61
'Di Saatku Menyintaimu'
Puan Sri Zakiah semakin gelisah. Sudah berkali-kali dia cuba menghubungi Farisya Adlina mahupun suaminya namun gagal. Dia berjalan mundar-mandir. Telefon bimbit masih kemas dalam genggamannya.
Hatinya bertambah risau apabila mengenangkan pernikahan Farisya Adlina yang akan berlangsung kurang dua jam dari sekarang. Puan Sri Zakiah memandang jam di tangannya. Sudah pukul 11.27 pagi. Kalau diikutkan, mahu sahaja dia pulang sekarang juga. Tetapi disebabkan kehabisan tiket untuk pulang ke Malaysia, dia terpaksa membatalkan hasratnya. Tambahan lagi, sebentar lagi dia akan menghadiri majlis perjumpaan dengan kliennya.
"Nama dia Asyraf. Isya baru kenal dengan dia."
Puan Sri Zakiah meraup wajahnya sambil beristighfar panjang. Asyraf Danisy. Farisya Adlina. Ah! Salah dia juga. Mengapa dia tidak bertanyakan nama sebenar bakal menantunya itu sebelum merestui perhubungan mereka.
DI Malaysia, Farisya Adlina masih sibuk menghubungi Puan Sri Zakiah. Dia berasa tidak sedap hati. Berkali-kali dia mencuba namun gagal. Dia benar-benar mendambakan kehadiran wanita itu di sisinya sekarang.
"Isya, dapat tak?" soal Farritz Aidil turut sama risau. Afifa dan Lia hanya diam memerhatikan bakal pengantin itu.
Farisya Adlina menggeleng perlahan. Air matanya mulai gugur.
"Sabar, Isya.."
Farisya Adlina tidak dapat menahan sebak. Dia memeluk Lia lalu menumpahkan air matanya di bahu sahabatnya itu semahunya. Farritz Aidil bertambah khuatir. Dia juga risau akan keselamatan Puan Sri Zakiah.
"RITZ," Farritz Aidil berpaling sebaik terdengar suara lembut Farisya Adlina memanggilnya.
"Ada apa, Isya?" Farritz Aidil tersenyum manis. Farisya Adlina gelisah. Apakah perlu dia menyerahkan kertas di tangannya itu?
"Isya, kenapa ni?"
Farritz Aidil masuk semula ke bilik pengantin itu. Dia berdiri berhadapan wanita yang pernah menjadi ratu di hatinya itu. Dahulu, mama dan papa yang bertungkus lumus menyiapkan Farisya Adlina untuk hari pernikahan mereka. Bak kata pepatah. Kasihnya ibu membawa ke syurga. Kasihnya ayah tiada tandingannya. Dan hari ini, dia sendiri yang membantu Farisya Adlina bersiap. Wajahnya ceria. Bagaikan tiada kelukaan di hatinya.
"Aku.. Aku nak ucap terima kasih kat kau.."
Tergagap-gagap Farisya Adlina mahu menyuarakan hasrat hatinya. Namun dia tetap gagal. Lain yang difikirkannya, lain pula yang keluar daripada mulutnya.
"Untuk apa?"
"Untuk.. Untuk semuanya. Dan. Aku nak minta maaf dari hujung rambut sampai ke hujung kaki atas semua dosa yang pernah aku lakukan," Farisya Adlina memberanikan diri menatap sepasang mata redup itu. Ada genangan air mata di mata itu yang cuba ditahan.
"Ada-ada je lah kau ni.."
Farritz Aidil berpaling sambil berpura-pura gembira. Dia terus berlalu meninggalkan Farisya Adlina tanpa sebarang kata lagi.
"Aku minta maaf atas semua dosa aku semenjak aku menjadi isteri kau."
Langkah Farritz Aidil terhenti di situ. Matanya terpandangkan dinding yang pernah terlukis wajah mereka berdua dahulu. Kini lukisan itu telah hilang. Bukan telah pudar. Tetapi sudah dipadam Farritz Aidil. Dia menghormati Farisya Adlina yang akan berkahwin dengan lelaki lain. Kerana itu, lukisan itu tidak akan membawa apa-apa makna lagi.
"Aku sedar, selama ni aku banyak berdosa pada kau. Aku tak mampu buat kau bahagia walaupun sedetik," setitis air mata gugur di pipi Farisya Adlina.
"Isya. Sudah lah. Kesat air mata kau ni. Aku tak nak kau menangis lagi. Hari ni hari bahagia kau. Kau sepatutnya bergembira. Bukan bersedih," Farritz Aidil menghampiri Farisya Adlina sebelum mengesat air mata yang mulai membasahi pipi wanita itu.
"Aku dah maafkan semua dosa kau. Dan sebenarnya tak ada apa-apa pun untuk aku maafkan. Kau tak buat apa-apa salah pun pada aku. Aku yang banyak berlaku kejam terhadap kau," lelaki itu tersenyum. Dia kelihatan segak mengenakan baju melayu berwarna merah. Sesuai dengan kulitnya yang cerah.
"Aku doakan, kau bahagia dengan Is. Aku yakin hundred percent. Is akan bahagiakan kau. Dia betul-betul cintakan kau."
Tangisan Farisya Adlina semakin kuat. Tangan lelaki itu digenggamnya erat.
"Cuma 1 pesan aku. Jadi lah isteri yang solehah. Jaga maruah suami, maruah keluarga. Dan jangan sesekali kau tinggalkan suami kau ataupun minta cerai dari Is. Kau takkan dapat bau syurga sekalipun. Faham?"
Farisya Adlina mengangguk perlahan. Farritz Aidil mengusap kepala Farisya Adlina yang dilitupi tudung berwarna putih susu sedondon dengan baju yang dipakainya. Dia tertunduk sayu.
Farritz Aidil tidak dapat menahan sebak. Air matanya turut gugur walaupun berkali-kali dia cuba menahannya.
"Dah lah tu. Apa ni, menangis kat bahu aku? Tak malu ke?"
Farisya Adlina tersentak. Bagaimana dia boleh melekapkan wajahnya ke dada lelaki itu? Dia sendiri tidak perasan.
Farritz Aidil mengesat lembut air mata wanita itu sebelum berlalu keluar dari bilik meninggalkan Farisya Adlina bersama senyumannya.
"Ritz!" sekali lagi Farritz Aidil berpaling. Kali ini dia hanya berdiri memandang wanita itu.
Pandangan mereka bertemu. Farisya Adlina tidak keruan. Kakinya melangkah mendekati Farritz Aidil.
"Nah.."
Farisya Adlina menghulurkan sehelai kertas. Farritz Aidil memandang hairan.
"Aku nak kau baca surat ni, masa aku tengah nikah nanti," Farisya Adlina tertunduk. Malu.
Farritz Aidil mencapainya dengan senyuman. Tangannya mengusap kepala sahabatnya lalu keluar dari bilik itu.
No comments:
Post a Comment