Thursday, April 14, 2011

bab 54



54

'Ampunkan Aku'

Farritz Aidil meneruskan pemanduannya.  Pedal minyak ditekan habis.  Matanya hanya tertumpu ke arah jalan raya yang disinari lampu jalan.
          Sudah jam 2 pagi.  Namun matanya sukar dilelapkan.  Fikirannya tidak putus-putus memikirkan tentang Farisya Adlina.  Bagaimana dia mahu tidur lena tanpa wanita itu di sisinya,  mendodoiannya setiap malam.
          Hari itu Farisya Adlina diberi kebenaran untuk pulang.  Keadaannya juga semakin pulih.  Entah apa jenis perasaan yang dirasainya kini.  Melihat kemesraan antara Farisya Adlina dengan Asyraf Danisy.
          Farritz Aidil berjalan perlahan-lahan menuju ke arah bilik Farisya Adlina dirawat.  Farritz Aidil melangkah berhati-hati tanpa membuat bising.  Takut kalau-kalau ada yang menyedari kehadirannya di sini.  Dia memilih untuk bersembunyi di sebalik dinding sedikit hampir dengan bilik Farisya Adlina.
          Pintu bilik dikuak.  Farritz Aidil mengundur sedikit.  Kepalanya dijulurkan sedikit untuk melihat gerangan manusia yang membuka pintu bilik.
          Dari jauh kelihatan Farisya Adlina sedang dipapah keluar oleh Asyraf Danisy.  Farritz Aidil tersenyum lega.  Wanita itu kelihatan semakin pulih.  Wajahnya juga kelihatan ceria.  Akan tetapi ada perbezaan dari segi bentuk badannya yang semakin kurus dan wajah yang semakin cengkung.
          "Awak tunggu sini kejap.  Saya pergi bayar bil hospital,"  ujar Asyraf Danisy kedengaran samar-samar di telinga Farritz Aidil.  Dia kemudiannya berlalu ke arah kaunter pembayaran meninggalkan Farisya Adlina keseorangan.
          Wanita itu duduk di kerusi menunggu.  Seketika kemudian,  Asyraf Danisy kembali bersama seorang jururawat.  Jururawat itu datang bersama kereta sorong bayi.  Farritz Aidil teruja melihatnya.
          Farritz Aidil sedikit cemburu melihat Asyraf Danisy mengendong dan mencium kedua-dua anaknya.  Dia yang lebih berhak namun mengapa lelaki itu yang mengambil haknya?
          Farisya Adlina mengambil bayi di tangan Asyraf Danisy.  Melihat tawanya sahaja sudah cukup menggambarkan kebahagiaan wanita itu apabila melahirkan anak kembar.  Alangkah indahnya jika kebahagiaan itu dikongsi bersama dengannya.
          Farisya Adlina tertawa lagi.  Kali ini dia tertawa apabila mendengar usikan Asyraf Danisy yang mengatakan bahawa mata bayinya menyerupai matanya.  Dan alangkah hancurnya hatinya apabila mendengar tekaan jururawat tersebut yang mengatakan Asyraf Danisy adalah suaminya.
          Memang patutpun semua orang yang memandang mengagak bahawa Asyraf Danisy adalah suaminya.  Kerana lelaki itu lebih banyak mendampinginya daripada Farritz Aidil sendiri.
          'Sudah lah hati..  Lupakan si dia.  Pulang lah.  Bawa lah hatimu yang luka itu.  Rawat lah ia,  ubati ia,  dan usah kau sesali lagi perkara lalu..'  pujuk suara hati Farritz Aidil.
          Tanpa disedari,  pipi Farritz Aidil sudah dibasahi air mata.  Terlalu asyik dia melayan perasaannya.  Dia segera berpaling.  Mengatur langkah meninggalkan pasangan bahagia itu.
          Dia tidak pasti mahu ke mana.  Tetapi baginya,  ke mana kakinya berhenti,  di situ lah destinasinya.
          Farritz Aidil menyapu air matanya.  Dia tiba di Tanah Perkuburan Taman Barzakh.  Dia mengunci pintu keretanya sebelum berjalan seorang diri menuju ke 'rumah' arwah uminya.  Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3.15 pagi,  namun dia langsung tidak berasa gerun untuk berada di situ.  Yang pasti dia mahu mengadu kesakitan yang dirasainya kepada ibunda yang dirinduinya.


"MAHKAMAH mengesahkan penceraian kalian berdua.  Dengan ini,  mahkamah bersurai,"  suara hakim kedengaran jelas di telinga semua saksi termasuk Farisya Adlina dan Farritz Aidil.  Masing-masing berlalu keluar dari mahkamah sambil bercakap-cakap sesama sendiri.
          Farritz Aidil melangkah pantas mengejar Farisya Adlina yang ditemani Asyraf Danisy.  Dia yang lengkap berbaju melayu hitam hanya keseorangan hari itu.  Biar lah dia seorang diri menyelesaikan masalah rumah tangganya.
          "Kau nak apa?"  ujar Farisya Adlina sebaik diminta berhenti oleh Farritz Aidil.  Dia hanya tersenyum tawar membalas wajah kebencian Farisya Adlina terhadapnya.
          "Tahniah,  Isya,"  balas Farritz Aidil pendek.  Terbeliak mata Farisya Adlina mendengarnya.  Begitu juga Asyraf Danisy.
          "Kau sindir aku,  ya?"
          "Tak.  Kau jangan salah faham.  Aku cuma nak ucapkan tahniah sebab keinginan kau dah tercapai."
          "Bukan aku,  semua ni atas kehendak kau!"  suara Farisya Adlina kian meninggi.
          "Aku minta diri dulu.  Berbincang baik-baik.  Jangan bertengkar macam ni,  tak elok,"  Ayraf Danisy menepuk bahu Farritz Aidil sebelum berlalu meninggalkan Farritz Aidil dengan Farisya Adlina.
          Farisya Adlina yang berbaju kurung putih,  duduk di bangku hadapan mahkamah sebelum diikuti Farritz Aidil.
          "Baik.  Memang salah aku,"  ujar Farritz Aidil dengan wajah bersahaja.
          "So?  Kau nak apa lagi?"  benci mahu memandang,  dia berpaling.
          "Aku cuma nak kau berbahagia dengan Is.  Aku yakin Is akan bahagiakan kau."
          Farisya Adlina memandang benci ke wajah Farritz Aidil.  Pelik.  Benarkah ini memang apa yang diharapkannya?  Mengapa tiada langsung riak kesedihan di wajahnya?
          "Kau percaya lah kata-kata aku ni.  Aku kenal Is dah lebih sepuluh tahun.  Aku kenal kawan aku tu macam mana.  Dia memang betul-betul cintakan kau."
          Farisya Adlina memalingkan wajahnya semula.
          "Kalau dulu,  kau tak dapat bersama orang yang cintakan kau,  sekarang kau dapat peluang tu.  Jodoh kau memang dengan dia.  Bukan dengan aku."
          Suasana sepi seketika.  Farisya Adlina menarik nafas dalam-dalam.  Dia nekad.  Pertengkaran ini tidak harus berlanjutan.  Dia sudah maklum mengenai hal sebenar.  Dan dia sudah bersedia untuk memaafkan Farritz Aidil.
          "Kau bodoh,  Isya."
          Farisya Adlina membuntangkan matanya.  Baru sahaja dia mahu mengangkat bendera putih,  kata-katanya terhenti apabila mendengar herdikan Farritz Aidil.
          "Kau bodoh sebab percayakan aku.  Kalau kau nak tahu,  perangai aku tak pernah berubah macam dulu.  Aku tak pernah cintakan kau.  Kau tu yang perasan."
          Farritz Aidil tersenyum sinis.  Baru sahaja Farisya Adlina mahu menampar wajah Farritz Aidil,  Farritz Aidil lebih pantas menahannya.  Suasana kian tegang.  Namun wajah Farritz Aidil masih bersahaja.
          "Aku tahu kau akan marah bila dengar pengakuan aku ni.  Tapi maaf lah.  Aku tak mampu nak berbohong lagi.  Lagipun kita bukan suami isteri lagi.  Kau tahu tak berapa lama aku terseksa pegang title sebagai suami kau?"
          "Habis tu,  untuk apa kau kahwin dengan aku?"  bergetar suaranya.  Farisya Adlina semakin hilang pertimbangan.
          Air mata Farisya Adlina sudah mulai gugur.  Farritz Aidil bangkit lalu membelakangi Farisya Adlina.  Tidak sanggup rasanya mahu memandang air mata itu.  Hatinya bagai dicarik-carik apabila melihat air mata itu.
          "Kau pernah tengok cerita Syurga Cinta tak?  Ah,  mesti pernah.  Kau kan minah jiwang.  Memang takkan lepas dari tengok cerita cintan cintun ni."
          "So what?!"  Farisya Adlina menengking Farritz Aidil.  Asyraf Danisy datang menenangkan Farisya Adlina apabila terdengar suara wanita itu berteriak.
          "Kau ni kenapa,  Ritz?"  Asyraf Danisy menahan Farisya Adlina dari menghampiri Farritz Aidil.  Kesihatan wanita itu belum sembuh sepenuhnya.  Dia juga terkejut mendengar kata-kata lancang Farritz Aidil.
          "Aku pun teringin nak betting macam Awal dengan member-member dia untuk dapatkan Cikgu Syuhadah.  So,  aku buat benda yang sama dengan member aku untuk dapatkan kau.  Kau tahu kenapa aku beriya-iya sangat nak betting untuk kau?  Sebab duit yang ditawarkan tu,  not bad.  RM2.3 juta.  Tak semahal harga diri kau!"
          Farisya Adlina hilang sabar.  Dia melepaskan pegangan Asyraf Danisy dari tubuhnya sebelum berdiri di hadapan Farritz Aidil.  Menyedari kehadiran Farisya Adlina,  Farritz Aidil mengesat air matanya yang kian gugur.
          "Memang aku bodoh!  Aku bodoh sebab percayakan manusia macam kau!  Aku tak sangka masih ada manusia jahil macam kau dalam dunia ni.  Seriously,  aku menyesal pernah jadi isteri pada lelaki macam kau ni.  Aku tak rasa kau ni manusia.  Kau ni sebenarnya syaitan yang tak sedar diri!"
          Farritz Aidil menahan rasa hatinya.  Biarkan.  Memang dia wajar diherdik begitu.  Dia rela.  Asalkan wanita itu bahagia.
          "Kedudukan kau sekarang bukan di hati aku lagi.  Kau bukan juga di kaki aku.  Malah jauh dari hidup aku.  Aku takkan ingat apa-apa lagi tentang kau lepas ni!  Kalau tadi,  lepas keluar mahkamah,  aku masih ada sisa kemaafan buat kau,  tapi sekarang.  Sekelumit pun kemaafan dah tak ada lagi buat kau!"
          Satu penangan hinggap di pipi kanan Farritz Aidil.  Masing-masing terkedu.  Asyraf Danisy mahu menahan tetapi Farritz Aidil menghalangnya berbuat demikian.  Dia hanya merelakan dirinya dipukul begitu.  Sekurang-kurangnya,  hilang sedikit rasa rindunya kepada wanita itu.
          "Ini untuk rasa kesal aku sebab berkahwin dengan kau."
          Sekali lagi penangan itu hinggap di pipi kirinya.  Kali ini lebih kuat.
          "Dan ini.."  suara Farisya Adlina termati di situ.  Tidak sanggup rasanya menyatakan sesuatu yang bukan dari hatinya. 
          "Ini untuk rasa kesal aku sebab mengandungkan anak dari benih lelaki yang bernama Farritz Aidil Dato' Zahid!"  bibirnya bergetar.  Jantungnya berdegup laju.  Air matanya kian laju membasahi pipi.
          "Aku berjanji pada diri aku.  Ini kali yang terakhir aku menyebut nama kau!  Dan lepas ni,  aku takkan sebut nama kau,  apatah lagi nak tengok muka kau!"  Farisya Adlina menujal-nujal bahu Farritz Aidil.
          Farritz Aidil semenjak tadi hanya membatukan diri.  Dia rela diperlakukan demikian.
          "Jangan kau cari aku lagi lepas ni!  Aku akan kahwin dengan Asyraf Danisy hujung tahun ni.  Itu keinginan kami selama ni.  Assalamualaikum,"  Farisya Adlina berlalu meninggalkan Farritz Aidil.  Asyraf Danisy hanya diam sambil mengikuti langkah Farisya Adlina.  Dia juga masih terkesima dengan pernyataan Farisya Adlina sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment