelaki itu hanya lah cawan kosong.   Mahu sahaja lelaki itu tidak naik berang.  Jauh di sudut hatinya tercuit juga melihat telatah isterinya yang sedang menggelabah itu.  Sengaja dia mahu mengusiknya.
          "Ha?  Kenapa,  awak?  Air tu tak sedap ke?  Maaf,  saya tak rasa pun tadi.  Saya puasa,"  Farisya Adlina semakin menggelabah.
          "Macam mana aku nak tahu sedap ke tak?  Airnya pun tak ada.  Atau kau nak suruh aku puasa sekali?"
          "Ha?  Maaf,  awak.  Saya tak perasan.  Saya betul-betul tak perasan.  Mari cawan tu.  Saya tuangkan airnya,"  Farisya Adlina menghulurkan tangannya mahu mendapatkan semula cawan kosong itu. 
          'Cantik lah pula Isya ni kalau tengok lama-lama.  Dulu tak nampak sangat kecantikan dia,'  desis hati Farritz Aidil.
          "Dah tak payah!  Aku dah tak ada selera.  Kau minum lah sorang-sorang ya?"  keegoan Farritz Aidil semakin menebal.  Dia bangkit lalu berlalu masuk ke rumah banglo itu.  Farisya Adlina terkulat-kulat seorang diri. 
          'Bodohnya aku ni..  Macam mana lah aku boleh lupa nak tuang air dalam cawan dia?  Malunya.."

No comments:

Post a Comment