48
'Aku Wanita Biasa'
Datin Munirah termenung sendirian. Mengenang semula peristiwa hampir setahun yang lalu. Peristiwa yang melahirkan rasa dendam yang mendalam. Peristiwa yang menyebabkan perkahwinan tidak rela antara Farisya Adlina dengan Farritz Aidil berlaku. Semuanya kerana 1 salah faham.
Dan gara-gara salah faham itu, Datin Munirah telah tersalah membuat keputusan. Dek cemburu butanya, satu-satunya anak lelakinya sudah membencinya. Timbul pula rasa kesal di dalam hatinya. Memang lelaki itu bukan anak kandungnya. Tetapi naluri keibuannya membibitkan rasa kasih buat anak yatim itu. Justeru itu, dia sangat takut kehilangan Farritz Aidil dan sanggup melakukan apa sahaja demi lelaki itu.
Namun apalah yang lebih bermakna dalam sesebuah rumah tangga melainkan seorang suami. Walaupun Datin Munirah sangat menyayangi Farritz Aidil, namun dia mengaku. Sekiranya diberi pilihan, memang dia akan mengutamakan suaminya. Berat kata hatinya untuk membuat keputusan yang terpaksa mengorbankan salah seorang daripada lelaki-lelaki itu. Namun apakan daya? Dia harus mengorbankan anak lelakinya itu demi suami tercinta.
Memang. Memang dia bodoh. Menghancurkan hati si permata hati untuk seorang lelaki yang tidak pernah setia kepadanya. Namun dia masih berpuas hati. Kerana dengan perkahwinan yang diaturnya itu, dia dikira memenangi persaingan merebut kasih suaminya dengan Puan Sri Zakiah walaupun sebenarnya persaingan itu tidak wujud. Dan dia tidak perlu berbagi kasih suaminya dengan sesiapa pun.
Sungguh tidak dia menyangka bahawa Dato' Zahid tidak pernah menyayanginya kerana rasa cinta lelaki itu terhadap Puan Sri Zakiah. Patut lah lelaki itu tidak pernah menyentuhnya selama ini. Semuanya gara-gara Puan Sri Zakiah.
Dia ingat lagi. Waktu itu dia berkunjung ke rumah Puan Sri Zakiah bersama suaminya. Kebetulan hari sebelumnya dia telah bertemu dengan Farisya Adlina. Tidak sanggup rasanya mahu menunggu lama untuk bertemu dengan sahabat lamanya. Perasaan rindu terhadap wanita itu mendorongnya untuk mengunjungi Puan Sri Zakiah dan Tan Sri Mahmud di rumahnya.
Namun.. Sesuatu yang tidak diduga telah berlaku. Datin Munirah terdengar perbualan antara Dato' Zahid dengan Puan Sr Zakiah. Perbualan yang meragut tangkai hatinya sekaligus mengundang kebenciannya terhadap Puan Sri Zakiah.
"Kiah apa khabar?" ujar Dato' Zahid sekadar berbasi basa. Terasa kekok berdua-duaan dengan wanita itu selepas sekian lama terpisah. Wajah tua Puan Sri Zakiah ditatap lama.
"Sihat, abang. Abang pula macam mana?"
"Macam ni lah, Kiah. Masa merubah segalanya. Tapi cinta abang pada Kiah tetap tak berkurang. Sama macam dulu.."
Puan Sri Zakiah terpempam. Kepalanya ditundukkan. Sudah lama kisah itu luput dari ingatannya. Namun Dato' Zahid masih mengingatinya.
Suatu ketika dahulu, dia pernah hidup bahagia dengan Puan Sri Zakiah. Namun sejak insiden yang memisahkan mereka beberapa tahun lalu, hubungan mereka terputus begtu sahaja. Sedar-sedar sahaja, mereka berdua masing-masing sudah berumah tangga. Masing-masing mempunyai haluan hidup masing-masing.
"Sudah lah abang. Lupakan Kiah. Kita dah ada hidup masing-masing. Lupakan kisah lama kita," Puan Sri Zakiah menepis pegangan tangan Dato' Zahid. Sungguh. Dalam hatinya sudah luput rasa cinta terhadap lelaki itu. Cintanya hanya buat suaminya, Tan Sri Mahmud.
"Maafkan abang, Kiah. Masa tu abang betul-betul tersepit dengan keadaan. Abang terpaksa berjauhan diri dari Kiah. Mak Umi tak izinkan kita berkawan."
"Sudah lah, abang. Kita lupakan semua kisah silam tu. Biarlah semuanya jadi sejarah je. Kiah rasa dah tak ada gunanya kita ingat semua tu lagi. Kiah pun dah lupakan semua tu."
"Abang minta maaf pada Kiah. Kalau Kiah nak tahu, abang tak pernah cintakan Irah. Hati abang tak pernah terdetik untuk menyayangi dia. Dan satu lagi, abang tak pernah sentuh Irah sejak kami berkahwin. Sebab hati abang hanya untuk Umi dan Kiah. Bukan dia. Dan pintu hati abang masih terbuka untuk menerima Kiah sebagai isteri abang."
Menggigil tubuh Datin Munirah mendengar pengakuan berani suaminya itu. Air matanya semakin laju membasahi pipi.
"Sudah lah abang. Jangan nak mengarut. Kiah dah bersuami. Abang tak patut buat Irah macam tu. Sudah lah. Jangan merayu pada Kiah lagi. Kiah dah bahagia di samping keluarga Kiah. Tapi biar lah kita kekal bersahabat selamanya."
Sekali lagi air mata penyesalan gugur di pipi mereka. Tiada kata-kata mampu memutarkan masa kembali ke masa lampau. Hanya penyesalan yang boleh diungkapkan.
Datin Munirah mengesat air mata yang membasahi pipinya. Hatinya bagai dicarik-carik. Langkahnya semakin laju meninggalkan ruang dapur yang menyaksikan pengakuan Dato' Zahid sebentar tadi.
Sungguh dia tidak menyangka. Puan Sri Zakiah yang selama ini membantunya dalam masalah rumah tangga dia dengan Dato' Zahid rupanya adalah musuh dalam selimut. Wanita itu sebenarnya punca keretakan rumah tangganya.
Namun dia tidak mengerti. Sebenarnya dua jiwa itu sudah lama terpisah dan tidak mungkin bersatu lagi. Datin Munirah terus melarikan dirinya tanpa mengetahui kisah sebenar yang berlaku antara mereka.
Puan Sri Zakiah perasan akan perubahan sikap Datin Munirah. Wanita itu tiba-tiba sahaja menarik muka dengannya. Puas dipujuk namun tiada respon. Akhirnya Datin Munirah meluahkan perasaan marahnya. Puas dihamburkan kata-kata kesat kepada wanita itu.
"Irah, dengar dulu penjelasan akak ni. Irah dah salah faham," ujar Puan Sri Zakiah lembut memujuk Datin Munirah. Riak marah jelas terpapar di wajahnya.
"Sudah lah, kak. Irah dah dengar semuanya. Sejak dulu lagi Irah tahu yang hubungan akak dengan Abang Zahid memang tak pernah putus. Kau pemusnah rumah tangga aku!"
Datin Munirah berteriak bagaikan orang hilang pertimbangan. Puan Sri Zakiah semakin tidak keruan. Bagaimana agaknya dia mahu menjelaskan perkara yang sebenar kepada sahabatnya ini.
Tetapi Puan Sri Zakiah lebih rasional. Dia memujuk Datin Munirah dengan menjelaskan perkara tersebut. Agak sukar mahu melembutkan hati yang sudah keras dan enggan menerima ketentuan. Namun akhirnya dia pasrah. Kisah lalu tak mungkin dapat diubah lagi. Datin Munirah akur dengan pujukan Puan Sri Zakiah.
Datin Munirah khuatir. Apa akan berlaku sekiranya Dato' Zahid benar-benar ingin mengahwini wanita itu? Tidak! Ianya tak mungkin berlaku!
No comments:
Post a Comment