53
'Menyesal'
"Ritz, macam mana dengan Isya?" kelam kabut Puan Sri Zakiah mendapatkan Farritz Aidil yang sudah jatuh terduduk di tepi bilik Farisya Adlina. Hampa benar perasaannya kini.
"Isya kat dalam tu, untie," sahutan Asyraf Danisy menyentakkan kegelisahan Puan Sri Zakiah. Wanita itu terpana. Bagaimana dia tahu akan kejadian yang menimpa Farisya Adlina?
"Saya Is, kawan Isya dan Ritz," serius Asyraf Danisy memperkenalkan dirinya. Puan Sri Zakiah terpana.
Tanpa berlengah lagi, Puan Sri Zakiah terus menerjah masuk ke bilik anaknya ditempatkan. Nasib baik Tan Sri Mahmud sempat menyambut Puan Sri Zakiah. Jikalau dia lambat walau sedetik, sudah pasti Puan Sri Zakiah sudah jatuh menyembah bumi.
Air mata seorang ibu mengalir laju ke pipinya. Sebagai ibu, dia begitu pilu melihat anaknya yang selama ini tertawa riang di hadapannya kini terbujur kaku di katil hospital. Seluruh tubuh serta wajahnya ditutup dengan selimut berwarna putih.
"Istighfar, Kiah.. Banyak-banyakkan bersabar. Semua ni dugaan dari Allah," air mata Tan Sri Mahmud gugur jua mengiringi tangisan isterinya.
Tan Sri Mahmud membantu Puan Sri Zakiah bangkit. Perlahan-lahan mereka mengatur langkah menuju ke arah Farisya Adlina.
"Isya.." bergetar suara Puan Sri Zakiah menyeru nama anaknya. Tan Sri Mahmud yang masih setia di sisi isterinya hanya mampu menenangkan wanita itu.
Perlahan-lahan selimut yang menutup keseluruhan tubuh Farisya Adlina ditarik. Sekali lagi Puan Sri Zakiah jatuh terduduk. Kali ini dia langsung tidak sedarkan diri. Lantas Tan Sri Mahmud berteriak meminta pertolongan.
Benar.. Hati kecil itu sangat berduka di kala ini. Semenjak dimaklumkan mengenai berita mengenai Farisya Adlina, dia dapat merasakan ada sesuatu yang akan berlaku. Tetapi dia masih tidak pasti apakah jenis perasaan itu. Mungkinkah firasat itu berkaitan dengan pertemuan antara dia dengan Asyraf Danisy?
Puan Sri Zakiah dimaklumkan doktor bahawa jantung Farisya Adlina tiba-tiba berhenti berdegup. Kebetulan pula sewaktu itu, Farritz Aidil tiada di hospital kerana keluar makan malam dengan Asyraf Danisy.
Farritz Aidil merupakan orang yang paling menyesal ketika itu. Dia menyesal kerana dia tiada sewaktu wanita itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Andai sahaja dia mampu memutarkan kembali putaran masa, mahu sahaja dia kembali ke sepuluh minit selepas dia keluar dengan Asyraf Danisy di mana kejadian itu berlaku.
Dia mahu memeluk Farisya Adlina semahunya dan tidak akan sedetik pun pelukan itu dileraikan. Hatinya benar-benar hiba mendengar berita itu. Sehingga sekarang pun, dia hanya mampu duduk termenung di hadapan bilik hospital. Mengenangkan semua kesilapan lalu..
"ISYA.. Tolong lah maafkan aku. Aku tahu aku salah. Aku tak patut buat kau macam tu. Sekarang aku dah sedar kesilapan aku. Tolong lah, Isya," rayu Farritz Aidil bersungguh-sungguh.
Dia mengucup lagi jemari Farisya Adlina buat ke sekian kalinya. Farisya Adlina yang sedang baring di hadapannya memalingkan muka. Benci mahu memandang lelaki yang kini bukan muhrimnya lagi.
"Masuk kali ni dah 39 kali kau cakap benda yang sama. Dan aku pula, dah 45 kali cakap benda yang sama yang aku takkan maafkan kau. Aku takkan maafkan kau atas semua yang kau dah lakukan pada aku!" bentak Farisya Adlina dalam suara yang serak. Sudah tiga bulan suara merdu itu tidak kedengaran di telinga Farritz Aidil.
Suara Farisya Adlina kian meninggi. Hatinya benar-benar sakit melihat Farritz Aidil di sisinya. Berkali-kali dia cuba menarik tangannya dari dicium lelaki itu namun gagal. Bersungguh-sungguh nampaknya Farritz Aidil meminta maaf darinya.
Namun hatinya sudah keras. Atas semua kesilapan lelaki itu semenjak mereka bernikah, sehingga lah bulan ketiga selepas mereka bercerai. Farisya Adlina tidak menyangka lelaki itu sanggup menceraikannya tanpa mendengar sebarang alasan darinya terlebih dahulu.
"Sudah lah, Ritz. Antara kita dah tak ada apa-apa lagi. Kau bukan suami aku lagi. Kau lupa? Kau dah ceraikan aku dulu! Dan sekarang, kita haram bersentuhan. Jangan sentuh aku, Ritz!" sedaya upaya Farisya Adlina meleraikan genggaman lelaki itu.
Akhirnya dia pasrah. Perlahan-lahan jemari lembut itu dilepaskan. Benar. Semua gara-gara kelancangan mulutnya melafazkan talak. Dan kini, dia bukan lagi suami kepada Farisya Adlina. Farisya Adlina berhak untuk meminta dirinya dijauhi.
"Baik, Isya. Aku janji dengan kau. Mulai hari ni, aku takkan ganggu hidup kau lagi. Aku tahu kau dah bencikan aku. Jadi, apa lah daya aku nak memaksa kau untuk terima aku? Cuma aku ada satu permintaan," Farritz Aidil bangkit lalu ditatapnya wajah kesayangannya lama.
Hatinya bertambah kecewa melihat Farisya Adlina yang berpaling muka darinya. Wajahnya bengis sekali. Penuh dengan kebencian yang meluap-luap.
"Izinkan aku jumpa anak-anak aku setiap minggu. Aku pun berhak pada mereka," ujar Farritz Aidil perlahan sebelum keluar dengan perasaan hampa.
Farritz Aidil menutup pintu bilik. Terasa hangat air jernih yang membasahi pipinya. Hatinya benar-benar kecewa di saat ini. Keajaiban sebentar tadi yang disangkanya merupakan satu kebahagiaan baginya, tidak seindah diharapkan.
Farritz Aidil melangkah masuk ke dalam bilik Farisya Adlina untuk memberi penghormatan terakhir. Asyraf Danisy di sebelahnya hanya mampu memeluk bahu sahabatnya itu.
"Dah lah tu, Ritz. Tak baik biar wajah jenazah dibuka lama," pujuk Asyraf Danisy. Sudah hampir sepuluh minit Farritz Aidil termenung memandang wajah Farisya Adlina. Sebentar lagi jenazah Farisya Adlina akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di UK Heights. Sahabat serta ahli keluarga yang lain sudahpun pulang menanti kepulangan Farisya Adlina.
Mendengarkan pujukan Asyraf Danisy, Farritz Aidil mula melangkah mendekati Farisya Adlina. Matanya semakin membengkak. Dia tidak pasti sudah berapa lama matanya memuntahkan air jernih itu.
Farritz Aidil duduk di sisi katil. Perlahan tangannya mencapai jemari Farisya Adlina. Didekatkan jemari runcing itu ke bibirnya lantas dikucup lama. Matanya dipejam. Setitis demi setitis lagi air matanya gugur ke pipinya.
Asyraf Danisy menahan air matanya dari turut sama tumpah. Dia terus keluar dari bilik memandangkan hatinya tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung sahabatnya itu. Andai sahaja dia berdaya, mahu sungguh dia mengucup dahi gadis kesayangannya itu. Namun, apa lah dayanya..
Farritz Aidil menggagahkan dirinya bangkit dari kerusi. Perlahan-lahan dia mendekatkan bibirnya ke pipi kanan Farisya Adlina. Pegangan tangannya masih erat. Tangan kirinya mengelus lembut rambut Farisya Adlina.
Setiap kali bibirnya menyentuh wajah pucat Farisya Adlina, setiap kali itu lah, air matanya gugur. Dia dapat merasakan wajah wanita itu kesejukan. Haba dari tubuhnya juga tidak mampu menghangatkan tubuh kaku itu.
Dia mencium ke pipi kiri Farisya Adlina pula. Sejuk.
Kali ini ciumannya beralih ke dahi Farisya Adlina. Kali ini air matanya lebih laju mengalir. Matanya dipejam rapat. Cuba menyalurkan cintanya kepada wanita itu. Namun saluran itu sepertinya disekat. Bagaikan tiada kerelaan untuk Farisya Adlina menerima cintanya.
Setelah sekian lama bibirnya melekap di dahi wanita itu, tiba-tiba dia dapat merasakan seperti tangannya cuba digenggam kemas. Matanya terbuka memandang wajah Farisya Adlina. Mustahil!
Farritz Aidil terus menekan butang kecemasan. Kelam kabut dia mengesat air matanya sambil tersenyum gembira. Apakah ini yang dinamakan keajaiban?
Tanpa disuruh, Farritz Aidil terus keluar selepas Doktor Kamarul dan jururawatnya tiba. Sempat juga dia menoleh ke arah Farisya Adlina. Dia melemparkan senyuman paling manis buat wanita itu.
Farritz Aidil mundar mandir di hadapan bilik. Hatinya gelisah. Masih terasa jemari runcing Farisya Adlina yang menggenggam erat tangannya. Rasanya seperti mahu meminta pertolongan.
Farritz Aidil terus menerpa ke arah Doktor Kamarul yang baru keluar dari bilik Farisya Adlina. Lelaki itu tersenyum memandang Farritz Aidil.
"Susah saya nak percaya. Tapi itu lah keajaibannya. Saya hanya mampu berusaha. Tetapi Allah lebih berkuasa. Tahniah, Encik Ritz. Jantung isteri encik dah berdegup semula. Bersyukur lah kepada Allah. Kerana semua yang berlaku, atas kehendak-NYA," sejurus selepas ayat terakhir itu keluar dari mulut Doktor Kamarul, Farritz Aidil mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Hatinya benar-benar bahagia di kala ini.
"Ritz.. Kenapa ni?" tegur Asyraf Danisy yang baru muncul entah dari mana. Farritz Aidil yang masih duduk di kerusi yang menjadi tempat tidurnya selama ini mengangkat kepalanya lalu tersenyum tawar.
"Isya macam mana?" Asyraf Danisy duduk di sisi Farritz Aidil. Dia menghulurkan sebotol air 100 Plus yang dibelinya tadi kepada Farritz Aidil.
"Okey," pendek jawapannya menghairankan Asyraf Danisy.
"Habis tu kenapa kau duduk kat sini? Kenapa tak teman dia?"
"Rasanya tak perlu.. Bosan aku nak tengok muka dia lama-lama," selamba jawapannya sambil menyambut huluran Asyraf Danisy.
Asyraf Danisy semakin hairan. Mengapa agaknya dia berubah sebegini pantas? Bukankah Farritz Aidil benar-benar menyintai Farisya Adlina sehingga tidak sanggup melihat Farisya Adlina menderita sakit? Mengapa kini kata-katanya tidak menyerupai perbuatannya?
"Kau nak Isya tu, ambil lah. Sebenarnya aku tak pernah cintakan dia. Aku pura-pura je ambil berat tentang dia. Padahal sebenarnya aku dipaksa untuk jaga dia. Aku nak jaga hati parents aku," Farritz Aidil meneguk laju air di tangannya. Menggigil tangannya menahan air mata.
Asyraf Danisy terkedu.
"Aku chow dulu, lah. Kau nak masuk, pergi lah. Isya bukan bini aku lagi. Aku dah ceraikan dia. As I said before, she's not my taste," dengan senyuman sinis, Farritz Aidil bangkit lalu menepuk bahu Asyraf Danisy. Dia terus meninggalkan Asyraf Danisy sebelum sempat lelaki itu berkata apa.
'Aku terpaksa, Isya. Demi kebahagiaan kau. Dan kau, Is. Aku harap kau dapat bahagiakan Isya macam mana Isya bahagiakan aku,' bisik hatinya.
Sekali lagi air matanya gugur di pipinya. Farritz Aidil meneruskan langkahnya. Tidak pasti ke mana arah tujuannya kini. Semenjak menyedari dia telah kehilangan Farisya Adlina, dia dapat merasakan kekosongan dalam hidupnya..
Dia terus melangkah tanpa tujuan. Entah lah. Ke mana hendak dibawa hati yang luka parah ini. Tetapi yang pasti dia mahu mencari ketenangan abadi. Ketenangan seperti yang dirasai ketika bersama Farisya Adlina.
No comments:
Post a Comment