29
'Salam Terakhir'
"Kau banyak-banyakkan istighfar, Isya. Jangan keras hati sangat. Jom lah pergi tengok Ritz," ujar Lia cuba melembutkan hati sahabatnya itu. Atiera dan Afifa juga sudah ketandusan idea untuk memujuk Farisya Adlina.
"Aku tak akan pergi tengok dia, Lia. Kau orang nak, kau orang je lah yang pergi. Selama dia hidup pun, aku benci tengok dia. Dan nak tengok mayat dia pun aku benci," balasnya tegas. Farisya Adlina memeluk tubuhnya sambil menghadap ke luar tingkap.
"Kau ni memang dah hilang akal agaknya. Hei, kau tahu tak, membenci suami sendiri tu dosa besar. Kau takkan cium bau syurga tahu tak?" Afifa semakin hilang sabar dengan sikap keras kepala Farisya Adlina.
"Isya, besar sangat ke dosa yang dia buat sampai dia dah meninggal pun kau benci sangat nak tengok dia? Sudah lah tu, Isya. Buang ego dan dendam kau tu jauh-jauh. Kau pergi lah jumpa dia. Mungkin buat kali terakhir.." tidak sanggup rasanya Atiera untuk melafazkan ayat terakhir itu. Air matanya gugur lagi buat ke sekian kalinya namun Farisya Adlina masih biasa dan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengalah.
"Betul tu. Pergi lah. Mohon keampunan dari dia. Kau banyak sangat dosa pada dia. Kau sembunyikan kandungan kau dari dia, kau benci dia.. Pergi lah, Isya.. Syurga seorang isteri terletak di telapak kaki suaminya," Lia mengakhiri kata-katanya lalu keluar dari bilik yang pernah menjadi mahligai buat Farisya Adlina dan Farritz Aidil suatu ketika dahulu.
Atiera dan Afifa sempat memegang bahu sahabatnya itu lalu mereka ikut sama meninggalkan Farisya keseorangan. Mereka berdua turun ke tingkat bawah untuk turut sama membacakan surah yasin buat Farritz Aidil.
Farisya Adlina mengelus lembut perutnya yang masih belum kelihatan berisi. Apa yang perlu dia nyatakan kepada bayi yang sedang membesar di dalam rahimnya apabila ditanya mengenai bapanya suatu hari nanti? Tidakkah anak ini akan berasa sedih jika dia tahu bahawa bapanya sudah tiada lagi sebelum sempat menyedari kehadirannya di bumi ini?
Air jernih yang sekian lama ditahan akhirnya gugur jua bersama sendu tangisnya. Farisya Adlina benar-benar terpukul dengan kejadian itu.
Dia mendapat khabar daripada pihak hospital yang mengatakan Farritz Aidil sudah meninggal dunia di hospital. Namun belum sempat doktor itu memaklumkan mengenai punca kematiannya, Farisya Adlina sudah jatuh tidak sedarkan diri.
Kepulangan jenazah Farritz Aidil ke rumahnya dijemput oleh kedua-dua mertua Farisya Adlina diiringi sahabat handai Farritz Aidil sendiri. Farisya Adlina langsung tidak turun menjenguk jenazah Farritz Aidil walaupun sudah hampir setengah hari jenazah suaminya terbujur kaku di situ.
Farisya Adlina beristighfar berkali-kali. Apa lah gunanya dia berdendam lebih lama. Farritz Aidl sudah tiada lagi di muka bumi ini. Mahu atau tidak dia terpaksa memaafkan semua perbuatan Farritz Aidil terhadapnya selama ini.
Setelah menyarung tudung putih di kepalanya, Farisya Adlina menggagahkan dirinya untuk melangkah menuju ke tingkat bawah. Menggigil tubuhnya tatkala melihat semua tetamu yang hadir sedang menggerumuni Farritz Aidil yang terbaring kaku di sisi ibunya.
Atiera, Afifa, dan Lia yang menyedari Farisya Adlina yang sedang tercegat di anak tangga terakhir memandang Farritz Aidil terus mendapatkannya lalu memimpin sahabat baik mereka itu menuju ke arah Farritz Aidil. Perlahan kakinya melangkah.
Setibanya dia di sebelah tubuh Farritz Aidil, Farisya Adlina jatuh terduduk. Semua tetamu yang hadir hanya memandang penuh simpati.
Di satu sudut, Puan Sri Zakiah dan Datin Munirah sedang berpeluk-pelukan. Mereka sendiri tidak mampu menahan sebak melihat air mata yang mulai gugur di pipi Farisya Adlina. Atiera, Afifa, dan Lia hanya dia seribu bahasa.
"Awak.. Saya datang ni.. Bangun lah.." ujar Farisya Adlina. Terketar-ketar bibirnya memanggil suaminya itu. Hatinya menjadi begitu sayu.
Terdapat banyak kesan lebam pada wajah Farritz Aidil. Wajahnya juga kelihatan suram. Farisya Adlina masih menahan tangis. Digoncangnya tubuh Farritz Aidil perlahan.
"Awak.. Bangun lah.. Jangan tinggalkan saya," Farisya Adlina meraung seperti orang hilang pedoman. Dia begitu menyesal kerana belum sempat memohon keampunan daripada Farritz Aidil. Atiera pantas memeluk sahabatnya itu untuk menenangkannya.
"Awak.. Saya nak bagitahu awak ni.. Saya mengandung.. Saya mengandung anak kita.. Bangun lah, awak. Kenapa muka awak ni? Awak sakit ya? Tunggu sekejap ya. Saya ambilkan ubat," Farisya Adlina terus meracau seorang diri. Belum sempat dia bangun, Atiera menahannya lebih pantas. Farisya Adlina menjadi layu semula. Tangisannya makin kuat dan mampu didengari semua orang yang ada di situ.
"Isya.. Mengucap.. Jangan meracau-racau macam ni. Tak elok.." Atiera yang juga sedang menangis masih memujuk sahabatnya itu.
"Lepas lah, Tiera. Suami aku sakit. Kau tengok muka dia tu. Banyak lebam. Aku nak pergi ambil kain nak tuam muka dia," jawab Farisya Adlina sambil meronta-ronta minta dilepaskan.
"Isya, Farritz dah tak ada lagi. Suami kau dah meninggal. Aku suruh kau turun bukan untuk meraung meratap macam ni. Aku nak kau minta ampun dengan dia atas semua dosa kau," Lia yang juga sedang sarat mengandung menasihati Farisya Adlina. Dia benar-benar berharap agar Farisya Adlina tidak meratapi pemergian Farritz Aidil lagi.
"Aku berdosa, Lia. Aku banyak sangat dosa pada dia. Aku tak sempat minta maaf kat dia."
"Ya, aku tahu. Tapi kau kena lah minta ampun dengan dia. Bukan meraung-raung macam ni. Kau kena relakan dia pergi. Jangan halang perjalanan dia. Kau nak dia terseksa ke?"
"Tak.." jawabnya perlahan.
"Sekarang, kau pergi tukar baju, kejap lagi dah nak kebumi," ujar Lia lembut. Apabila terdengar perkataan kebumi, Farisya Adlina terus mengangkat muka lalu terus kembali meraung di sisi Farritz Aidil.
"Jangan! Jangan ambil suami aku. Biar dia tinggal dengan aku," Farisya Adlina memeluk erat tubuh kaku itu.
Kalau sebelum ini Farritz Aidil yang memeluknya tanpa keizinannya, tetapi hari ini, dia sendiri yang memeluk tubuh suaminya itu tanpa disuruh. Farisya Adlina menangis semahunya. Dia belum puas hidup bersama Farritz Aidil.
Andai sahaja putaran masa dapat dikembalikan semula, perkara pertama yang ingin dilakukan ialah memohon keampunan daripada Farritz Aidil. Dia benar-benar tidak mahu kehilangan satu-satunya suami dan juga sahabat karibnya sejak kecil ini.
"Tapi Isya.." Afifa mengusap lembut belakang Farisya Adlina.
"Jangan!" Farisya Adlina menjerit sekuat-kuat hatinya. Dia menolak semua rakan-rakan yang cuba menenangkannya sehingga jatuh.
Farisya Adlina bangun dari baring seperti orang baru tersedar dari mimpi ngeri. Nafasnya turun naik laju sekali. Dadanya berombak kencang. Jantungnya berdegup pantas.
Buat seketika, suasana sepi seketika. Dia memandang ke segenap ruang bilik yang gelap.
Di luar, hujan masih lebat. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Farisya Adlina meraup wajahnya yang berpeluh.
'Syukur lah.. Semuanya hanya mimpi,' desis hatinya.
Farisya Adlina turun dari katil perlahan-lahan. Dia masuk ke bilik air lalu mencuci wajahnya dengan air paip yang mengalir deras. Lama dia termenung di hadapan cermin mengenangkan mimpi ngeri yang dialaminya tadi.
Apakah maksud di sebalik mimpi tersebut? Demi merungkai semua persoalan yang menerjah ke benaknya, Farisya Adlina melakukan solat sunat istikharah. Dia mahukan petunjuk daripada Allah mengenai semua yang berlaku terhadap dia dan rumah tangganya.
No comments:
Post a Comment