Thursday, April 14, 2011

bab 51



51

'Merindu Tanpa Kata'

Farritz Aidil semakin gelisah.  Sudah 2 jam berlalu tetapi masih tiada berita daripada doktor tentang keadaan Farisya Adlina.  Dia semakin gusar.  Semenjak menghantar Farisya Adlina ke sini tadi,  wanita itu langsung tidak sedarkan diri.  Dia khuatir akan keselamatan bayi dan isterinya.
          Farritz Aidil mundar-mandir di hadapan wad kecemasan.  Baju melayunya dikotori darah Farisya Adlina.  Mukanya tampak keletihan. 
          Sejak keluar dari rumah meninggalkan majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung pagi tadi,  dalam fikirannya cuma ada 1 perkara.  Farisya Adlina.  Dia langsung tidak menghiraukan perihal lain mahupun untuk memaklumkan kepada keluarganya dan keluarga Farisya Adlina mengenai berita penemuan Farisya Adlina ini. 
          Atas dasar keprihatinan,  jururawat yang menguruskan Farisya Adlina yang telah menghubungi keluarganya dan memaklumkan hal tersebut.
          Jam kini menunjukkan pukul 5 petang.  Farritz Aidil semakin khuatir.  Bagaimana agaknya keadaan isteri dan anaknya?  Sebentar tadi doktor ada menyatakan bahawa peluang untuk sedar dalam masa terdekat amat tipis.  Farisya Adlina kekurangan terlalu banyak darah.  Kebetulan darah Farritz Aidil sama dengan Farisya Adlina,  jadi Farritz Aidil tidak teragak-agak untuk mendermakan darahnya kepada Farisya Adlina.
          "Ritz.."  tegur satu suara dari arah belakang.  Farritz Aidil berpaling.
          Serta merta Farritz Aidil memeluk lelaki tua itu.  Air mata kekecewaan gugur di bahu Tan Sri Mahmud.  Lelaki itu hanya mampu menenangkan Farritz Aidil.  Dia tahu menantunya itu sedang kesedihan di kala ini.  Namun kesedihan itu tidak sama seperti apa yang dirasakan seorang bapa sepertinya sekarang ini.
          "Maafkan Ritz,  papa.  Ritz tak jaga Isya dengan baik.  Ritz cuai.  Kenapa lah bukan Ritz je yang terima semua ni?  Kenapa Isya?"  Farritz Aidil menangis kesal.  Puan Sri Zakiah hanya memandang sayu.
          "Ritz..  Jangan cakap macam tu,  nak..  Ritz suami yang baik.  Ni semua takdir tuhan.  Kita tak berhak nak halang ketentuannya."
          Seketika kemudian,  Farritz Aidil terpandangkan sesusuk tubuh yang datang dari arah belakang mereka.  Riak wajahnya bertukar marah.  Matanya yang basah lantas disapu.  Pelukan dileraikan lalu Farritz Aidil berpeluk tubuh membelakangi ibunya.  Puan Sri Zakiah dan Tan Sri Mahmud sama-sama hairan melihat reaksi Farritz Aidil.
          Kebencian yang meluap-luap menyebabkan Farritz Aidil benci mahu memandang Datin Munirah apatah lagi memeluknya.
          "Kenapa kau datang?  Tak puas lagi kau nak hancurkan hidup aku?"
          Datin Munirah tersentak.  Benar lah.  Lelaki itu memang sudah mengetahui muslihatnya.  Hafiz!  Semua gara-gara kecuaian lelaki suruhannya itu bekerja.
          "MasyaAllah..  Kenapa Ritz cakap macam tu?"  Dato' Zahid mengerutkan dahinya.  Satu tamparan kasar hinggap di pipi Farritz Aidil.  Farritz Aidil terkesima.
          Kalau diikutkan mahu sahaja dia pergi meninggalkan tempat itu dan menemani Farisya Adlina di dalam.  Hatinya yang sedang terluka semakin bertambah parah apabila diperlakukan begitu oleh seorang bapa kandung yang selama ini disangkanya memahami dirinya lebih dari segalanya.
          "Ayah nak pukul Ritz?  Ha!  Pukul lah!  Pukul lagi!  Memang Ritz nak semua ni terjadi!"
          Farritz Aidil bagaikan orang hilang pertimbangan.  Dia memegang tangan kanan Dato' Zahid lalu menampar-nampar ke pipinya.  Air matanya gugur tanpa dia sedar.  Dia yakin bahawa Datin Munirah sedang bersorak menang di dalam hatinya melihat air matanya gugur di saat ini akibat perbuatannya yang hampir meragut nyawa isteri dan anaknya.
          "Ritz..  Sudah lah tu.  Bawa bertenang,"  Tan Sri Mahmud menarik Farritz Aidil menjauhi bapanya.  Hatinya tersentuh melihat dua beranak itu. 
          "Kau ingat,  ya!  Kalau apa-apa berlaku pada anak dan isteri aku,  nama aku bukan Farritz Aidil kalau aku senang-senang nak lepaskan kau!"
          Jari telunjuk Farritz Aidil dihalakan tepat pada wajah Datin Munirah yang sedang gelisah.  Ketiga-tiga yang lain masih terpinga-pinga mendengar bait-bait ayat yang keluar dari mulut Farritz Aidil.
          Mereka sama tertanya-tanya.  Apa sebenarnya yang berlaku?  Bukankah Farisya Adlina sudah meninggal dunia?  Dan bagaimana Farritz Aidil boleh menemukan Farisya Adlina?  Sedangkan mereka sendiri yang melihat jenazah Farisya Adlina.  Kalau itu bukan Farisya Adlina,  siapa?  Siapa dalang di sebalik semua ini?  Mengapa?  Dan..  Cincin pernikahan Farisya Adlina!  Semuanya kian jelas.
          Farritz Aidil terduduk di atas lantai sambil menyandar ke dinding.  Dia meraup rambutnya yang kusut masai.  Menyesal.  Itu yang dapat digambarkan perasaannya kini.  Menyesal kerana mempercayai Datin Munirah selama ini..  Dia sangat-sangat menyesal.
          Andai sahaja putaran masa dapat diundurkan semula..
          "Ritz..  Maafkan ayah,"  Dato' Zahid menghampiri anak lelakinya yang kelihatan tidak terurus.  Dia dapat merasakan kekecewaan anaknya itu sekarang ini.
          "Sudah lah ayah.  Ayah balik lah..  Ritz tak nak tengok muka perempuan tu lagi.  Bawa dia pergi,  ayah.  Tolong lah.."  rayu Farritz Aidil sambil memeluk kedua-dua lututnya.  Kepalanya ditundukkan lalu air matanya gugur lagi. 
          Jauh di sudut hatinya,  dia langsung tidak terniat untuk mengherdik ibunya.  Namun dek kerana kezaliman wanita itu,  Farritz Aidil sudah hilang rasa hormat terhadap Datin Munirah.
          "Kenapa dengan Ritz ni?  Ritz dah gila ke?"  sekali lagi Dato' Zahid meninggikan suaranya.  Suasana semakin tegang.
          Melihatkan keadaan itu,  Puan Sri Zakiah berasa terpanggil untuk menyelesaikan masalah yang berlaku antara dua beranak itu.  Dia tahu Farritz Aidil hanya rapat dengannya sahaja.  Jadi Puan Sri Zakiah yakin bahawa hanya dia yang mampu memujuk menantunya itu. 
          Dia memberi isyarat kepada Dato' Zahid supaya memberi ruang kepadanya untuk memujuk Farritz Aidil.
          Setelah semua bersetuju,  Puan Sri Zakiah duduk di sisi Farritz Aidil lalu disentuh lembut bahu menantunya itu.
          "Ritz..  Kalau Ritz rasa Ritz sedih,  mama lagi sedih.  Kalau Ritz rasa kehilangan,  mama lebih merasakannya.  Dan kalau Ritz rasa sakit,  mama lebih sakit,  Ritz..  Mama faham perasaan Ritz.  Tapi  semuanya takkan selesai kalau Ritz terus emosi macam ni.  Ritz jangan berkasar dengan ibu bapa Ritz.  Ritz tak nak jadi anak derhaka,  kan?"  suara Puan Sri Zakiah berbaur sedih.
          Anggukan Farritz Aidil menunjukkan jawapan positif.
          "Cuba Ritz cerita.  Apa sebenarnya yang berlaku.  Cerita kat mama.."  lembut tangannya mengusap bahu Farritz Aidil.  Perlahan-lahan Farritz Aidil mengangkat wajahnya lalu menyapu air matanya.
          Perlahan lelaki itu menarik nafas lalu melepaskannya bersama keluhan berat.  Satu persatu rahsia dirungkai.  Masing-masing memandang Datin Munirah dengan pandangan berharap.
          Suasana sepi seketika..  Datin Munirah hanya mampu tertunduk sambil mengetap bibirnya geram.  Hancur!  Semua rancangannya sudah hancur berkecai!  Bak kata pepatah,  sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

No comments:

Post a Comment