Wednesday, February 16, 2011

bab 37



37

'Yang Tersayang'

"Kau sebenarnya nak suruh aku bawa kau pergi mana ni?  Cuba kau cakap.  Aku tak faham lah,"  bebel Farisya Adlina yang masih tekun memandu.  Konsentrasinya memandu sedikit terganggu dengan sikap aneh Farritz Aidil yang dari tadi hanya memberi arahan mengenai jalan yang harus dilalui Farisya Adlina.  Entah ke mana lah lelaki itu mahu mengajak Farisya Adlina pergi.
          "Kau betul-betul nak tahu kita nak pergi mana?"
          "Betul lah..  Takkan aku nak main-main,"  balas Farisya Adlina kurang enak.
          "Betul kau nak tahu?"
          "Eh kau ni.  Aku bagi penangan aku ni karang..  Baru kau tahu.  Cakap je lah."
          "Actually,  aku nak ajak kau pergi jumpa wife baru aku.  Aku nak kenalkan kau dengan dia.  Ya lah kan..  Kau orang kan dah hidup bermadu sekarang ni.  Sampai bila kau orang tak nak berkenalan antara satu sama lain.  Lagipun aku dah lama tak jumpa dia.  Rindu gila,  dok!"  Farritz Aidil menyandarkan tubuhnya.  Farisya Adlina hanya mampu menahan perasaannya.
          Sudah hampir 10 minit memandu.  Namun tempat yang dituju masih belum kelihatan.  Farisya Adlina semakin berdebar.  Dia masih belum bersedia mahu bersemuka dengan Intan Natasha.  Tetapi mengapa lelaki itu beriya-iya mahukan mereka bersua muka?  Pasti ada sesuatu yang berlaku.  Tetapi apa?
          "Sampai depan tu,  kau belok kanan,"  arahan terakhir Farritz Aidil menambahkan debaran di hati Farisya Adlina.  Pantas dia membelokkan Aston Martin kesayangannya ke simpang kanan.  Tetapi dia hairan.  Di situ langsung tidak terdapat kawasan perumahan.  Yang ada hanya bengkel membaiki kenderaan,  rumah kedai,  dan rumah kosong.  Mustahil ada orang yang sanggup tinggal di sini.
          Farisya Adlina memperlahankan keretanya lalu berhenti di hadapan sebuah kedai menjual kereta seperti yang diarahkan Farritz Aidil.
          "Wife aku kat sini.  Biasa lah.  Aku nak bawa balik dia.  Jadi dia kena datang jumpa kawan-kawan dia dulu,"  Farisya Adlina tertunduk mendengar ucapan Farritz Aidil.  Debaran hatinya bertambah kuat.  Hati Farritz Aidil tercuit melihat perubahan wajah Farisya Adlina.
          "Kau tak nak masuk?"  ujar Farritz Aidil menyentakkan lamunan sekejap Farisya Adlina.  Dia yang sudah boleh berjalan sendiri keluar dari kereta untuk masuk ke kedai tersebut.
          "Err..  Kau pergi lah dulu.  Nanti aku dah ready,  aku masuk."
          "Okey.."  Farritz Aidil berlalu menuju ke kedai tersebut.  Beberapa minit kemudian,  Farritz Aidil keluar dengan seorang gadis lingkungan 20-an menuju ke arah Farisya Adlina. 
          Pasti dia ialah isteri baru Farritz Aidil.  Tetapi mengapa dia?  Mengapa bukan Intan Natasha?  Farisya Adlina langsung tidak mengenali gadis tersebut.
          "Isya.  Masuk jom.  Penat kami tunggu kau,"  Farritz Aidil mengetuk cermin tingkap Farisya Adlina.  Farisya Adlina yang bagaikan baru sedar dari mimpi terus keluar dari kereta lalu menyalam gadis melayu itu.  Gadis itu kelihatan formal berbaju kemeja dan berskirt hitam.
          "Isya.  Aku harap kau suka tengok wife baru aku.  Jangan jealous,  okey?"  selamba Farritz Aidil memaut bahu isterinya.  Farisya Adlina pula hanya diam seribu bahasa.  Mereka bertiga masuk semula ke kedai menjual kereta itu.
          "Isya.  Kenalkan.  This is my wife.  Ritzsya nama dia,"  bagaikan mahu pitam Farisya Adlina menahan malu.  Rupa-rupanya isteri baru yang dimaksudkan Farritz Aidil ialah kereta Hyundai 145 yang baru dibelinya.  Di bahagian atas cermin hadapan kereta tersebut ada tertulis nama RITZSYA yang menggabungkan nama Ritz dengan Isya.
          "Mesti kau dah fikir lain,  kan?"  Farritz Aidil merangkul pinggang Farisya Adlina mesra.  Gadis yang menguruskan pembelian kereta tersebut hanya tersenyum manis.
          "Kau ni jahat tau!  Tipu aku.  Aku ingat perempuan mana tadi."
          "Mana ada.  Kan kau wife aku.  Takkan aku nak curang."
          "Wait.  Kau beli kereta?  Kaki kau belum sembuh kan?  Macam mana kau nak drive?"
          "Aku beli je lah.  Nanti aku dah sembuh,  aku bawa lah.  Mana lah aku tahu nak dapat kereta ni awal.  Aku ingat dapat lepas aku sembuh.  Tapi tak apa lah.  Kau kan ada.  Nanti kau bawa lah aku jalan-jalan naik kereta ni.  Boleh kan sayang?"
          "Banyak kau punya sayang.  Habis siapa nak bawa balik?"
          "Kedai ni pula sengkek nak suruh driver dia hantar kat rumah.."
          "Oh..  Okey.  Kau memang nak kena,  Ritz.  Kau permainkan aku,  ya?  Jaga kau balik nanti."  Farisya Adlina menggeletek Farritz Aidil bersama tawanya.  Hatinya yang tadinya berdebar kuat kini begitu lega.  Malah bertambah bahagia dengan kejutan yang diberikan.


SEPANJANG perjalanan pulang dari klinik,  Farisya Adlina lebih banyak termenung sambil melayan lagu di radio.  Pelbagai persoalan bermain di fikirannya.  Entah apa jenis perasaan yang dirasainya ketika ini,  dia sendiri tidak pasti.  Gembira,  sedih,  takut.  Segalanya bagaikan sama sahaja.
          Tekaannya selama ini memang ada benarnya.  Sungguh.  Entah bila nyawa itu bertapak di dalam perutnya,  dia sendiri tidak pasti.  Sungguh dia tidak menyangka usia bayi di dalam kandungannya sudah mencecah tiga bulan.  Walaupun masih belum kelihatan berisi,  namun dia dapat merasakan perubahan dirinya semenjak akhir-akhir ini. 
          Jika sebelum ini dia tidak selesa dipeluk,  dicium suaminya,  tetapi kini dia langsung tidak kisah jika lelaki itu mahu berbuat apa sahaja terhadap dirinya malah dia mendambakan belaian lelaki itu setiap waktu.
          Dia bersyukur kerana kehamilan pertamanya ini tidak menyebabkan dia muntah-muntah ataupun pening-pening seperti yang dialami ibu-ibu mengandung yang lain.  Tetapi apa yang melucukan ialah,  dia sering melihat Farritz Aidil muntah-muntah.  Adakalanya sehingga terbaring kepenatan.  Timbul pula perasaan kasihan terhadapnya.
          Namun,  apakah keputusannya untuk memberitahu Farritz Aidil berita kehamilannya ini satu keputusan yang bijak?  Benarkah lelaki itu akan menerima anak itu dengan ikhlas?  Tetapi mustahil pula lelaki itu akan membenci anak itu.  Kerana melalui hubungan dia dan Farritz Aidil,  jelas bahawa lelaki itu sudah boleh menerimanya.  Dan dia yakin lelaki itu akan menerima kehadiran orang baru itu seikhlas hatinya.
          Walaubagaimanapun,  Farisya Adlina sedikit terkilan.  Kerana anak ini lahir dari perasaan cemburu seorang lelaki sehingga sanggup mengambil kesempatan ke atas dirinya yang sedang sakit ketika itu. 
          Tetapi jauh di sudut hatinya dia sebenarnya terlalu gembira mendengar perkhabaran mengenai nyawa yang mula hidup di dalam perutnya.  Andai sahaja anak ini lahir dari rasa cinta dan kasih sepasang suami isteri,  pasti dia lebih bahagia.
          Farisya Adlina telah mengambil keputusan untuk memberitahu berita gembira ini kepada Farritz Aidil bulan hadapan.  Iaitu sewaktu malam ulangtahun perkahwinan mereka yang masuk bulan ke lima. 
          Masih terdengar lagi kata-kata doktor yang melarangnya bersama dengan Farritz Aidil sepanjang dia mengandung.  Ini kerana keadaan bayi yang tidak sihat dan menghalang pergerakan yang banyak.  Sekiranya Farisya Adlina ingkar terhadap pantang itu,  bayinya terpaksa digugurkan dan mungkin agar gugur sendiri semasa dia bersama dengan Farritz Aidil.  Dan yang lebih teruk,  selepas itu,  dia tidak akan mengandung lagi buat selama-lamanya kerana rahimnya akan dibuang untuk menjaga kesihatannya.
          Farisya Adlina sedikit terkilan.  Selepas ini dia perlu lebih berjaga-jaga dengan setiap perbuatan Farritz Aidil.  Kedatangan lelaki itu memang sukar dijangka.  Dia tidak boleh mendedahkan dirinya dengan Farritz Aidil.  Jika tidak,  impian untuk mempunyai anak akan lenyap buat selama-lamanya.
          Farisya Adlina mengeluh berat.  Dia meneruskan pemanduannya menuju ke rumahnya.

bab 36



36

'For The Rest Of My Life'

Meleret-leret senyuman Farritz Aidil sepanjang perjalanannya pulang dari kuliah petang itu.  Syed Aizriel yang menjadi pemandunya juga berasa hairan akan keriangan yang bertapak di hati sahabatnya itu.  Entah apa yang membuatkan hati kecilnya itu berasa amat bahagia sekali apabila teringat akan si permaisuri di rumah. 
          Farritz Aidil meminta Syed Aizriel memberhentikan keretanya beberapa meter dari rumah.  Dia tidak mahu kepulangannya disedari Farisya Adlina.  Selepas mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan sahabatnya itu,  Farritz Aidil menapak perlahan-lahan menuju ke rumah dengan bantuan tongkatnya di sebelah kanan. 
          Pintu rumah dibuka dengan penuh berhati-hati.  Seperti seorang pencuri,  Farritz Aidil masuk ke rumah.  Dia pasti Farisya Adlina sedang memasak di dapur ketika ini.
          Itu lah kebiasaan Farisya Adlina semenjak habis peperiksaan akhir Bachelor of Accounting.  Sebelum menentukan mana tempat bekerja,  dia lebih senang duduk sahaja di rumah dan menyediakan segala pakai makan suaminya.  Memandangkan hari ini Farritz Aidil juga tamat peperiksaan akhir,  dia akan menemani isterinya itu di rumah. 
          Dia bertekad mahu menjernihkan semula hubungan mereka berdua yang pernah tercalar dek keegoannya suatu ketika dahulu.  Dan dia yakin melalui cara layanan Farisya Adlina terhadap dirinya,  wanita itu sepertinya sudah boleh memaafkan segala kesilapannya dalam menilai diri seorang wanita sepertinya dahulu.
          Farritz Aidil terus mengukir senyuman.  Tidak sabar rasanya memberi kejutan kepada isterinya itu.  Pasti wanita itu senang dengannya.  Dia ingin menghabiskan waktu bersama si permata hati.
Sungguh dia bersyukur kerana segala kekeruhan yang melanda mereka semenjak bernikah dahulu sehingga beberapa bulan selepasnya kini menjadi kebahagiaan dan mereka berdua dapat menyulam rasa cinta dan kasih sayang,  berlandaskan syariat agama Islam.  Farisya Adlina begitu memahaminya.
          Lamunan panjang Farritz Aidil termati sebaik sahaja terdengar Farisya Adlina terbersin kuat.  Entah kali ke berapa wanita itu terbersin,  dia sendiri tidak pasti.  Aroma asam pedas memenuhi hidungnya.  Pasti beberapa minit lagi akan diangkat dan dihidangkan.  Tentu enak dimakan panas-panas.  Terliur Farritz Aidil dibuatnya. 
          Entah apa yang membuatkan Farisya Adlina rasa begitu bahagia memasak makanan kegemaran suaminya itu.  Dia langsung tidak menghiraukan keadaan sekelilingnya.  Kebahagiaan yang dirasakannya sekarang membawanya bernyanyi riang di dapur.
          "Sayang.." 
          Nyanyian Farisya Adlina bertukar latah.  Terlepas sudip sayur gorengnya ke lantai akibat kejutan suara itu.  Dia bertambah kaget apabila terasa tubuhnya dirangkul erat dari belakang.  Puas dia meronta-ronta namun Farritz Aidil terus mengeratkan pelukannya malah mengucup manja belakang tengkuk isterinya itu.
          "Happynya bini aku ni.  Ada apa-apa ke?"  sebaik sahaja Farisya Adlina memalingkan tubuhnya,  Farritz Aidil terus mengemaskan pelukannya.  Dibelainya wajah putih gebu itu.  Farisya Adlina seperti dibuai mimpi.
          "Kau kata hari ni kau balik lambat?"  matanya diratah habis anak mata lelaki itu.
          "Aku nak buat suprise untuk kau.  Aku dah habis exam.  Nanti bila kaki aku sembuh,  kita pergi honeymoon nak?"
          "Honeymoon?  Tak nak lah.  Setakat honeymoon kat Langkawi.  Apa barang?"  Farisya Adlina memuncungkan bibirnya.  Dilihatnya lelaki itu tersenyum nakal.  Terserlah riak gembira pada wajah kacak itu.
          Farritz Aidil terus menatap sepasang mata bundar di hadapannya itu.  Bagi Farisya Adlina,  sepasang mata itu lah yang memberinya semangat.  Bibir yang merah bak delima itu pula memberinya kekuatan.  Kedua-duanya sama penting baginya. 
          Mata itu lah yang selalu menewaskan kelelakiannya.  Menjadikannya seorang lelaki yang tewas pada keinginan dan selalu mendambakan kehadiran wanita itu di sisinya siang dan malam.  Mata itu juga lah yang sering memberikan ketenangan dan keyakinan padanya setiap kali dia hilang semangat dan pendirian.  Bahkan mata itu lah yang pertama berbicara dengannya pada pertemuan semula mereka dahulu setelah beberapa tahun terpisah.
          "Kau berangan,  ya?"
          "Tak lah.  Cuma.."  Farisya Adlina terdiam.  Terasa bibirnya disentuh lembut bibir Farritz Aidil.  Hangat.
          Entah perasaan apa yang mula menyelinap masuk ke pangkal hatinya.  Yang pasti dia sedang bahagia saat  ini.  Matanya dipejamkan. 
          Farisya Adlina cuba menghayati satu perasaan yang menerjah masuk ke hatinya.  Kasih sayang lelaki itu terasa menjalar ke seluruh pelusuk hatinya.  Belaiannya..  Kucupannya..  Semua yang berlaku..  Menyalurkan perasaan itu ke seluruh tangkai hatinya.
          Farisya Adlina membuka matanya.  Terkemit-kemit hidungnya menghidu satu bau yang kurang enak.   Sayur goreng!  Cepat-cepat dia menolak tubuh sasa itu lalu kembali menghadap sayur gorengnya yang sudah hangus.  Semua gara-gara terlalu leka melayan perasaan.
          Farritz Aidil terkesima.  Bagaimana dia boleh terlanjur melakukan sebegitu dengan Farisya Adlina sedangkan pada awalnya niatnya hanya untuk memberitahu khabar gembira itu. 
          Entah lah..  Dia sendiri tidak pasti mengapa setiap kali berdua-duaan dengan wanita itu,  setiap kali itu juga dia akan tewas dengan perasaannya.  Entah ubat pengasih apa yang dipakai wanita itu sehinggakan berkali-kali dia tergoda dengan pandangan wanita itu.
          "Kau ni,  tak nampak ke aku tengah masak ni?  Agak-agak lah sikit.  Tengok.  Kan dah hangus ni,"  ujar Farisya Adlina berbaur marah.  Segala perasaan yang cuba diselami sekian lama tadi kini terbang bersama api kemarahannya.  Pantas tangannya mengipas-ngipas asap yang keluar dari kuali gorengan sayur itu.  Farritz Aidil hanya memandang biasa.
          "Maksud kau,  kalau kau tengah free,  boleh lah,  ya?"  sekali lagi Farritz Aidil memeluk Farisya Adlina dari belakang.
          "Kau jangan nak merepek lah,  Ritz.  Dah.  Pergi depan.  Jangan kacau aku nak masak ni,"  bagaikan seorang ibu yang sedang melayani keletah si anak,  Farisya Adlina menolak manja pipi Farritz Aidil daripada cuba mendekati wajahnya.  Suaranya yang tadinya meninggi kian lembut.
          "Aku tak merepek lah,  sayang.  Kau masak apa tu?  Macam kenal je bau ni,"  Farritz Aidil meleraikan pelukan lalu membuka periuk yang masih berada atas dapur masak.
          "Kau masak asam pedas ikan parang,  Isya?  Wah,  best lah kau ni!  Kau macam tahu-tahu je aku teringin nak makan asam pedas ikan parang.  Thanks sayang,"  pantas bibir merah itu hinggap ke pipi Farisya Adlina.  Ada satu perasaan yang semakin memekar di hatinya.  Ternyata wanita itu telah mencuri hatinya.
          "Eh..  Kau jangan nak perasan,  ya.  Aku masak tu sebab aku nak makan.  Bukan untuk kau,"  dalihnya.  Sebenarnya masakan itu memang untuk Farritz Aidil. 
          Semalam dia ada terdengar perbualan Farritz Aidil dengan Syed Aizriel semasa di kampus mengatakan bahawa dia memang teringin hendak makan asam pedas ikan parang.  Kerana itu dia memasak makanan tersebut.  Hatinya benar-benar berharap lelaki itu akan gembira melihat masakan itu.  Dan harapannya tercapai.  Lelaki itu memang benar-benar gembira.
          "Wait.  Bukan ke kau tak makan ikan parang?  Kenapa tiba-tiba je kau teringin nak makan ikan parang?" 
          Dalihan Farisya Adlina ternyata memakan dirinya sendiri.  Timbul kecurigaan dalam diri Farritz Aidil.  Farisya Adlina terpandang anak mata Farritz Aidil yang sedang memandangnya.  Cepat-cepat dia berlalu ke meja makan lalu duduk.  Menggelabah dia dibuatnya.
          "Isya.  Cakap lah.  Kenapa tiba-tiba je kau teringin nak makan ikan parang?  Ada something yang aku tak tahu ke?"  Farritz Aidil terus-terusan menyoal.  Dia duduk berhadapan wanita itu lalu merenung matanya dengan pandangan berharap.
          "Kau ni mereng ke?  Jangan jadi gila,  lah Ritz..  Aku sengaja nak cuba makan.  Biar lah.  Takkan tu pun tak boleh?"
          "Petang nanti kita pergi klinik,  ya?  Kita pergi cek.  Mana tahu kau pregnant."
          "Kau jangan nak mengarut lah,  kenit.  Kaki kau dah sembuh ke nak bawa aku pergi honeymoon ni?  Kau dah tak ada kerja lagi ke?"
          Kopi O yang sudah siap dibancuh di dalam teko turut dituang ke dalam cawan sebelum dihulurkan kepada Farritz Aidil.  Farritz Aidil tidak terus menjawab.  Dia menghirup kopi O panas itu perlahan-lahan.
          "Sebab banyak kerja yang nak dibuat lah aku nak ajak kau pergi honeymoon.  Aku dah tempah hotel lima bintang untuk seminggu.  Nanti senang lah aku nak siapkan semua kerja aku tanpa gangguan.  Tadi..  Baru nak start dah kena reject!"
          "Aku serius ni!"  Farisya Adlina mencubit peha Farritz Aidil.  Geram kerana soalannya disambut dengan jawapan nakal sebegitu.
          "Aku pun serius apa?  Kau pun memang dah teringin nak baby kan?"
          "Suka hati kau lah,"  Farisya Adlina menolak kerusi ke belakang mahu berlalu.
          Farritz Aidil dengan pantas mencapai tangan Farisya Adlina.  Tubuh wanita itu ditarik,  duduk di atas ribaannya lantas dipeluk erat.  Farisya Adlina membiarkan sahaja tanpa sebarang respon.  Dia mahu melihat sejauh mana lelaki itu tegar mengusiknya begitu.
          "Isteri aku ni merajuk,  ya?"  soal Farritz Aidil lembut di telinga Farisya Adlina.  Bahkan terasa hangat bibir Farritz Aidil menyentuh cuping telinganya.
          "Sayang.."
          Farisya Adlina masih membisu.  Kalau Farritz Aidil boleh mengenakannya mengapa tidak dia?
          "Sayang.."
          Berdebar jantung Farisya Adlina mendengarnya.  Dia memang menyenangi cara Farritz Aidil memanggilnya begitu.  Bahkan tiada lelaki lain yang boleh menggoncangkan jiwa wanitanya begitu hanya dengan menyebut panggilan itu.
          Farritz Aidil masih tidak mahu mengalah.  Dia tersenyum nakal.  Sekali lagi dia membisikkan nama itu lembut ke telinga Farisya Adlina.  Dapat dia rasai debaran di dada isterinya itu.  Dia juga begitu.
          "Jom naik bilik,  Isya.."
          Lembut belaian tangan lelaki itu melingkari tubuhnya.  Suara Farritz Aidil tergelam timbul.  Nafasnya tidak keruan.  Farisya Adlina ketawa di dalam hati.  Ternyata lelaki ini mudah tewas di tangannya.
          "Kau jangan nak merepek,  lah Ritz.  Kau belum solat kan?  Dah!  Pergi mandi.  Lepas mandi,  kita makan sama-sama.  Aku nak siapkan makan malam,"  Farisya Adlina bangkit lalu menarik Farritz Aidil menuju ke bilik air yang terletak di ruang dapur.
          "Boleh tak?"  ujar Farisya Adlina sedikit simpati melihat suaminya yang sedang terkial-kial membuka seluar jeans yang dipakainya.  Farritz Aidil hanya tersengih-sengih memandang Farisya Adlina di luar bilik air.
          "Tak..  Nak kena kau bukakan."
          "Come..  Biar aku tolong,"  belum habis kata-katanya,  tangannya pantas menanggalkan baju t-shirt Farritz Aidil.  Tali pinggang Farritz Aidil turut dilurutkan,  sebelum Farisya Adlina menghulurkan sehelai tuala kepada suaminya.
          "Cepat!"
          Seperti anak kecil,  Farritz Aidil diam sahaja dan menurut kata isterinya itu.
          "Kau nak cakap aku je?  Kau pun belum solat kan?  Tengok tu.  Entah-entah mandi pun belum.  Dengan pakai seluar pendek.  Seluar aku pula tu.  Kaki dah lah berbulu.  Tak macam perempuan betul lah kau ni,"  Farritz Aidil menyentap seluar pendek yang dipakai Farisya Adlina lalu cepat-cepat dia menutup pintu bilik air.  Dia dapat melihat betapa bengangnya wanita itu bila dikutuk tentang bulu kakinya yang sedikit kelihatan.
          "Woi!  Mulut kau macam longkang,  lah!  Kalau kau berani,  keluar lah!  Tak aku ganyang mulut kau tu jadi lempeng nanti,"  Farisya Adlina mengetuk-ngetuk pintu bilik air menunjukkan tanda protes.  Bengang sungguh dia melihat telatah nakal Farritz Aidil yang sama sekali tidak ubah seperti 12 tahun lalu.
          "Isya.  Kenapa kaki kau banyak bulu?  Kau ni anak monyet ke?"  ujar kanak-kanak 10 tahun itu.
          "Mana ada.  Kau tu yang togel.  Tak ada bulu.  Nama je lelaki.  Tapi bulu kaki pun sengkek.  Macam perempuan!"
          "Bapa aku cakap,  orang yang banyak bulu ni,  orang utan.  Kau ni orang utan lah,  ya?"  tidak semena-mena Farritz Aidil menerima penangan kuat daripada Farisya Adlina.  Walaupun masih kanak-kanak,  namun Farisya Adlina sudah tahu mempertahankan dirinya daripada dikutuk.
          Keluarga Farisya Adlina memang berketurunan tubuh berbulu.  Walaupun badan tidak berbulu namun Farisya Adlina masih menerima tempias keturunannya iaitu tumbuh banyak bulu di bahagian kaki dan tangannya.  Keadaan itu membuatkan Farritz Aidil sering menyakatnya sejak kecil sehingga lah sudah berumah tangga.
          Sedang Farisya Adlina melayani kenangan lamanya dengan Farritz Aidil,  tiba-tiba dia terjerit kuat.
          "Farritz!!"  habis basah lencun baju yang dipakainya selepas disiram Farritz Aidil dari dalam bilik air.  Terbahak-bahak lelaki itu ketawa di dalam bilik air sementara Farisya Adlina menolak pintu bilik air sekuat-kuat hatinya.  Dia benar-benar bengang dengan perbuatan Farritz Aidil.  Namun jauh di sudut hatinya terselit perasaan bahagia diusik begitu.  Entah sudah berapa lama mereka berdua tidak bergurau senda dan tertawa riang sebegitu.
          "Jaga kau,  Ritz!  Kalau nak berperang sangat,  jom lah perang betul-betul!"  tiba-tiba pintu bilik air terbuka luas.  Pantas Farisya Adlina melangkah masuk menyertai Farritz Aidil yang masih ketawa terkekek-kekek.  Suara mereka berdua ketawa kedengaran jelas di seluruh ruang rumah. 
          Biar lah tuhan..  Beri mereka kesempatan ini..  Beri lah mereka kesempatan untuk menikmati kebahagiaan yang baru tercipta.. 

bab 35



35

'Kekanda Adinda'

"Ritz,  cepat lah turun makan.  Dah pukul berapa ni.  Kata nak pergi kuliah awal,"  teriak Farisya Adlina dari dapur.  Jam sudah pukul 7.45 pagi.  Tetapi kelibat Farritz Aidil masih belum kelihatan.  Sarapan di atas meja sudah siap terhidang.  Farisya Adlina yang sudah siap berpakaian kemas untuk ke kuliah menuang air teh panas ke dalam cawan.
          "Hisy..  Mana lah mamat ni.."  getus Farisya Adlina seorang diri.
          "Morning,  Isya.  Sorry lambat,"  sapa Farritz Aidil yang baru muncul di ruang dapur.  Farisya Adlina mengangkat wajahnya memandang ke suaminya.  Lelaki itu kelihatan segak walaupun masih bertongkat.  Kesihatan lelaki itu semakin membaik.  Dia sudah boleh berjalan tanpa menggunakan kerusi roda lagi.  Kebergantungannya terhadap tongkat juga semakin kurang.
          "Kau ni,  cakap tak serupa bikin lah.  Kata nak pergi kuliah awal hari ni.  Sekarang dah pukul berapa?"  bebel Farisya Adlina sambil menarik kerusi di sebelahnya untuk Farritz Aidil.  Kebelakangan ini,  hubungan mereka semakin baik.  Layanan Farritz Aidil terhadapnya juga tidak sekasar dahulu.
          "Ala..  Kau ni..  Baru lambat setengah jam.  Tu pun nak marah,"  balas Farritz Aidil sambil memuncungkan bibirnya tanda merajuk.
          "Tengok tu.  Dah mula lah tu.  Baru nasihat sikit,  dah buat muncung.  Aku ikat muncung tu nanti baru tahu."
          "Kau ikat muncung aku,  kau tahu lah apa yang aku nak buat kat kau nanti,"  Farritz Aidil cuba mengugut Farisya Adlina.  Dia tahu Farisya Adlina pasti akan takut mendengar ugutan tersebut.
          Farisya Adlina terdiam.  Dia tahu apa yang difikirkan lelaki itu.
          "Kau makan dulu.  Kejap lagi aku turun.  Aku naik sekejap ambil beg,"  ujar Farisya Adlina sambil mengatur langkah meninggalkan lelaki itu.  Belum sempat dia melangkah lebih jauh,  tangannya terasa dipegang oleh seseorang. 
          Entah apa lagi yang dimahukan lelaki itu agaknya.
          "Kau ni,  pemalu sangat lah.  Aku ni suami kau kan?  Yang kau nak takut sangat aku sentuh keu kenapa?  Kita kan dah halal sekarang,"  ujar Farritz Aidil sambil tersenyum nakal.  Farisya Adlina tersentuh. 
          Baru kali ini lelaki itu mengaku sebagai suaminya.  Alangkah indahnya jika semua itu terlafaz sebelum dia bernikah dengan Intan Natasha.  Pasti semuanya akan lebih indah.
          "Tengok tu.  Aku hairan lah tengok kau ni.  Aku punya lah tengah bercakap dengan kau,  kau boleh termenung pula.  Aku tahu lah aku ni comel.  Jangan lah tenung aku lama-lama,"  Farritz Aidil mengenyitkan matanya kepada wanita berbaju kurung moden putih susu itu.  Farisya Adlina membalasnya dengan senyuman manis.
          'Kalau lah apa yang kau cakap ni terlafaz sejak dulu lagi,  mesti hati aku akan lebih gembira mendengarnya.  Tapi sekarang..' 
          Pegangan tangan Farritz Aidil dileraikan perlahan-lahan.  Mahu sahaja dia melafazkan rasa hatinya itu kepada Farritz Aidil.  Namun bila difikir-fikirkan semula,  biar lah semua itu menjadi rahsia hatinya.  Dia tidak mahu lelaki itu tahu bahawa dia sudah tewas pada kelembutannya.
          "Isya..  Lepas ni kau jangan tidur kat bilik tetamu lagi,  ya?"  Farritz Aidil tersenyum sumbing.  Farisya Adlina terkaku seketika.
          "Habis kau nak aku tidur kat mana,  ngok?"
          "Kau..  Err..  Kau pindah kat bilik aku lah.  Nanti kalau ada tetamu datang nak tidur kat mana?  Betul tak?"  tergagap-gagap Farritz Aidil mengautakan kata-katanya. 
          "Kau gila ke?  Tak nak lah.  Kau tu bukannya boleh percaya sangat.  Aku tak nak tanggung risiko."
          "Risiko apanya?  Kau isteri aku.  Tempat seorang isteri di sisi suaminya.  Tugas seorang suami melindungi isterinya.  Jadi apa yang kau nak takut?"  sekali lagi Farisya Adlina tergamam.  Mahu sahaja cawan di tangannya itu terlepas ke lantai.
          "Relax lah beb..  Dengan aku pun kau nak takut.  Tapi tak apa lah.  Kalau kau tak nak pindah ke bilik aku,  aku tak paksa,"  lega hati Farisya Adlina mendengarnya.
          "Tapi balik nanti aku akan pindahkan semua barang-barang aku ke bilik kau..  Dan kau tak boleh nak mengelak lagi,"  Farritz Aidil bangkit dari kerusi sebaik habis berkata-kata.
          "Aku tak kisah apa pun kau nak buat.  Aku akan ikut ke mana pun kau pergi lepas ni,"  bisikan nakal Farritz Aidil kedengaran jelas di tepi telinga Farisya Adlina.  Berani sungguh lelaki itu mengugutnya.
          Dengan tawa yang masih bersisa,  Farritz Aidil berlalu ke ruang tamu sambil mulutnya sedang mengunyah sandwich buatan isterinya.  Bahagia sungguh hatinya dapat mengugut wanita itu. 
          Dia yakin,  Farisya Adlina tidak punya pilihan lain.  Sama ada Farisya Adlina yang datang kepadanya ataupun dia sendiri yang datang kepada Farisya Adlina,  rancangannya tetap akan berjalan lancar.  Dia tersenyum puas.


"BETUL ni kau tak nak beli apa-apa?"  ujar Farritz Aidil sambil menoleh ke arah Farisya Adlina di sisinya.
          "Betul.  Aku tak tahu lah nak beli apa.  Lagipun aku sekarang eko no money lah,"  Farisya Adlina tersenyum simpul.  Bukan sengaja tidak mahu turut sama membeli belah dengan suaminya.  Tetapi tiada satu pun barang yang diperlukannya sekarang.
          Selepas pulang dari kuliah tadi,  mereka berdua terus datang ke sini untuk membeli barang dapur.  Ramai sungguh pengunjung yang datang membeli belah di sini.  Farisya Adlina terpaksa berjalan perlahan-lahan menanti langkah suaminya yang masih bertongkat.  Tangan Farisya Adlina juga sudah sarat dengan barang-barang yang dibelinya tadi.  Terserlah riak keletihan pada wajahnya.
          "Aku tak suruh pun kau beli guna duit kau.  Aku kan ada.  Apa-apa kau nak,  ambil je.  Nanti aku bayar."
          "Kau jangan offer aku,  Ritz.  Nanti kau juga yang menyesal."
          "Kenapa pula?"  Fariitz Aidil mengerutkan dahinya.  Apa salahnya sebagai suami,  dia mahu membelikan barang keperluan isterinya?
          "Aku kalau beli barang,  tak main lah setakat seratus dua ni..  Aku kalau beli barang kena berpuluh ribu.  Baru syok,"  Farisya Adlina tersenyum manja.  Sudah lama dia tidak bergurau senda dengan sahabat baiknya ini.
          "Agak-agak lah beb.  Aku ni bukan billionare.  Setakat barang seribu dua ni boleh lah aku belikan kau.  Kalau dah berpuluh ribu,  botak lah kepala aku ni,"  Farritz Aidil berhenti di satu kerusi yang terletak di hadapan kedai menjual aiskrim.  Mungkin sudah keletihan setelah hampir dua jam berjalan di pusat beli belah ini.
          "Ha.  Tahu pun.  Lain kali jangan offer aku,"  Farisya Adlina turut duduk di sisi suaminya.
          "Aku ni bukan macam kau.  Family kau kaya.  Aku ni apa lah yang ada.  Tak mampu nak bagi kau barang sampai berpuluh ribu,"  Farritz Aidil merungut perlahan.  Kelihatan bibirnya yang dimuncungkan tanda merajuk.  Hati Farisya Adlina sedikit tercuit melihatnya.
          "Eh.  Emo lah pula mamat ni.  Aku gurau je kot.  Tapi aku nak perbetulkan kata-kata kau tadi..  Yang kaya family aku je.  Parents aku.  Bukan aku,  okey?  I'm still an ordinary person,"  Farritz Aidil mengelak sedikit apabila jari telunjuk Farisya Adlina mencuit hidung mancungnya.
          "Aku bukan tak mampu nak belikan kau barang berpuluh ribu.  Tapi aku kena simpan duit sikit."
          "Untuk apa?"
          "Kau kena faham..  Aku ada tanggungjawab pada wife baru aku..  Lagipun wife baru aku tu cerewet,  lah..  Nak make-up lah.  Skirt baru lah.  Macam-macam.  Padahal baru je jadi wife aku.  Make-up dengan skirt dia bukan murah-murah.  Semua beribu-ribu sekali tukar,"  selamba muka Farritz Aidil membicarakan hal isteri baru di hadapan Farisya Adlina.  Langsung tiada riak rasa bersalah di wajahnya.
          "Oh.  Bagus lah."  Pendek jawapan Farisya Adlina.  Dia memalingkan wajahnya.  Mengapa dia harus cemburu?  Bukankah dia tidak menyintai Farritz Aidil?  Jadi mengapa dia mahu terasa ketika lelaki itu membicarakan hal mengenai Intan Natasha,  isteri muda Farritz Aidil?
          "Eh kau nak pergi mana tu?"  Farritz Aidil terkejut apabila dilihatnya wanita itu bangkit lalu berjalan menuju ke sebuah kedai menjual barangan bayi.  Perlahan-lahan dia bangkit lalu mengikuti langkah Farisya Adlina.
          "Kau dah teringin,  ya?"  ujar Farritz Aidil sambil tersenyum nakal. 
          Farisya Adlina terkejut mendengar suara garau itu di tepi telinganya.  Baru dia perasan bahawa dia sebenarnya berada di kedai barangan bayi.  Dan baju yang ada di tangannya itu adalah pakaian bayi.  Bagaimana dia boleh berada di sini?  Jangan-jangan Farritz Aidil sudah mengesyaki tentang keadaann dirinya.
          "Ha?  Teringin apa?  Kau ni mengarut lah."
          "Ala.  Buat-buat tak tahu pula.  Kau dah teringin nak baby ke?"  sekali lagi lelaki itu menyakat Farisya Adlina.  Merah padam pipi wanita itu akibat disakat Farritz Aidil.  Tidak!  Dia tidak boleh menggelabah.  Jika dia terus berkelakuan begitu,  pasti Farritz Aidil akan mengesyaki sesuatu mengenaiya.
          "Kau gila ke?  Jangan nak buat pasal lah.  Aku nak beli untuk bakal anak Lia.." 
          "Kalau kau nak baby,  malam ni pun boleh.  Aku tak ada hal.  Lagipun kaki aku dah nak okey,"  dengan tak semena-mena,  Farritz Aidil melentokkan kepalanya ke atas bahu Farisya Adlina. 
          Terkaku wanita itu mendengar ayat yang baru keluar dari mulut lelaki itu.  Merah padam wajahnya menahan malu.  Entah apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu saat ini.  Dia sendiri tidak pasti.
          "Hello sir,  madam.  Can I help you?"  sapaan mesra seorang wanita cina menyentakkan mereka berdua.  Kelihatannya wanita lingkungan 40-an itu adalah salah seorang pembantu kedai yang bekerja di situ.
          "Hello.  Nothing.  Kami datang nak tengok-tengok je.  My wife ni.  Dah tak sabar nak dapat baby,"  tanpa segan silu,  Farritz Aidil merangkul pinggang Farisya Adlina di sisinya.  Farisya Adlina terkaku seketika dengan insiden itu.
          "Baru kahwin ya?  Patut lah masih ada inai,"  ujar wanita cina itu apabila terpandangkan inai yang masih terdapat di jari Farritz Aidil.  Melihatkan wanita itu mencari-cari jemarinya,  pantas dia menyorokkan tangannya ke belakang.  Dia tidak mahu wanita itu bertanya mengapa hanya jari Farritz Aidil yang berinai tetapi dia tidak.
          "Isya..  Kenapa ni?"  Farritz Aidil khuatir melihat perubahan wajah Farisya Adlina apabila wanita cina itu menegur inai yang masih di jarinya.  Pasti isterinya sedikit terasa apabila teringat akan peristiwa pernikahannya dengan Intan Natasha lebih sebulan yang lalu.
          "Err..  Tak apa lah.  Kami just drop-by je.  Thanks,"  pantas Farisya Adlina menarik tangan Farritz Aidil keluar daripada kedai tersebut.  Tidak mahu berterusan disoal siasat.
          "Isya..  I'm sorry.  Tak sangka pula dia nak tegur inai aku ni.."
          "Tak apa.  Kira bagus juga inai kau masih ada.  Tak ada can lah Jabatan Agama Islam nak tangkap kita kalau berdua-duaan nanti,"  dengan senyuman yang dibuat-buat,  Farisya Adlina pantas berjalan meninggalkan Farritz Aidil. 
          Farritz Aidil tidak mampu berbuat apa-apa.  Dia menggigit bibir melihat Farisya Adlina yang seperti orang kecewa.  Dia tahu pasti hati kecil wanita itu sedikit tercalar dengan insiden sebentar tadi.