Thursday, April 14, 2011

bab 50



50

'Yang Terlewatkan'

Farritz Aidil sudah lengkap berbaju melayu.  Sebentar lagi dia akan bernikah dengan Intan Natasha.  Dia sendiri kurang pasti mengapa dia langsung tidak berdebar,  gementar,  ataupun gembira apabila mengenangkan dirinya bakal bernikah lagi.
          Cuma Intan Natasha sahaja yang beriya-iya mahukan pernikahan ini berlangsung.  Bukan dia.  Datin Munirah sedang sibuk membantu orang ramai menyediakan jamuan untuk majlis petang nanti.
          Farritz Aidil keluar dari biliknya.  Mahu turun ke tingkat bawah bertemu dengan ibunya.  Mungkin sengaja mahu menjenguk keadaan di bawah.
          Langkah kaki Farritz Aidil terhenti di hadapan bilik Datin Munirah.  Telinganya dapat menangkap suara seseorang.  Intan Natasha!  Itu memang suara Intan Natasha.
          Farritz Aidil segera mendekati bilik ibunya.  Mengapa gadis itu ada di dalam bilik ibunya?  Apa haknya?  Farritz Aidil hairan.
          Sebelum Farritz Aidil sempat mengetuk pintu bilik yang tertutup,  dia terdengar Intan Natasha menyebut nama seseorang yang amat dirinduinya.  Farritz Aidil tidak sedap hati.
          Dia merapatkan telinganya ke pintu bilik.  Cuba mendengar perbualan gadis itu dengan seseorang menerusi telefon bimbit.
          "Hari ni aku akan bernikah dengan Ritz.  Aku nak kau jaga Isya baik-baik.  Jangan sampai dia terlepas dan batalkan majlis pernikahan kami.  Kau faham?"
          Farritz Aidil semakin berang.  Mahu sahaja dia menerjah masuk ke dalam bilik dan membunuh gadis itu kerana menjadi punca perpisahan dia dengan Farisya Adlina.  Namun sebelum sempat dia berbuat apa-apa,  Farritz Aidil terdengar satu lagi suara bersama Intan Natasha.
          Bagaikan hendak gugur jantungnya apabila mendapati suara itu kepunyaan Datin Munirah.  Farritz Aidil sepertinya sudah dapat menyelesaikan satu teka-teki.  Dia masih setia di situ.  Menenangkan diri sementara mendengar pernyataan selanjutnya.
          "Kau ingat,  Hafiz.  Aku dah bayar kau banyak.  Jangan sampai semua rancangan gagal.  Aku tak nafikan sebelum ni kau berjaya buat mereka bercerai.  Dan sekarang,  aku nak kau buat lebih baik.  Kalau boleh,  bunuh mereka berdua.  Dengan Isya,  dengan budak tu sekali,  aku nak kau bunuh,"  ujar Datin Munirah dengan nada tegas.
          Farritz Aidil semakin tidak sedap hati.  Bunuh?  Budak?  Anaknya!  Hatinya semakin tidak menentu.
          "Kau ni bodoh,  lah.  Kan aku dah kata.  Aku tak nak bunuh dia awal-awal sebab aku nak dia dengar,  suara suami tercinta dia lafazkan akad nikah pada aku.  Dan lepas tu,  kau bunuh lah dia!  Dan satu lagi,  jangan lupa bagi dia dengar suara Ritz masa kami nikah nanti,"  suara Intan Natasha pula kedengaran.
          Farritz Aidil segera menghafal alamat yang dinyatakan Intan Natasha.  Dia nekad.  Dia akan ke sana segera.  Perkahwinan ini akan dibatalkan walau apapun risikonya. 
          Farritz Aidil sedar kini.  Bukan Farisya Adlina yang bersalah.  Tetapi Intan Natasha dan ibunya sendiri.  Dia akan mencari Farisya Adlina.  Benar dugaannya selama ini.  Farisya Adlina memang masih hidup.
          Berlalunya Farritz Aidil dengan kereta Merc Benz ML350 kepunyaan ayahnya mengundang kejutan para tetamu.  Kesemua mereka terkejut melihat pengantin lelaki yang tergesa-gesa meninggalkan ruang rumah yang sedang sibuk dengan persiapan majlis pernikahannya sejam lagi.
          Farritz Aidil tidak mempedulikan panggilan ibu bapa malah bakal isterinya sendiri.  Dalam fikirannya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anaknya.  Dia tidak mahu terlewat walaupun seminit.  Kerana kelewatannya hanya akan mengundang bahana buat dia dan keluarga barunya.
          Pedal minyak ditekan sekuat-kuat hati.  Kereta mewah itu meluncur laju menuju ke tempat yang dituju.  Dia beristighfar di dalam hatinya dan berdoa agar anak dan isterinya sentiasa selamat.
          Setengah jam kemudian,  Farritz Aidil tiba di destinasinya.  Namun dia buntu.  Seluruh kawasan disarati dengan hutan belukar dan semak samun.  Dia tidak melihat sebarang rumah atau pondok tempat Farisya Adlina disembunyikan. 
          Dari jauh Farritz Aidil melihat ada seorang lelaki sedang berjalan menuju ke kawasan belukar itu.  Lelaki itu memang tidak asing baginya.  Lelaki itu ialah orang suruhan Intan Natasha dan ibunya.  Lelaki itu juga yang tidur dengan Farisya Adlina sehingga menyebabkan penceraian mereka.
          Farritz Aidil menenangkan dirinya.  Kalau diikutkan hatinya yang sedang marah,  mahu sahaja dia keluar dan memberi pengajaran kepada lelak itu.  Tetapi dia sedar.  Perbuatannya itu tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.
          Farritz Aidil keluar perlahan-lahan dari kereta lalu mengikut langkah lelaki itu dengan senyap.  Tidak mahu lelaki itu perasan kehadirannya.
          Setelah beberapa minit berjalan masuk ke dalam hutan,  baru lah Farritz Aidil temui sebuah pondok usang yang dipercayai tempat Farisya Adlina dikurung.  Farritz Aidil semakin bimbang.  Dia dapat melihat sebilah pisau pada tangan lelaki itu. 
          Farritz Aidil tidak mengikut langkah lelaki itu ke belakang pondok malah terus masuk ke dalam pondok tersebut untuk mendapatkan Farisya Adlina.  Berhati-hati Farritz Aidil masuk ke dalam pondok tersebut.  Takut disedari lelaki bersenjata itu.
          Puas Farritz Aidil mencari Farisya Adlina di segenap pondok tersebut tetapi penyelesaiannya hampa.  Mungkin Farisya Adlina sudah disembunyikan di tempat lain.  Mungkin juga di belakang pondok.  Jika tidak,  mengapa lelaki itu tidak terus masuk ke dalam pondok malah terus pergi ke belakang?
          Farritz Aidil semakin yakin.  Dia segera melangkah keluar untuk pergi ke belakang pondok.  Namun belum sempat dia keluar dari pintu masuk,  Farritz Aidil terdengar satu suara perempuan menangis meminta tolong. 
          Farritz Aidil kaget.  Suara itu kedengaran hampir dengannya tetapi di mana?
          Farritz Aidil mencari ke segenap pelosok pondok.  Mencari arah datangnya suara itu.  Suara itu memang suara Farisya Adlina.  Mahu sahaja dia memanggil wanita kesayangannya itu namun bahaya yang menunggu mereka menghalangnya berbuat demikian.
          Farritz Aidil duduk bersandar di dinding pondok tersebut.  Baju melayunya sudah kotor akibat meredah hutan belukar.  Songkok dan sampin yang tadi dipakainya sudah ditanggalkan di tengah hutan tadi.  Mungkin rimas berpakaian begitu.
          Air matanya semakin laju mengalir.  Farritz Aidil sudah gagal.  Gagal dalam menyelamatkan isteri dan anaknya.  Suara tangisan itu sudah tidak kedengaran lagi.  Sudah hampir dua puluh minit mencari Farisya Adlina di sekitar luar dan dalam rumah.  Tetapi penyelesaiannya hampa.
          Farritz Aidil bangkit semula mahu mencari lelaki tadi.  Hanya lelaki itu yang tahu di mana isterinya sekarang.  Baru sahaja Farritz Aidil mahu bangkit,  tangannya terpegang sekeping papan tebal di sebelahnya.  Papan itu kelihatan aneh.  Lantas dialih.
          Farritz Aidil memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi.  Akhirnya dia menemui tempat Farisya Adlina disembunyikan.  Farritz Aidil bangkit lalu masuk ke dalam bilik bawah tanah yang disembunyikan di bawah papan yang menutup pintu masuknya.
          Bagaikan mahu gugur jantung Farritz Aidil apabila terlihatkan sesusuk tubuh yang sedang terbaring kaku di sudut bilik yang sempit itu.  Darah di sekelilingnya juga semakin mengering.  Wajah wanita itu kelihatan lesu.
          Tanpa berfikir lama,  Farritz Aidil terus mengendong tubuh kaku itu lantas dibawa ke keretanya.  Farisya Adlina sudah tidak sedarkan diri.  Mungkin gara-gara kehilangan terlalu banyak darah.  Farritz Aidil segera menekan pedal minyak kereta menuju ke hospital. 
          Dalam hatinya tidak putus-putus mendoakan keselamatan isteri dan anak di dalam perut isterinya.  Anak..  Farritz Aidil mengerling ke arah perut isterinya yang lebih besar daripada kali terakhir dia melihatnya.  Pakaiannya juga sama seperti kali terakhir wanita itu meninggalkan rumah dahulu.
          Kasihan sungguh wanita di sisinya itu.  Ditinggalkan suami dalam keadaan diri yang berbadan dua.  Farritz Aidil gembira kerana akhirnya dia dapat menemui isterinya yang dicari-cari selama ini.  Namun..  Dia gusar.  Gusar kalau-kalau wanita itu tidak mahu menerima dirinya lagi selepas ini. 
          Walau apapun,  keselamatan wanita itu dan bayinya lebih penting sekarang.. 
          Ya Allah..  Bantu lah hambamu ini...

No comments:

Post a Comment