Wednesday, February 16, 2011

bab 1



1

'Hanya Kerana Cinta'

15 Oktober 2006


"Woi!!  Berangan apa,  ha?"
          "Opocot mak kau!  Kau ni.  Buat aku terkejut je,  lah,"  Farisya Adlina merungut tatkala disergah begitu.  Dia memang sudah masak dengan sikap rakan baiknya itu,  Afifa.  Gadis itu hanya tersenyum nakal.
          "Woi agak-agak lah sikit suara tu.  Ni perpustakaan tau bukan rumah kau orang,"  Lia yang baru muncul dari sebalik rak buku memberi amaran kepada rakan-rakannya itu.  Dia mengambil tempat di sebelah kiri Farisya Adlina.  Matanya melirik ke arah Farisya Adlina yang menggeleng seorang diri.  Buku komik Doraemon di tangannya itu dibelek sehabisnya.
          Lia memang seorang pelajar yang berpenampilan sopan tetapi bersifat kasar sedikit.  Afifa dan Atiera yang tersenyum sumbing menarik kerusi berhadapan dengan Farisya Adlina yang sedang tekun menelaah buku Perakaunan.
          Sudah dua tahun Farisya Adlina menyambung pelajaran di Unversiti Kebangsaan Malaysia ini.  Dan sudah dua tahun juga Lia,  Afifa,  Atiera,  dan Farisya Adlina berkawan rapat.
          Farisya Adlina masih ingat lagi betapa kecohnya pertemuan pertama mereka berempat.  Ketika itu merupakan hari pertama mereka di situ.  Lia,  Afifa,  dan Atiera yang memang sudah berkenalan terlebih dahulu itu terserempak dengan Farisya Adlina yang sedang gelisah menunggu bas di tepi jalan. 
          Sebuah kereta Toyota Camry ungu berhenti betul-betul berhadapan dengan Farisya Adlina yang sedang berdiri di bahu jalan.  Cermin tingkap tempat duduk belakang kereta diturunkan perlahan-lahan.
          "Assalamualaikum,  saudari.  Dari mana nak ke mana?"  tegur Atiera dengan nada mengusik.  Dia tersenyum manis.  Tetapi senyuman itu lebih kepada senyuman nakal.  Farisya Adlina memang kurang peramah dengan orang yang tidak dikenalinya lebih-lebih lagi ketika baru beberapa hari tinggal di asrama ini.  Belum semua yang dikenalinya.
          'Dari mana lah datangnya makhluk bertiga ni.  Aku lagi tengah runsing ni,  ada saja yang mengganggu,'  rungut Farisya Adlina.  Afifa dan Lia sudah hampir pecah perut melihat muka Farisya Adlina yang kelihatan kurang senang dengan teguran nakal Atiera itu. 
          Bukan Farisya Adlina tidak mempunyai kenderaan sendiri.  Malah tahun lalu,  Tan Sri Mahmud baru sahaja menghadiahkan puteri kesayangannya itu sebuah kereta Aston Martin berwarna putih susu sempena hari jadinya yang ke 21 tahun.  Tetapi semalam keretanya kehabisan minyak gara-gara ibu bapanya yang menggunakan kereta kesayangannya itu untuk menghadiri majlis persaraan papanya tempoh hari. 
          Kereta Perodua Myvi hitamnya pula masih di bengkel untuk diservis tempoh hari.  Kereta tersebut pula merupakan kereta pertamanya yang dibeli cash dengan wangnya sendiri.
          "Amboi sombongnya dia.  Pandang kita pun tak mahu,"  tiga rakan baik itu tergelak besar mendengar kata-kata sindiran Atiera itu.  Bukan mahu membuli tetapi sekadar bergurau.
          "Maaf.  Jangan ganggu saya,"  perlahan tetapi kedengaran tegas sekali.  Farisya Adlina segera berpaling lalu melangkah pantas untuk meninggalkan ketiga-tiga 'ALIEN' itu.  Atiera terkejut dengan tindakan Farisya Adlina itu. 
          Pipi Farisya Adlina yang putih gebu itu kelihatan merah.  Mungkin sedang menahan marah yang sedang bergelodak di hatinya.  Bibir mungil yang hanya dicolet ringan oleh lipstik merah hati itu terkumat-kamit merungut akibat kenakalan gadis-gadis itu.
          Semakin laju langkahnya meninggalkan tiga sekawan itu.  Sekali lagi Toyota Camry ungu tadi menghampirinya.
          'Apa lagi lah yang budak tiga ekor ni nak agaknya,'  rungut Farisya Adlina dalam hati.  Akibat sudah hilang sabar,  dia memberhentikan langkahnya dan berpaling menghadap kereta yang sedang berhenti di hadapannya itu untuk 'menyembur' mereka.  Kereta itu berhenti betul-betul di hadapannya.  Farisya Adlina memberanikan diri menghampiri tempat pemandu.  Perlahan-lahan cermin tingkap tempat pemandu diturunkan.
          "Awak semua ni tak faham bahasa ke ha?  Kenapa awak semua nak kacau saya?  Saya rasa ni bukan tempat awak kan?  Please!  Leave me alone!"  Farisya Adlina menghamburkan kemarahannya sepuas hatinya.'  Baru padan muka kau orang.  Baru kau orang kenal siapa Farisya Adlina Tan Sri Mahmud.'
          "Eh..  Eh..  Lu minah.  Tak reti ke nak cakap baik-baik?  Lu fikir kita orang nak sangat ke tegur lu?"  Lia yang sakit hati dengan bahasa Farisya Adlina terus bersuara membuatkan rakan-rakan yang lainnya tergamam.  Atiera yang duduk di belakang bersama Afifa hanya diam sambil memerhatikan adegan sebabak itu.
          "Kita orang cuma nak bagi tahu yang tempat ni memang TAK PERNAH ada bas lalu,  teksi lagi lah,"  Lia sengaja menekankan perkataan 'tak pernah' agar Farisya Adlina rasa betapa sakitnya hati apabila niat baik mereka dituduh yang bukan-bukan.
          "Kita orang bertiga ni berniat baik nak tumpangkan lu.  Tapi lu punya berlagak nak mati,  lu marah pula kat kita orang.  Wa panas hati lah beb,"  Lia menghentak stereng keretanya membuatkan Farisya Adlina yang sedang leka mendengar bebelannya tersentak.
          "Betul lah.  Kau ni memang tak ada budi bahasa langsung.  Harap je pakai tudung,  baju kurung pula tu.  Tapi tak reti nak hormat orang lain,"  Afifa menyambung kata-kata Lia yang dibiar tergantung.  Farisya Adlina sedikit tercabar mendengar herdikan Afifa itu.  Sesungguhnya dia tidak berniat langsung untuk memarahi mereka begitu sekali.  Tetapi dia memang sedang runsing ketika itu dan Atiera seolah-olah sengaja menaikkan kemarahannya.
          "Kalau dah tahu nak buat baik,  kenapa tak cakap terus terang saja?  Awak semua tahu tak yang saya sekarang tengah runsing?"  Farisya Adlina memberanikan diri melawan kata-kata kesat Lia sebentar tadi.
          "Blah lah lu.  Dah buat salah,  langsung tak reti minta maaf.  Orang kalau sombong bodoh,  macam ni lah.  Tapi aku nak tanya,  kau ni budak mana,  ek?  UKM ke?  Eee..  Buat malu kita orang je lah.  Jom lah Lia.  Kita dah lambat nak masuk kuliah ni,"  Atiera berpura-pura marah padahal dia sedang gelisah kerana dia juga bersalah kerana menyebabkan pertelagahan ini.
          "Lu tunggu lah sini sampai tahun depan ya.  Kita orang dah lambat nak pujuk lu lama-lama.  Untuk pengetahuan lu,  kita orang tak hard up lah nak tumpangkan lu.  Okey,  chow!" 
          Berdecit tayar kereta kesayangan Lia akibat tekanan yang kuat pada pedal minyak.  Mungkin terlalu sakit hati dengan kata-kata Farisya Adlina sebentar tadi.  Mereka bertiga semakin jauh meninggalkan Farisya Adlina yang terkulat-kulat dengan herdikan mereka.
          'Astaghfirullahal 'azim.  Apa yang aku buat ni?  Kenapa lah aku bodoh sangat?  Hisy!'  Farisya Adlina meraup mukanya berkali-kali apabila menyedari perbuatannya yang telah melukakan hati orang lain.


"LIA,  relax lah wei.  Slow lah sikit kereta ni.  Jangan sebab kau marahkan budak sombong tu,  kau nak bawa kita orang mati dengan kau sekali,"  Atiera bersuara lambat-lambat.  Mungkin takut akan dimarahi rakannya yang sememangnya seorang yang panas baran.
          "Betul lah Lia.  Lupakan saja lah.  Biasa lah kalau dah duduk town ni.  Tengok gaya pun macam anak orang berada.  Biasa lah.  Mana lah standard nak naik kereta cabuk macam ni.  Girlish sangat,"  puas Afifa memujuk rakannya yang sedang menyinga itu.  Tudung putih susu yang melitupi kepalanya itu kelihatan sedikit senget.  Mungkin kerana angin yang sedang membara dihatinya yang merosakkan penampilannya itu.
          "Kau agak-agak sikit,  Ifa.  Kereta tersebut kereta aku.  Karang ada yang kena turun tepi jalan ni.  Cabuk-cabuk pun kau nak juga naik kan?"  walaupun terkejut mendengar suara Lia yang tiba-tiba meninggi,  Afifa dan Atiera sedikit lega kerana akhirnya Lia masih mahu bersuara.
          "Lah..  Lia.  Kau kena faham.  Aku bukan saja-saja tak mahu bawa kereta sendiri.  Cuma buah hati kesayangan aku,  Honda Accord tu,  masuk wad.  Kalau tak aku pun tak mahu menyusahkan kau,"  Afifa kedengaran sedikit kecil hati dengan sindiran Lia.
          "Kancil buruk aku tu pun sama lah.  Tengah tenat,"  sampuk Atiera.     
          "Kau pun satu lah.  Bapak kau kan Tan Sri.  Kenapa kau tak bodek je bapak kau beli kereta baru?  Kau kan anak orang kaya.  Nak kapal terbang pun bila-bila masa je boleh landing depan rumah kau.  Tak macam kita orang ni,  anak orang susah.  Tapi sekurang-kurangnya kita orang mampu juga beli kereta sendiri.  Bukan je mahal tapi tahan lama.  Orang tua-tua kata apa?  Alah membeli,  menang memakai?  Entah lah aku pun ingat-ingat lupa peribahasa orang dulu-dulu ni,"  balas Afifa panjang lebar.
          "Aku tak mahu menunjuk-nunjuk.  Tak salah kan?"  Atiera membidas.  Atiera merupakan anak kepada salah seorang usahawan terkenal di Kuala Lumpur.  Bukan dia tidak berkemampuan untuk membeli kereta baru yang lebih mahal dan berjenama.  Cuma dia mahu bersikap sederhana.
          "Tapi cara kau tu keterlaluan lah,  Tiera.  Menyusahkan diri kau sendiri tahu tak?  Asyik rosak je.  Pintu nak tertanggal.  Cermin dah retak seribu.  Aku rasa kalau jual kat besi buruk pun macha tu tak nak,"  dengan selamba Lia mengutuk kereta Perodua Kancil Atiera yang sudah uzur itu.
          "Aku dengar tu,"  Atiera mengerling ke luar tingkap kereta.
          "Eh Lia,  kenapa kau pusing balik ni?  Kita dah lambat ni tahu tak?  Nanti abang Zaki kau marah lah,"  Atiera terkejut dengan tindakan Lia yang tiba-tiba berpatah balik ke arah bertentangan.  Dia memang takut dengan lecturer kuliahnya, Zaki Zaqhwan yang sedang menaruh hati pada Lia.
          "Pergi lantak lah sama dia,"  Lia tetap meneruskan pemanduannya tanpa menjawab soalan Atiera.
          "Eh,  kau biar betul Lia,"  Afifa terkejut tatkala beberapa minit kemudian,  kereta yang mereka naiki berhenti di bus stop tempat mereka 'berdrama' sebentar tadi.  Cermin tingkap pemandu diturunkan sedikit lalu kelihatan lah wajah sugul Farisya Adlina yang masih setia menunggu bas.
          "3 saat.  Nak naik ke tak?  1...2..."  sebelum sempat Lia menyebut nombor seterusnya,  Farisya Adlina segera membuka pintu sebelah Lia lalu meloloskan diri ke dalam kereta tersebut.
          "Tahu pun nak masuk.  Ingat tak serik-serik lagi tadi,"  Lia tersenyum sinis sambil menjeling ke arah Farisya Adlina yang hanya tunduk sejak masuk tadi.  Atiera dan Afifa berpandangan sesama mereka tanda pelik.
          "Maaf,"  hanya itu yang mampu diungkapkan Farisya Adlina sebagai tanda menyesali perbuatannya sebentar tadi.
          "Tak apa.  Aku Lia.  Yang serba pink tu,  Afifa.  Kita orang panggil dia Ifa.  Yang pakai selendang hitam tu Atiera.  Dia tu mereng sikit.  Kau pula?"  tanpa diminta,  Lia memperkenalkan dirinya beserta rakan-rakannya yang lain.  Farisya Adlina melemparkan senyuman manisnya kepada mereka bertiga sambil menyambut huluran tangan mereka.
          "Saya Isya.  Farisya Adlina Tan Sri Mahmud,"  terserlah lesung pipit gadis itu apabila bibir mungil itu mula berbicara.
          "Ha,  tengok.  Kan aku dah kata.  Kau orang tak percaya.  Anak orang kaya rupanya.  Tepat tekaan aku,"  Afifa mengangkat jari telunjuknya tepat ke arah muka Farisya Adlina.
          "Ssshh.  Diam lah,  dol!"  Atiera memberi amaran kepada Afifa.  Afifa terdiam.
          "Isya nak minta maaf sebab bersikap kasar pada Lia,  Atiera dan Afifa tadi.  Isya tak berniat nak buat macam tu.  Isya tengah runsing masa tu.  Isya minta maaf ya,"  Farisya Adlina meneruskan kata-katanya.  Hati siapa yang tidak cair apabila dirayu begitu sekali.  Mereka bertiga begitu tepukau melihat senyuman manis Farisya Adlina.
          "Okey.  Maaf diterima.  Lain kali kalau orang tegur,  jangan buat macam tu.  Kita perempuan.  Tak elok kasar sangat.  Nanti mak mentua reject,"  Afifa memulakan ceramah agamanya.
          "Dah dah,  cukup lah tu ustazah.  Kita dah lewat ni.  Nak tunggu kau berceramah lagi,  bertahun tahu tak.  Gerak Lia!"  Atiera berteriak di tempat duduk belakang memecah kesunyian pagi.  Mereka berempat sempat tertawa sebelum kereta Toyota Camry kesayangan Lia bergerak menyusuri jalan raya menuju ke dewan kuliah.


"GIRLS,  kau orang lapar tak?  Pergi makan jom.  Boring lah duduk sini lama-lama.  Asyik menghadap buku je,"  cadang Afifa.
          "Kau orang nak makan pergi lah.  Aku ada hal lah.  Mama suruh balik sekejap,"  balas Farisya Adlina.  Ada nada kecewa pada hujung kata-katanya.
          "Lah..  Kau ni.  Tak syok lah kau tak ada.  Jom lah makan sekali,"  bantah Atiera pula.  Bibirnya dicebikkan tanda memprotes.
          "Tak pun kan,  apa kata kau orang makan kat rumah aku?  Rasa mama masak,"  Farisya Adlina tersenyum manis.
          "Okey juga tu.  Save sikit duit aku nak belanja kau orang makan,"  Afifa mengurut-urut dadanya.
          "Dah tu,  yang tercongok lagi ni kenapa?  Jom lah gerak,"  Lia bersuara tiba-tiba.
          Atiera,  Lia,  dan Afifa sudah biasa berkunjung ke rumah Farisya Adlina yang terletak di UK Heights.  Adakalanya mereka bertiga berasa rendah diri untuk bergaul dengan orang kenamaan seperti keluarga Farisya Adlina ini kecuali Atiera yang sudah terbiasa dengan suasana seperti itu.
          Hari itu,  empat sekawan itu menikmati makan tengah hari di rumah mewah Farisya Adlina dengan berselera sekali.  Selesai solat isyak berjemaah bersama keluarga Farisya Adlina,  mereka bertolak pulang ke asrama.  Lia,  Afifa,  dan Atiera tertidur gara-gara terlalu kenyang menikmati hidangan lazat masakan mama Farisya Adlina untuk mereka. 
          Sedang Farisya Adlina tekun melayan lagu sambil memandu kereta,  tiba-tiba kedengaran satu dentuman kuat pada bahagian belakang kereta Aston Martin kesayangannya itu.  Rakan-rakan yang lain turut terbangun dari tidur.  Semua berpaling ke arah cermin belakang.
          "Astaghfirullahal 'azim..."  ucap Farisya Adlina panjang sambil mengurut-urut dadanya yang sedang berombak kencang.

No comments:

Post a Comment