Thursday, April 14, 2011

bab 45



45

'Segalanya Telah Berakhir'

"Ritz yakin dengan keputusan Ritz ni?"  ujar Dato' Zahid lembut.  Hatinya sedikit terpukul melihat keadaan anak lelakinya yang tidak terurus.
          "Ritz serahkan semuanya pada Allah,  ayah.  Ritz dah give up.  Biar lah takdir yang menentukan segalanya."
          Setitis air mata jatuh di pipi Farritz Aidil.
          "Ritz fikir lah baik-baik nak.  Ni soal hidup Ritz.  Soal masa depan Ritz.  Kalau sebelum ni hidup Ritz hancur sebab berkahwin atas pilihan ibu,  apa Ritz masih nak ulang semua tu sekali lagi?  Fikir lah,  nak.  Ayah akan doakan yang terbaik untuk Ritz."
          Dato' Zahid menepuk perlahan bahu bakal pengantin itu.  Bulan hadapan,  Farritz Aidil akan berkahwin sekali lagi dengan pilihan ibunya.  Semenjak kehilangan Farisya Adlina,  hidupnya sering kesepian.  Tiada lagi kebahagiaan seperti yang selalu dirasainya bersama Farisya Adlina dahulu.
          Ke mana agaknya wanita itu menghilangkan diri.  Ah!  Untuk apa dia mengingati wanita itu lagi?  Wanita itu telah mengkhianati kesucian cintanya.  Akan tetapi,  jauh di dasar hati Farritz Aidil,  dia benar-benar merindukan Farisya Adlina.  Wanita yang sering menceriakan hari-harinya.
          Setitis lagi air mata Farritz Aidil gugur di pipinya.
          "Ayah,  dulu ayah dengan umi kahwin atas pilihan siapa?"
          Suara Farritz Aidil bergetar.  Tak sanggup rasanya mahu berbicara tentang wanita yang amat dirinduinya itu.
          "Ritz..  Kalau Ritz nak tahu,  perkahwinan ayah dengan umi dulu memang atas pilihan kami.  Tapi perkahwinan kami tak direstui Tok Abah dengan Mak Umi."
          Farritz Aidil berpaling.  Berminat untuk mendengar kisah cinta antara dua insan yang saling menyinta itu.
          "Kenapa Tok Abah dengan Mak Umi tak restu?"
          "Sebab masa tu,  ayah masih belajar.  Umur ayah pun baru 20.  Umi pula 27.  Mak Umi rasakan yang umi punca ayah tak nak belajar lagi.  Padahal Mak Umi dan Tok Abah dah keluarkan duit beribu-ribu untuk hantar ayah belajar tinggi-tinggi."
          Farritz Aidil mengangguk faham.  Air mata yang tadinya membasahi pipinya kian mengering.
          "Maaf sebab mungkin soalan Ritz ni akan menyinggung hati ayah.  Tapi kenapa ayah pilih umi?  Maksud Ritz,  umi kan lebih tua dari ayah?  Dan kenapa pula ayah tak teruskan belajar?  Bukankah merugikan?"
          "Ritz.  Kali pertama ayah bertemu umi,  ayah dapat rasakan umi perempuan yang ayah cari-cari selama ni.  Umi seorang perempuan yang baik,  solehah,  dan bijak dalam semua hal.  Ayah tak pernah hiraukan soal perbezaan umur.  Bukan ayah sengaja nak bazirkan duit yang Tok Abah dan Mak Umi habiskan untuk ayah,  tapi ayah rasa dah sampai waktunya untuk ayah berumah tangga.  Cuma Mak Umi tak izinkan."
          Dato' Zahid memperbetulkan kedudukannya di atas sofa itu.  Matanya kelihatan berkaca-kaca.
          "Sampai lah masa umi meninggal,  hanya Tok Abah je yang datang ziarah umi.  Mak Umi langsung tak datang jenguk umi.  Mungkin kemarahannya masih belum reda."
          "Dan beberapa bulan lepas tu,  ayah kahwin dengan ibu,  kan?"
          "Ayah buat macam tu sebab ayah tak nak Ritz ketandusan kasih sayang,  nak.  Masa tu sikap Ritz dah banyak berubah.  Ritz jadi panas baran,  suka menyendiri,  dan selalu meracau panggil umi.  Sebab tu ayah terpaksa kahwin dengan ibu secepat mungkin.  Kenapa?  Ritz pun macam orang lain,  fikir yang bukan-bukan tentang ayah?"
          Farritz Aidil merapati tubuh tua itu lantas dipeluknya.  Dato' Zahid telah menghadapi pelbagai cabaran dalam hidupnya.  Kehilangan isteri tercinta menambahkan beban dirinya.  Bukan dia tidak cinta kepada Datin Munirah,  tetapi dia telah berjanji di dalam hatinya untuk tidak bercinta lagi selepas kematian Umi Salbiah.
          "Bukan macam tu,  ayah.  Ritz tak pernah fikir bukan-bukan tentang tindakan ayah tu.  Ritz bangga dapat bapa sebaik ayah.  Ayah tabah menghadapi dugaan walaupun ayah dah kehilangan satu-satunya orang yang ayah sayang."
          "Sebab tu,  ayah nak ingatkan Ritz.  Hargai lah isteri Ritz.  Pergi cari dia,  nak.  Jangan menyesal kalau dia dah tak ada nanti."
          "Kenapa ayah cakap macam tu?"
          Farritz Aidil terdiam.  Dato' Zahid sudah tidak mampu berdiam diri lagi.
          "Farisya mengandung.  Dia mengandungkan anak Ritz.  Cucu ayah."
          "Tapi kenapa dia tak pernah bagitahu Ritz?"
          "Tanya lah ibu.  Ibu tahu segalanya.  Isya cerita semuanya pada ibu seorang je."
          "Ritz nak dengar apa yang ibu bagitahu ayah."
          "Ibu cuma cakap Isya tak nak bagitahu Ritz,  sebab Isya takut.  Itu je."
          "Dia nak takut apa?  Dia takut Ritz tahu,  tu bukan anak Ritz?"
          "Ritz!  Kenapa cakap macam tu?"
          Suara Dato' Zahid mulai meninggi.
          "Ritz tahu,  ayah.  Anak tu bukan anak Ritz!"
          Dato' Zahid beristighfar panjang.  Dia tidak menyangka sikap anaknya akan berubah begitu sekali.
          "Ayah tak sangka Ritz akan fikir bukan-bukan tentang isteri Ritz dan anak Ritz sendiri.  Sudah lah Ritz.  Ritz fikir lah masak-masak.  Jangan bertindak melulu.  Siasat dulu apa yang berlaku sebenarnya."
          Dato' Zahid bangkit lalu meninggalkan Farritz Aidil seorang diri di situ.  Farritz Aidil buntu.  Dia tidak tahu mahu melakukan apa lagi selepas ini.  Farritz Aidil memejamkan matanya.  Masih terbayang-bayang lagi kejadian 4 bulan lalu yang memisahkan dua jiwa itu.
          "Jom naik,  ibu."
          "Ibu je ke?  I tak nak jemput?"
          Farritz Aidil membuka pintu rumahnya tanpa menghiraukan sapaan Intan Natasha.  Dia terkejut apabila melihat pintu rumah tidak berkunci.  Apakah Farisya Adlina terlupa untuk mengunci rumah selepas menghantarnya keluar tadi?
          Farritz Aidil mula tidak sedap hati.  Dia terus melangkah masuk.  Puas dia mencari kelibat Farisya Adlina di segenap ruang dapur,  ruang tamu,  dan bilik study.  Tetapi Farisya Adlina masih belum kelihatan.  Yang kelihatan hanya sisa makanan dan pinggan kotor di atas meja makan di dapur.  Mungkin Farisya Adlina yang telah menikmati makan malam tersebut seorang diri dahulu semasa menunggu kepulangannya tadi.
          Farritz Aidil terus naik ke tingkat atas.  Mungkin Farisya Adlina sedang tidur di biliknya.  Kosong.  Dia semakin buntu.  Ke mana lagi hendak dicari wanita itu?  Tidak mungkin dia melarikan diri dari rumah hanya gara-gara Farritz Aidil pulang lewat.  Intan Natasha dan Datin Munirah masing-masing sedang duduk di ruang tamu menantikan drama agung yang akan bermula sebentar saja lagi.
          Farritz Aidil sudah putus harapan.  Dia tidak tahu ke mana agaknya Farisya Adlina membawa dirinya.  Farritz Aidil mengambil keputusan untuk menukar pakaiannya dahulu sebelum keluar semula sebentar lagi untuk mencari Farisya Adlina di luar.
          Lampu bilik dihidupkan.  Farritz Aidil terpempam melihat Farisya Adllina dalam keadaan mengaibkan bersama seorang lelaki yang sedang memeluknya di atas katil Farritz Aidil sendiri.  Farritz Aidil terasa seperti mahu pitam.  Tanpa berfikir lagi,  Farritz Aidil masuk ke bilik lalu menarik lelaki itu bangkit dari katilnya.  Hatinya bertambah sebal melihat lelaki itu hanya berseluar pendek tanpa baju.
          "Kurang ajar kau!"
          Satu penumbuk singgah di wajah lelaki berkumis itu.  Farisya Adlina terjaga dari tidur apabila terdengar dentuman kuat pada almari di sebelah katil.  Terpisat-pisat matanya memerhatikan Farritz Aidil yang sedang berdiri tegak di hadapannya dengan wajah yang bengis.  Kepalanya terasa begitu berat sekali.  Mungkin kesan dari ubat tidur yang diberi lelaki itu tadi.
          Melihatkan wajah buas lelaki yang telah menganiayainya tadi,  Farisya Adlina pantas memeluk Farritz Aidil.  Dia menangis semahunya.  Farisya Adlina menyangkan kedatangan Farritz Aidil adalah untuk membantunya.  Tetapi malangnya,  lelaki itu bukan mahu membantunya.  Tetapi mahu membahamnya.
          Farisya Adlina cuba bangkit dari katil.  Dengan tidak semena-mena,  Farritz Aidil menolaknya sekuat-kuat hatinya.  Farisya Adlina tergamam.
          "Farritz,  alhamdulillah kau balik cepat.  Lelaki ni nak rogol aku!"
          Jari telunjuknya lurus ke arah lelaki yang masih tercegat di belakang Farritz Aidi.
          "Tergamak kau buat aku macam ni,  Isya?  Kau khianati kepercayaan aku!"
          Farisya Adlina masih terpinga-pinga dengan kejadian tersebut.
          "Apa maksud kau?"
          "Kau tak payah nak pura-pura lah,  Isya.  Aku dah nampak semuanya dengan mata kepala aku sendiri.  Tak perlu nak berlakon lagi."
          "Ritz!  Isteri kau sendiri dah nak kena rogol,  kau tergamak kata aku macam ni lagi?  Setan apa yang dah sampuk kau ni,  ha?  Kau ingat aku ni perempuan jenis apa?  Senang-senang nak jaja tubuh aku pada jantan!"  Farisya Adlina sudah hilang sabar.  Dia tidak menyangka Farritz Aidil sanggup berprasangka buruk terhadapnya.
          "Kau tanya aku setan apa dah rasuk aku?  Hei perempuan,  kalau ikutkan hati aku,  malam ni juga aku bunuh kau dengan tangan aku!  Dah lah berzina.  Tak mengaku pula tu!  Tak guna kau solat tunggang tonggek pagi petang siang malam.  Kalau perangai macam pelacur!"
          Satu penampar hinggap di pipi Farritz Aidil.  Farritz Aidil bagaikan baru terjaga dari tidur yang panjang.  Matanya terkebil-kebil memandang wajah Farisya Adlina.  Dilihatnya anak mata wanita itu berkaca-kaca sambil mengetap giginya geram.
          "Hei!  Kau dah gila ke?  Kau lempang Farritz kenapa?  Jangan sampai kau pula kena lempang dengan aku tau!"
          Suasana semakin kelam kabut.  Intan Natasha menujal-nujal bahu Farisya Adlina.  Dia yakin Farisya Adlina tidak berani melawan.  Dan kalau pun dia melawan,  Farritz Aidil ada untuk membantunya.
          "Kau jangan nak masuk campur!  Karang tak pasal-pasal pecah muka kau aku kerjakan!"
          Farisya Adlina mengepalkan penumbuknya.  Gerun Intan Natasha melihatnya.  Kali ini dia tidak akan berdiam diri.  Sudah lah kepalanya masih sakit,  ditambah pula dengan masalah rumah tangganya.  Dan jangan pula Intan Natasha mahu masuk campur.  Memang dia sengaja cari fasal.
          "Ritz.  Dengar dulu apa aku nak cakap.."
          "Aku tak nak dengar apa-apa pun daripada kau!  Dan aku tak akan percaya lagi pada kau!"
          Wajah Farritz Aidil bertambah bengis.  Benci sungguh dia melihat Farisya Adlina dalam keadaan itu.  Sungguh dia tidak menyangka Farisya Adlina sanggup mengajak lelaki tidur di rumahnya malah di atas katilnya sendiri.  Jelas kini bahawa Farisya Adlina memang sengaja mahu menyakiti hatinya.
          "Aku tak tahu apa-apa,  Ritz.  Aku dianiaya.  Percaya lah cakap aku.."
          Suara Farisya Adlina tersekat-sekat menahan tangis. 
          "Kau jangan nak cari alasan lah,  Isya.  Oh,  mentang-mentang aku tak ada kat rumah,  kau berani bawa jantan balik,  ya?  Dasar perempuan tak sedar diuntung."
          "Bukan macam tu,  Ritz,"  balas Farisya Adlina.  Dia mencapai jemari Farritz Aidil tetapi pantas ditepis.
          "Aku tak kenal pun siapa lelaki tu.  Tiba-tiba je dia datang serang aku.  Dia bagi aku ubat tidur.  Sedar-sedar je aku dah ada atas katil ni dengan dia.  Sungguh,  Ritz.."
          Sekali lagi Farisya Adlina cuba meraih jemari kasar Farritz Aidil.  Tetapi masih gagal.  Farisya Adlina mengeluh berat.  Tiba-tiba datang akalnya untuk membela dirinya.  Dia segera berjalan ke arah lelaki itu.  Dengan wajah bengis,  dia merenung tajam ke arahnya.  Lelaki itu tertunduk gerun.
          "Hei,  aku tak tahu siapa hantar kau untuk jerat aku.  Tapi walau siapa pun kau,  aku nak kau bagitahu suami aku,  yang semua ni bukan aku yang rancang.  Kau yang tekap kain berisi ubat pelali tu kat mulut aku tadi,  kan?  Kau bagitahu dia sekarang!"
          Farritz Aidil hanya memerhati.  Farisya Adlina melepaskan air matanya lagi.  Dia sudah tidak mampu bertahan.  Lelaki itu hanya tunduk tanpa sebarang respon.
          "Bang,  maafkan kami.  Saya tak tahu apa yang Isya cuba cakap.  Tapi sumpah,  bang.  Kami dah kenal 6 bulan dulu.  Dan kami dah banyak kali terlanjur macam ni.  Cuma Isya je yang tak nak mengaku.  Isya,  bagitahu je kat suami Isya.  Abang tak kisah.  Tapi lepas ni kita takkan bertemu lagi.  Abang hormat suami Isya."
          Seorang lagi mangsa menerima penangan maut Farisya Adlina.  Farisya Adlina hilang sabar dengan pengakuan lelaki itu. 
          "Isya,  aku tak tahu perempuan jenis apa kau ni.  Aku menyesal kahwin dengan kau.  Kau tahu tak?  Hari ni genap 6 bulan kita kahwin.  Dan dalam masa yang sama kau main kayu tiga di belakang aku.  Kau memang tak guna,  Isya!"
          Farritz Aidil menolak tubuh Farisya Adlina.  Dengan tak semena-mena belakang badannya terkena bucu meja di sebelah katil.  Farisya Adlina mengerang kesakitan.  Dia dapat merasakan ada cairan panas mengalir dari ari-arinya.
          "Kau nak rampas hak aku,  ya?  Boleh.  Kau nak,  ambil lah perempuan tu!  Tapi sebelum tu,  kau rasakan penumbuk aku ni dulu."
          Dia menghampiri lelaki itu pula lalu menumbuknya di perut.  Bertalu-talu pukulan itu mengenai wajahnya.  Farritz Aidil bagaikan orang hilang akal.  Dia menjerit sekuat-kuat hatinya.  Setitis air mata kekecewaan gugur di pipinya.  Tidak pernah dia menyangka satu-satunya orang yang paling disayanginya sanggup menduakannya.
          "Farritz!  Enough!  Jangan pukul dia lagi.  Bukan salah dia pun,"  jerit Intan Natasha sambil menghalang Farritz Aidil dari memukul lelaki itu.  Farritz Aidil termengah-mengah.  Matanya merenung tajam ke arah Farisya Adlina yang masih memegang belakang pinggangnya. 
          Farisya Adlina terkejut melihat darah yang mulai mengalir di atas lantai.  Dia hanya mampu beristighfar panjang.  Dia cuba bangkit tetapi gagal.  Perutnya terasa perit sekali.
          "Habis salah siapa?  Salah kau?"  bentak Farritz Aidil betul-betul di hadapan Intan Natasha.
          "You pekak ke?  Kan lelaki ni dah mengaku dia dan Isya memang ada affair.  So,  kenapa you nak hukum dia seorang je?"  Intan Natasha cuba menenangkan Farritz Aidil.  Wajahnya seperti singa kelaparan.
          "Isya.  You tahu tak,  Farritz ni dari tadi risaukan you.  Tapi bila dia balik,  ni balasan you?  You ni memang perempuan jalang tau!"
          Farritz Aidil hanya mendiamkan diri.  Dia tidak membalas pelukan Intan Natasha.  Tetapi apa yang pasti,  dia tenang diperlakukan begitu.  Andai sahaja Farisya Adlina yang sedang memeluknya itu,  pasti hatinya lebih tenang sekarang.
          "Isya.  Kenapa Isya sanggup buat anak ibu macam ni?  Isya tak tahu dosa pahala ke?"  sahut Datin Munirah yang turut sama menenangkan Farritz Aidil.  Intan Natasha tersenyum sinis.  Sebentar lagi dia akan dapat memiliki hati Farritz Aidil seperti yang diidamkannya selama ini.
          "Kau berambus,  Isya!  Kau keluar dari rumah aku!  Jangan balik-balik ke sini lagi.  Aku haramkan kau balik ke sini sampai aku mati!  Mulai hari ni,  Farisya Adlina Tan Sri Mahmud,  kau bukan lagi isteri aku.  Malam ni,  di malam ulangtahun ke enam bulan kita berkahwin,  aku,  Farritz Aidil Dato' Zahid bersaksikan ibu dan Intan Natasha,  menceraikan kau dengan talak satu!"
          Hamburan kata-kata Farritz Aidil melemahkan seluruh tubuh Farisya Adlina.  Dia cuba mencapai tangan Farritz Aidil.  Berharap agar masih ada sisa kemaafan buat dirinya.  Tetapi keegoan mengatasi segalanya.  Farritz Aidil menepis tangan Farisya Adlina.
          "Jangan sentuh aku dengan tangan kotor kau!  Kau pergi lah dari sini,  Isya.  Anggap kita tak pernah kenal selama ni.  Dan sebaik saja kau melangkah keluar dari rumah ni,  kau bukan isteri aku lagi.  Kau jangan berpatah balik.  Semua dosa kau,  dah aku ampunkan.  Semua makan minum kau,  aku halalkan dunia akhirat.  Pergi lah,  Isya.  Cari hidup kau.  Jangan ganggu aku lagi."
          Sebaik sahaja habis berkata-kata,  Farritz Aidil mengesat deraian air matanya sebelum keluar dari bilik meninggalkan Farisya Adlina yang masih tersandar  di meja kecil itu.  Farisya Adlina hanya mampu menangisi nasib dirinya.
          Lelaki yang tadinya menjadi orang suruhan Intan Natasha dan Datin Munirah itu menghampiri Farisya Adlina yang sedang menangis teresak-esak.  Dia menghulurkan sehelai tuala kepada Farisya Adlina.  Dia jadi simpati kepada wanita itu.
          "Maafkan saya,  Puan Isya.  Saya hanya menurut perintah Cik Puan.  Saya perlukan duit untuk pembedahan jantung anak saya.  Maafkan saya sebab buat rumah tangga Puan jadi macam ni.  Tapi percaya lah,  saya tak buat apa-apa pun pada Puan tadi.  Saya cuma ikut perintah Cik Puan."
          Suara sayu lelaki itu mendorong simpati Farisya Adlina.  Dia mengangkat wajahnya lalu memandang lelaki itu sambil tersenyum tawar.
          "Tak apa lah.  Semuanya dah berlaku.  Saya redha.  Awak balik lah.  Tugas awak dah selesai.  Kami dah bercerai pun."
          "Tak Puan.  Puan masih isteri dia.  Puan kan mengandung.  Saya bawa Puan pergi klinik,  ya?  Puan berdarah ni."
          "Tak payah.  Kejap lagi saya pergi sendiri.  Baik awak keluar cepat.  Nanti Tuan nampak,  mati awak dia kerjakan."
          "Puan,  terima kasih sebab tolong saya walaupun hidup Puan sendiri yang merana.  Saya doakan hidup Puan dengan Tuan akan bahagia semula."
          Lelaki itu menyarung pakaiannya lalu keluar dari bilik.  Sungguh.  Dia serba salah dengan apa yang berlaku kepada Farisya Adlina.
          Farisya Adlina bangkit lalu mengutip helaian pakaiannya.  Dengan tangisan yang masih bersisa,  Farisya Adlina berjalan perlahan-lahan menuju ke bilik air sebelum keluar dari rumah malam itu juga.
          Farritz Aidil tidak perasan entah bila dia terlelap.  Mungkin gara-gara terlalu asyik melayan perasaannya. 
          Dia bangkit.  Selepas bernikah nanti,  dia akan berhijrah ke luar negara bersama Intan Natasha.  Ya.  Dia akan cuba melupakan semua peristiwa hitam yang berlaku antara dia dan Farisya Adlina dahulu.

No comments:

Post a Comment