43
'Barakallah'
"Tahniah, Tiera. Akhirnya bersatu juga kau dengan Qayyum. Aku bersyukur sangat-sangat."
Farisya Adlina meleraikan pelukan kejapnya. Wajah berseri Atiera ditatapnya lama. Sahabat baiknya itu telah selamat diijabkabulkan dengan Qayyum Farkhan pagi tadi. Dia turut menumpang gembira di atas perkahwinan sahabatnya itu.
"Terima kasih lah, Isya. Doa-doakan kami, ya?"
"Mesti lah kami doakan. Kau kan sahabat kami. Tapi, aku nak kau janji dengan aku satu benda," sahut Afifa yang baru muncul entah dari mana. Dia menghulurkan dua gelas air oren kepada Farisya Adlina dan Atiera.
"Apa dia?"
"Kau kena dapat anak ramai-ramai. Bukan tu je. Aku nak anak-anak kau nanti semuanya comel-comel. Jangan ada seorang pun ikut rupa kau."
"Kalau bukan ikut rupa aku, nak ikut rupa siapa?"
"Ikut rupa Mak Usu dia ni lah. Mesti comel-comel nanti."
Afifa tersenyum sumbing sambil memegang wajahnya yang tembam. Farisya Adlina dan Atiera berpandangan sesama sendiri dengan wajah yang penuh dengan persoalan.
"Bajetnya kau, Ifa. Patut lah Riel malas nak layan kau."
Terbuntang biji mata Afifa mendengar kutukan si pengantin perempuan. Afifa memang patut dibalas begitu. Dia memang sudah popular dengan personalitinya yang bersifat bajet. Atiera dan Lia pula suka mematahkan kata-katanya walaupun adakalanya menjadi perbalahan.
"Tolong sikit, ya? Kau cakap aku bajet ya? Tak apa. Tadi aku dah bagi Qay baju tidur yang aku tunjuk Lia hari tu. Cantik. Dah lah cantik, nipis, seksi, sweet pula tu. Aku percaya, kalau kau pakai nanti, mesti Qay tak tidur malam punya."
Usikan Afifa sama sekali mengundang malu Atiera. Afifa hampir jatuh ketika melarikan diri dari Atiera yang mengejarnya. Farisya Adlina yang dari tadi berada di situ hanya tersenyum seorang diri melihat gelagat rakan-rakannya.
"Tak join dia orang?" tegur Farritz Aidil dari belakang.
Suasana di tepi pantai malam itu sangat indah. Memang pandai Atiera memilih tempat untuk mengadakan majlis perkahwinannya malam ini. Bukan sahaja dingin, malah mendamaikan. Atiera dan Qayyum Farkhan telah bercadang untuk mengadakan makan malam bersama rakan-rakan sahaja malam ini memandangkan minggu hadapan dia akan pulang ke kampungnya di Johor Bharu.
Asalnya dia mengundang rakan-rakannya datang ke majlis perkahwinannya nanti. Tetapi disebabkan kebanyakan rakannya tidak dapat hadir pada tarikh tersebut, terpaksa lah dia mengatur majlis makan malam ini.
"Tak. Letih lah. Jemput duduk."
Farisya Adlina mengesot sedikit bagi memberi ruang Farritz Aidil duduk di sebelahnya.
"Kau tak makan?"
"Dah tadi. Atiera ambilkan. Kau tu, dah makan belum?"
"Dah. Isya, petang tadi aku jumpa Intan."
Farisya Adlina terdiam seketika sebelum berpura-pura tersenyum.
"So?"
"So, kau tak takut?"
Farisya Adlina tergelak kecil. Farritz Aidil memandangnya kehairanan.
"Aku nak takut apa?"
"Takut aku curang."
"Aku dah biasa hidup dalam keadaan tu, Ritz."
Kisah lama bakal terungkai. Farritz Aidil mengeluh berat.
"Isya. Aku nak kau tahu tentang 1 benda yang kau tak tahu."
"Tentang apa?"
Pantas Farisya Adlina menjawab.
"Aku dengan Intan tak pernah berkahwin. Kami tak sempat nikah pun."
Farisya Adlina terkesima. Bagaimana isu itu boleh dibawa ke sini hari ini? Mengapa sebelum ini dia tidak pernah membicarakannya?
"Aku tahu kau bingung. Tapi percaya lah Isya. Kau masih isteri aku. Talak belum jatuh lagi ke atas kau."
'Memang belum jatuh pun. Dan kalau pun kau berkahwin dengan Intan, talak masih belum jatuh ke atas aku sebab aku mengandungkan anak kau, Ritz. Anak kau!' jerit Farisya Adlina di dalam hatinya. Andai sahaja suara hatinya dapat diutarakan..
"Nasib baik Tiera, Lia, dan Ifa yang bagitahu aku tentang hal ni. Patut lah kau tak nak mendekati aku. Kau jangan takut, Isya. Aku masih suami kau."
"Habis mana Intan sekarang? Apa yang berlaku?"
Farritz Aidil merungkai semua persoalan yang bermain di fikiran Farisya Adlina. Wanita itu tunduk faham. Baru dia tahu apa sebenarnya yang berlaku sehinggakan Farritz Aidil dengan Intan Natasha tidak jadi berkahwin. Dia bersyukur di dalam hatinya kerana kemalangan itu merupakan penyelamat rumah tangganya dengan Farritz Aidil.
"Kau tak rindu dia?"
"Sikit tu ada lah. Tapi banyak kat kau."
Mereka berdua tersenyum manis. Mungkin ini yang dinamakan 'happy ending '. Farritz Aidil menarik kepala Farisya Adlina lalu diletakkan di atas bahunya. Dia merangkul pinggang Farisya Adlina.
"Wah.. Wah.. Pengantin lama macam pengantin baru," sapa Lia yang baru datang bersama Zaki Zaqhwan. Pasangan suami isteri itu tersentak lantas berpaling memandang mereka dengan senyuman.
"Awak berdua ni, saya tengok bukan main mesra lagi. Agak-agak bila nak dapat anak?" ujar Zaki Zaqhwan sengaja mengusik.
"Anak? Kami tak tahu lagi lah. Tengok dulu. Kalau ada rezeki, tahun depan dapat kembar kot."
Farisya Adlina terdiam. Pandai-pandai sahaja lelaki itu mahu menentukan masa untuk mendapat anak. Pantas tangannya mencubit peha Farritz Aidil.
"Sakit lah, sayang.."
Farisya Adlina bangkit lalu berdiri di sebelah Lia.
"Saya nak tunggu Lia bersalin kembar, baru saya akan mengandung. Prof jangan percaya cakap mamat tu. Penipu je lebih."
"Oh, kau kutuk aku, ya?"
Farritz Aidil bangkit lalu mengejar Farisya Adlina. Farisya Adlina terjerit kecil lalu terus melarikan diri.
"Dia orang tu sweet, kan?"
"Sweet. Tapi tu lah. Perangai tak ubah-ubah juga dari dulu. Kasar. Dua-dua sama je."
Lia membalas kata-kata suaminya dengan senyuman. Kalau dahulu Lia selalu menjadi penadah air mata setia Farisya Adlina, tetapi hari ini dia turut menumpang bahagia melihat wanita itu bahagia. Akhirnya impian mereka untuk mengecap kebahagiaan tercapai jua.
No comments:
Post a Comment