18
'Kekasih Halal'
"Assalamualaikum mama, papa, ayah, ibu. Morning," Farisya Adlina yang lengkap berbaju kurung moden berwarna hijau beserta selendang berwarna hijau kekuningan menuruni tangga lalu berjalan menghampiri ibu bapa dan mentuanya yang sedang menikmati sarapan pagi buatannya.
Setelah selesai memasak tadi, Farisya Adlina terus naik semula ke bilik untuk mandi. Dia masih tidak nampak kelibat Farritz Aidil pagi ini.
"Waalaikumsalam. Mari makan sekali, Isya," Datin Munirah tersenyum manis kepada menantunya itu. Farisya Adlina membalas senyuman itu semula.
"Farritz mana, Isya?" tanya Dato' Zahid. Puan Sri Zakiah dan Tan Sri Mahmud berpandangan sesama mereka.
"Farritz.. Err.. Farritz.." tergagap-gagap Farisya Adlina menjawab. Dia sedang memikirkan jawapan bagi soalan tersebut. Mana lah dia tahu ke mana lelaki itu pergi.
Dari hari pertama mereka bergelar suami isteri semalam, Farisya Adlina dan Farritz Aidil tidak tidur sebilik. Dia hanya mengagak bahawa lelaki itu sudah pergi ke kuliah. Dia pula ditinggalkan supaya pergi bersendirian. Jijik sungguh lelaki itu mahu mengaku Farisya Adlina sebagai isterinya.
"Yes ayah. Ada apa cari Ritz?" suara garau Farritz Aidil kedengaran jelas di belakang Farisya Adlina. Farritz Aidil kelihatan kemas berbaju t-shirt Polo biru kegemarannya. Dia kelihatannya sudah bersedia untuk pergi ke kuliah.
Farisya Adlina yang juga sudah bersiap-siap untuk menghadiri kuliah itu terkejut lalu mempercepatkan langkahnya untuk melarikan diri dari lelaki itu. Peristiwa ngeri malam semalam masih terbayang-bayang di matanya. Semua yang ada di meja makan hanya menjadi pemerhati.
"Isya, kenapa tak ambil buku-buku pada tangan Farritz tu? Berdosa tau kalau biarkan suami angkat barang-barang. Awak tu kan isteri dia," terpempam Farisya Adlina mendengar teguran mamanya itu.
'Ya Allah! Malunya..' Farisya Adlina seperti lembu dicucuk hidung. Dia berpatah balik ke arah Farritz Aidil yang sudah terkaku di anak tangga terakhir lalu mencapai fail-fail dan beg Farritz Aidil. Farritz Aidil masih terkaku menatap wajah polos isterinya itu.
Puan Sri Zakiah dan Tan Sri Mahmud sama sekali tidak mengetahui akan ketidaksetujuan Farisya Adlina terhadap pernikahan ini. Dia amat percaya akan kata-kata besannya, Datin Munirah bahawa Farritz Aidil dan Farisya Adlina memang sudah lama bercinta dan ingin disatukan.
Sebagai anak yang taat akan ibu bapa, Farisya Adlina tidak menyuarakan perasaannya kerana takut akan mengecewakan hati ibu bapanya.
"Salam sekali," Tan Sri Mahmud bersuara pula. Farisya Adlina yang sudahpun bergerak meninggalkan Farritz Aidil, berpatah semula kepada suaminya itu lalu mengucup perlahan tangan kasar itu. Mata Farritz Aidil sedikitpun tidak berkelip dengan insiden itu. Egonya sedikit tergugat melihat kesopanan Farisya Adlina.
"Macam tu, lah. Biasa-biasakan. InsyaAllah mesti bahagia," Datin Munirah terseyum manis. Selera Farisya Adlina termati dengan insiden yang baru berlaku sebentar tadi. Dia berlalu ke dapur setelah meletakkan barang-barang kepunyaan Farritz Aidil di dalam kereta lelaki itu. Pantas benar langkahnya.
"Jemput lah isteri tu makan, Ritz," Datin Munirah menegur anaknya itu yang langsung tidak bertegur sapa dengan Farisya Adlina. Farritz Aidil menarik kerusi bersebelahan Dato' Zahid lalu mengambil sekeping roti untuk dimakan. Mukanya kelihatan selamba. Seperti tiada apa-apa yang berlaku di sekelilingnya.
"Ritz.." Dato' Zahid menegur perlahan anaknya. Kedua-dua besannya terkaku dengan tingkah laku kurang sopan Farritz Aidil.
"Can you give me my time for a while? I feel bored now!" Farritz Aidil bersuara perlahan tetapi kedengaran tegas.
"Mari makan, Isya," pelawaan Puan Sri Zakiah menyentakkan perhatian semua yang ada di situ termasuk Farritz Aidil. Farisya Adlina yang baru muncul dari dapur beserta 2 gelas kaca kosong hanya tersenyum tawar.
"Tak mengapa lah mama. Isya puasa hari ini," Farisya Adlina melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan dengan Puan Sri Zakiah, berhadapan Farritz Aidil.
"Mama balik pukul berapa?" Farisya Adlina memulakan bicaranya. Hari ini Puan Sri Zakiah dan Tan Sri Mahmud akan pulang ke rumah mereka semula. Mereka tidak mahu berlama-lama sangat di rumah besan mereka ini walaupun digesa oleh Datin Munirah.
"Lepas makan nanti mama dan papa balik lah. Kenapa? Nak ikut mama balik ke?" Puan Sri Zakiah tersenyum manis. Dia masih ingat lagi akan perkara yang berlaku terhadap anak perempuannya itu. Walaupun sudah bersuami, Farisya Adlina masih mahu tidur dengan ibunya.
"Tak ada lah. Isya tanya je. Isya hantar mama dan papa balik, ya?" Farisya Adlina menatap wajah tua wanita itu.
"Tak payah lah Isya. Papa boleh drive balik sendiri. Isya pergi lah kuliah," Tan Sri Mahmud tersenyum manis.
"Okey lah ibu, ayah. Ritz pergi dulu. Assalamualaikum," Farritz Aidil sudah bersiap-siap untuk berangkat ke kuliah. Farritz Aidil langsung tidak bersalaman dengan ibu bapa mentuanya. Mungkin dia masih belum memaafkan mereka di atas perkahwinannya dengan Farisya Adlina semalam.
Farisya Adlina terpempam. Apa yang perlu dikatakan kepada kedua-dua pasangan suami isteri ini sekiranya mereka bertanya mengapa mereka berdua tidak pergi bersama kerana mereka menyangka bahawa Farritz Aidil dan Farisya Adlina memang sudah lama bercinta.
"Kenapa tak salam mama dan papa tu, Ritz?" wajah Dato' Zahid tiba-tiba menjadi serius terhadap kebiadaban anaknya itu.
"Perlu ke Ritz hormat orang tak tahu malu macam mereka ni, ayah?" Farritz Aidil menjadi berang dengan tuduhan itu. Farisya Adlina terkejut dengan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh suaminya terhadap ibu bapanya.
"Apa Ritz cakap ni? Kenapa kurang ajar sangat? Mereka tu kan ibu bapa Ritz juga sekarang ni!" Dato' Zahid begitu tergamam melihat tingkah laku anaknya yang begitu kurang ajar terhadap ibu bapa mentuanya.
"Maafkan Abang Ritz, ayah. Kami pergi dulu," Farisya Adlina bersalaman dengan ibu bapanya dan ibu bapa mentuanya. Farisya Adlina menarik tangan Farritz Aidil supaya cepat-cepat pergi dari pertengkaran yang sedang tercetus itu. Dia tidak mahu pertengkaran itu bertambah teruk jika tidak dibendung.
Dato' Zahid merenung tajam ke arah Farritz Aidil. Tan Sri Mahmud dan Puan Sri Zakiah hanya tertunduk malu dengan herdikan Farritz Aidil sebentar tadi.
"Ayah belum habis lagi dengan Ritz tahu tak?" Dato' Zahid mengetap giginya tanda geram. Farritz Aidil hanya menurut langkah Farisya Adlina sehingga ke beranda rumah.
"Kenapa dengan awak ni? Tak puas-puas lagi ke awak herdik saya sebelum ni? Sekarang ni awak nak cari fasal pula dengan parents saya?" Farisya Adlina melepaskan tangan Farritz Aidil sekuat-kuatnya. Geram benar dia dengan lelaki itu.
"Tahu pula kau nak marah, ya? Sekarang baru kau rasa apa yang aku rasa!" Farritz Aidil menengking isterinya lalu berjalan menuju ke kereta Ferrari F430 nya yang terletak di garaj kereta.
"Tolong lah jangan seksa saya macam ni, Ritz. Kalau awak dah tak nak kat saya, lepaskan je saya ni. Saya rela. Tapi jangan buat saya macam ni," Farisya Adlina mengejar langkah Farritz Aidil yang terhenti di sisi kereta tersebut.
"Aku tak akan lepaskan kau semudah tu, Isya. Aku akan seksa kau sampai kau mati. Jangan harap kau akan hidup senang," Farritz Aidil tersenyum sinis lalu masuk ke dalam kereta. Pintu kereta dihempas kuat sebelum Farritz Aidil bergerak meninggalkan Farisya Adlina seorang diri. Setitis air mata gugur di pipinya.
'Aku tak boleh selemah ni. Aku kena kuat! Aku tak boleh lemah pada lelaki macam tu,' bisik hati Farisya Adlina. Dia mengesat air mata yang semakin membasahi pipinya.
"BAIK lah. Jangan lupa siapkan assignment yang saya bagi tu. Bila saya nak nanti, semua kena hantar. Okey, semua boleh bersurai sekarang. Assalamualaikum," suara garau Zaki Zaqhwan bergema di seluruh ruang kuliah.
Tepat jam 3 petang, tamat sudah sesi ketiga kuliah mereka. Semua pelajar sedang berkemas-kemas setelah dibenarkan bersurai. Ada juga yang sudah keluar dahulu.
"Isya, hari ni kau ada nak pergi mana-mana ke?" Atiera yang sudah selesai berkemas-kemas memalingkan tubuh kepada Farisya Adlina yang duduk di sebelahnya.
"Tak. Nak balik terus. Kenapa?" Farisya Adlina mengerutkan dahinya. Lia dan Afifa masih sedang menulis sedikit nota yang tidak sempat disalinnya semalam. Pelajar-pelajar yang lainnya sudah bersurai. Hanya yang tinggal 4 sahabat itu dan pensyarah mereka yang sedang memeriksa data-data di dalam komputer ribanya di hadapan kelas.
"Ingat nak ajak kau teman pergi jumpa seseorang," Atiera mencebikkan bibirnya.
"Seseorang? Siapa? Qayyum ke?" bertalu-talu soalan yang diajukan Farisya Adlina kepada Atiera. Pelik benar dia akan teka-teki yang sedang dimainkan oleh Atiera.
"Lia, banyak lagi ke?" suara garau Zaki Zaqhwan menyentakkan perhatian keempat-empat sahabat itu. Entah bila agaknya lelaki itu datang ke tempat duduk mereka itu. Tahu-tahu sudah duduk di sisi Lia.
"Sikit je lagi ni. Kenapa? Abang nak balik, ya?" Lia memalingkan wajahnya kepada suaminya lalu menghadiahkan lelaki itu sekuntum senyuman.
"Kau ni Lia. Kau kan dah ada husband lecturer. Kau tak payah lah risau-risau nak salin nota ni. Kau minta je kat dia. Lepas tu bagi kita orang pula. Kan senang," Afifa menyiku lengan Lia yang sedang tersenyum menatap wajah suaminya itu.
"Bukan semudah tu, Ifa. Kat rumah lain. Kat kuliah lain. Mana boleh sama kan," ujar Zaki Zaqhwan.
"Aku tunggu kau kat kafeteria. Bye girls," Atiera tiba-tiba sahaja berlalu meninggalkan rakan-rakannya itu. Mereka berpandangan sesama sendiri.
No comments:
Post a Comment