55
'Pesanan Buat Kekasih'
"Isya, slow down! Jangan bawa laju-laju macam ni. Banyak-banyakkan istighfar!" jerit Asyraf Danisy.
Dia memegang kuat pintu kereta. Kelajuan kereta mencecah 100 km sejam. Farisya Adlina yang sedari tadi berwajah bengis, hanya mendiamkan diri malah menambah kelajuan kereta pada tahap 110 km sejam.
Asyraf Danisy semakin khuatir. Jika keadaan ini berterusan, bukan sahaja akan disaman pihak berkuasa, malah mereka berisiko untuk mendapat kemalangan yang teruk.
"Kalau awak tak berhenti, saya akan terjun dari kereta."
Kata-kata Asyraf Danisy tidak dihiraukan. Suara radio dikuatkan. Sehingga tiba ke tahap maksimum.
"Kalau awak tak berhenti, saya merajuk."
"Go on!" balas Farisya Adlina pendek.
Asyraf Danisy terkedu. Bagaimana agaknya dia mahu memujuk wanita itu.
"Tak apa lah, Isya. Pandu lah selaju mana yang awak boleh. Saya tak mampu nak halang. Saya bukan sesiapa bagi awak," suara Asyraf Danisy kian mengendur.
Farisya Adlina hanya diam membatu. Tiada perubahan dari segi penekanan pada pedal minyak. Kereta yang dipandu juga masih dengan kelajuan tadi.
Suasana sepi seketika. Tidak kedengaran lagi suara Asyraf Danisy memujuknya seperti tadi.
Farisya Adlina mengeluh berat. Serta merta dia melepaskan pedal minyak. Keretanya sudah berada dalam kelajuan 60 km sejam. Mungkin serba salah dengan Asyraf Danisy yang sudah menarik muka dengannya.
"Kenapa tak laju lagi? Laju lah. Awak nak lepaskan panas hati awak tu, kan? Pandu lah laju lagi. Boleh kita mati sama-sama," sinis sindiran Asyraf Danisy menyentakkan tangkai hatinya.
"Maaf," jawab Farisya Adlina. Suaranya juga kian mengendur.
Asyraf Danisy berpeluk tubuh. Farisya Adlina segera menekan brek. Asyraf Danisy memandang pelik.
Farisya Adlina menekup wajahnya pada stereng kereta selepas berhenti di bahu jalan. Asyraf Danisy serba salah. Apa yang perlu dilakukannya? Wanita itu benar-benar tertekan kini.
"Isya. Awak pernah tengok cerita Lillahi Ta'ala tak? Ingat tak, kawan lelaki tu ada cakap. Kalau kejayaan yang kita impikan, belum tentu kita dapat capai kejayaan tu. Tapi kalau kesabaran yang kita gunakan, insyaallah. Kejayaan pasti milik kita," Asyraf Danisy memberi nasihatnya selembut yang boleh. Dia tahu apa yang menyebabkan wanita itu tertekan sebegini sekali.
"Isya. Setiap manusia dikurniakan air mata. Dan air mata tu selalunya buat kita lega. Masa kita sedih, gembira, marah, ataupun takut, kita pasti akan menangis. Dan lepas tu kita akan berasa lega.
Awak tahu tak, Isya? Orang yang selalu berada dalam kesusahan, adalah orang yang disayangi Allah. Allah akan beri ujian kepada hamba-hamba yang dia sayang. Dan awak merupakan salah seorang daripada golongan manusia yang dikasihi Allah."
Farisya Adlina mengangkat mukanya. Terhenjut-henjut tubuhnya menahan tangis.
"Tapi kenapa dugaan yang seberat ni? Saya tak mampu nak hadapinya, Is. Saya tak mampu!"
Tanpa dia sedari, wajahnya sudahpun melekap di bahu lelaki itu. Asyraf Danisy terkesima. Hatinya semakin tidak keruan. Keadaan wanita itu semakin teruk. Berat sungguh ujian yang terpaksa ditanggungnya sekarang ini.
"Isya. Allah tu maha mengetahui, maha berkuasa, dan maha bijaksana. Allah takkan beri hamba dia ujian, kalau dia tahu yang hamba dia tu tak mampu nak hadapinya.
Dan kalau awak nak tahu kenapa Allah beri awak ujian ni, sedangkan awak tak mampu nak hadapinya seorang diri, semuanya sebab Allah maksudkan awak mampu hadapinya. Asalkan awak berusaha. Dan minta bantuan orang yang lebih berpengalaman."
Asyraf Danisy mengusap belakang wanita itu. Mengharapkan agar kesedihannya akan berkurangan.
"Isya. Awak beruntung. Masih ada keluarga yang sayang dan ambil berat tentang awak. Saya ni? Saya tak ada ibu bapa. Parents saya dah lama tinggalkan saya. Saya ni anak pungut."
Farisya Adlina meleraikan pelukannya. Dia sedar akan ketelanjurannya. Perlahan-lahan dia menyeka air matanya.
"Sepatutnya awak bersyukur. Dengar nasihat parents awak. Jangan bertindak melulu macam ni. Mengamuk bukan jalan penyelesaiannya," ujar Asyraf Danisy panjang lebar.
"Habis awak nak saya ikut cakap parents saya supaya maafkan jantan tu, dan kahwin dengan dia balik? Tolong lah, Is. Jangan nak merepek!" perlahan tetapi kedengaran tegas suara Farisya Adlina mempertahankan pendiriannya.
Farisya Adlina menyandarkan tubuhnya. Air matanya diseka.
"Saya tak maksudkan macam tu. Cuma saya nak, awak balik sekarang. Minta maaf dengan parents awak. Tak usah lah nak fikirkan si Riel dengan Qay tu. Tak perlu nak balas dendam. Perkara dah berlaku."
"Awak cakap senang lah! Maruah saya, Is. Maruah saya dipermainkan. Kalau awak di tempat saya, awak pun akan lakukan perkara yang sama."
"Tak. Saya takkan buat perkara sebodoh ni. Saya akan bertindak rasional. Sebab setahu saya, kehidupan ni ibarat roda. Kita takkan selamanya berada di atas. Kita takkan juga selamanya berada di bawah. Jika hari ni kita balas dendam dengan orang, esok orang tu akan balas dendam pada kita semula. Dan ianya akan berlarutan sampai bila-bila. Agak-agak awak lah, apa akan terjadi pada semua umat Islam di dunia ni?"
Farisya Adlina berfikir sejenak sebelum meneruskan perjalanannya kembali ke rumahnya di UK Heights. Asyraf Danisy menarik nafas lega.
"BERAPA lama awak nak tinggal sana?" ujar Tan Sri Mahmud. Matanya masih memandang ke arah Puan Sri Zakiah yang sedang tekun mengemas beg pakaiannya.
"Dua tiga bulan. Biasa lah kalau dah makan angin kat luar negara. Abang tu. Saya ajak pergi sekali, abang tak nak," usik Puan Sri Zakiah.
Tan Sri Mahmud tersenyum manis. Dia mematikan televisyen sebelum duduk di sisi isterinya di atas katil.
"Bukan abang tak nak, Kiah. Segan lah abang. Kiah tu pergi dengan kawan-kawan Kiah. Semua perempuan. Takkan abang seorang je lelaki kat sana nanti? Lagipun, kalau abang tak ada kat rumah, siapa nak tengok-tengokkan anak perempuan Kiah tu? Dia tu baru je kehilangan suami dia."
"Oh ya. Bercakap tentang Isya. Ritz. Dia betul-betul nak tinggal sini ke?"
"Habis ke mana lagi dia nak pergi, Kiah? Zahid dah halau dia sebab menderhaka pada Irah. Semua yang dia ada, Zahid dah rampas. Abang pun tak faham. Macam mana Zahid boleh jadi begitu agresif sekali. Semua sebab Ritz cuba mempertahankan nyawa Isya.
Puan Sri Zakiah mengangguk perlahan. Dia akur. Semua yang terjadi ke atas bekas menantunya itu adalah kerana mahu mempertahankan anak perempuan dan cucu-cucunya.
"Abang serba salah, Kiah. Ritz kena halau pun, sebab nak pertahankan anak perempuan kita. Takkan kita tak nak bantu dia waktu dia susah? Walaupun Ritz bukan menantu kita lagi, dia tetap macam anak kita. Dia bapa pada cucu-cucu kita. Lagipun, boleh lah dia jumpa anak-anak dia setiap hari. Sementara tunggu hati ayahnya sejuk," balas Tan Sri Mahmud panjang lebar.
Puan Sri Zakiah diam seketika. Fikirannya menerawang entah ke mana.
"MEMANG aku sengaja beri peluang pada kau untuk selamatkan isteri kau. Kau tak perlu berterima kasih pada aku sebab jaga isteri kau selama dia dikurung," ujar Hafiz sambil tertunduk serba salah.
"Kenapa kau buat semua ni?"
"Aku terpaksa. Demi anak aku. Anak aku perlukan pembedahan."
"Kenapa kau tak bagitahu aku? Aku boleh bagi kau duit. Aku akan bantu kau. Tapi kenapa kau pilih jalan yang dikhianati Allah?"
Farritz Aidil meraup wajahnya berkali-kali. Baru lah dia tahu kisah yang sebenarnya sekarang. Hatinya sangat kecewa.
"Ritz. Waktu tu aku betul-betul terdesak. Mak kau ugut aku. Mula-mula aku minta pinjam. Mak kau bagi. Tapi RM200 je. Apa sangat lah RM200 tu untuk pembedahan anak aku? Aku perlukan RM50 000. Bukan sikit tahu tak?"
Farritz Aidil mendiamkan dirinya.
"Kau orang kaya. Senang lah kau cakap. Kau ada duit. Bila-bila masa, kau petik jari je. Mesti ada duit depan mata. Aku ni?"
Farritz Aidil menghampiri Hafiz yang duduk di bangku di taman permainan itu. Dia duduk sebelum menepuk lembut bahu lelaki itu.
"Kau silap. Yang kaya parents aku je. Aku manusia biasa. Aku menumpang kesenangan parents aku. Dan sekarang.."
Farritz Aidil mendongakkan kepalanya memandang ke langit. Cermin mata hitam yang dipakainya menghalang sinaran matahari dari mengganggu pandangannya.
"Aku dah hilang segalanya. Wang, kereta, isteri aku, parents aku, anak-anak aku, mahupun hati aku. Isya dah bawa hati aku pergi bersama dia. Aku dah tak ada apa-apa lagi.."
"Maafkan aku, Ritz. Sekarang, kerja aku dah selesai. Kalau aku terpaksa menyerah diri ataupun ditangkap polis lepas ni, aku redha. Sekurang-kurangnya satu-satunya harapan aku dah termakbul. Anak aku dah sembuh. Dan lepas ni, aku akan menyerah diri pada polis. Aku harap kau banyak-banyakkan bersabar. Aku tahu, kau dengan Isya memang dicipta untuk bersama."
Hafiz bangkit lalu meninggalkan Farritz Aidil keseorangan.
No comments:
Post a Comment